Duta Jepun peminat tegar P Ramlee

Duta Jepun peminat tegar P Ramlee

Loading...
Duta Jepun peminat tegar P Ramlee:

                             dujupo01.jpg_1520222410.jpg

Sudah lebih empat dekad Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee meninggalkan kita, namun karyanya masih kekal menjadi pujaan ramai peminat.

Malah kata-kata yang pernah diucapkannya iaitu Aku mati nanti, tetapi aku akan hidup 1,000 tahun lagi ada kebenarannya kerana lagu dan filem hasil karyanya tetap diminati sehingga kini.

Hasil kerja P Ramlee bukan sahaja diiktiraf di Malaysia, bahkan juga di luar negara antaranya Indonesia dan Brunei.

Tidak terkecuali, kehebatan anak kelahiran Pulau Pinang itu turut berjaya menarik perhatian Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa yang melakukan lawatan peribadi ke kubur Allahyarham di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Anak saudara Saloma P Ramlee, pelakon Rozita Rohaizad berkata, dia sendiri terkejut apabila menerima panggilan daripada setiausaha Dr Makio Miyagawa bagi memaklumkan perkara itu pada 10 Februari lalu.

Sekitar jam 9.30 pagi, saya terus bergegas ke Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang bagi menyambut lawatan tetamu istimewa ke kubur arwah P Ramlee.

Dr Makio datang tepat jam 10 pagi dan beliau mengakui seorang peminat tegar P Ramlee. Walaupun kurang mahir bertutur Bahasa Melayu, beliau tertarik dengan kemerduan irama dan lagu-lagu karya arwah terutama Getaran Jiwa yang dihasilkan untuk filem Antara Dua Darjat pada 1960.

Minatnya terhadap lagu ini mendorong beliau mencetuskan idea pembikinan lirik lagu ini yang dibuatnya sendiri dalam bahasa Jepun, katanya.

Anak seniwati Mariani ini berkata, Dr Makio mengakui amat terpaut hati dengan Getaran Jiwa yang diangggap sebuah karya berirama universal dan unik.

Bagi memperingati persahabatan silaturahim yang kukuh di antara Malaysia dan Jepun yang sudah menjangkau 60 tahun, beliau ambil masa selama dua hari untuk mencipta kata-kata yang indah untuk dinyanyikan dalam bahasa jepun.

Saya sungguh terharu kerana beliau turut menyatakan hasrat untuk memberikan lirik ini kepada saya supaya dibuat cover version lagu Getaran Jiwa dalam bahasa Jepun nanti, katanya.

Rozita berkata, Dr Makio juga mengumpamakan P Ramlee seperti pelukis Leonardo da Vinci yang memukau perhatian dengan lukisannya.

Beliau kagum dengan arwah yang mampu menyanyi serta menghasilkan banyak lagu dalam filem arahannya, katanya.

Rozita turut menjelaskan kepada Dr Makio bahawa P Ramlee juga berkebolehan bertutur dalam Bahasa Jepun dan ia disambut dengan perasaan gembira oleh Duta Besar Jepun itu.
Beliau juga bercadang menghasilkan sebuah filem dokumentari mengenai P Ramlee dan ia masih dalam perbincangan, katanya.

Dr Makio mula bertugas di Malaysia pada 2014 dan mahu berkunjung ke tanah perkuburan Jepun di Pulau Pinang untuk berdoa.

Perkuburan masyarakat Jepun yang menetap di Pulau Pinang pada abad ke-19 ini terletak di Lintang P Ramlee.

Ia berdekatan Rumah Kelahiran P Ramlee dan beliau bertanyakan kepada kakitangan Konsulat Jepun Pulau Pinang berkenaan P Ramlee yang seterusnya membuka pintu hatinya untuk mengenali siapa P Ramlee secara lebih dekat.


Catat Ulasan

0 Ulasan