Isterinya, Enas Albatsh, 31, berkata, dia akan menetap di Gaza bersama keluarganya dan juga menguruskan pengebumian suaminya di sana.
“Sepanjang berada di Malaysia, saya tidak pernah berasa terancam kerana rakyat Malaysia dan mereka di kejiranannya sangat baik dan menghormati kami.
“Suami saya juga tidak pernah menerima sebarang ugutan kerana dia seorang lelaki yang sangat baik dan menghormati orang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kondominium Idaman Puteri di sini sebentar tadi.
Kosmo! difahamkan bahawa jenazah Dr. Fadi akan dibawa dari Hospital Selayang ke Surau Medan Idaman, Setapak untuk disembahyangkan sebelum dibawa menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Cairo, Mesir sebelum dibawa ke Gaza, Palestin pada petang hari ini.
Sidang akhbar tersebut turut dihadiri oleh adik lelaki Dr. Fadi, Dr. Rami Albatsh. 
Enas menambah, dia juga bercadang untuk menyambung pengajian ijazah kedoktoran dalam bidang pendidikannya di Universiti Malaya di sini melalui kaedah dalam talian semasa berada di Gaza.
“Ia adalah harapan suami saya bagi saya menghabiskan pengajian ijazah kedoktoran ini.
“Suami juga sudah banyak berkorban untuk saya sepanjang saya mula belajar dan saya berharap akan dapat menghabiskannya dalam masa dua hingga tiga tahun lagi,” ujarnya.
Sementara itu, Dr. Ramy menafikan penglibatan abangnya dalam pembuatan roket untuk pergerakan tertentu.
“Abang saya seorang yang sangat berdedikasi terhadap tugasan akademiknya dan aktiviti dakwah dalam kejiranannya.
“Dia tidak mempunyai masa untuk sebarang aktiviti seperti itu kerana kehidupannya untuk kerja, aktiviti komuniti dan keluarga,” katanya. -