Seakan Mengerti...Hujan Iringi Pengebumian Azmil

Seakan Mengerti...Hujan Iringi Pengebumian Azmil

Loading...
Seakan Mengerti...Hujan Iringi Pengebumian Azmil


Ogy memberi penghormatan terakhir kepada insan yang dianggapnya sebagai seorang abang, teman baik, dan rakan seperjuangan yang tiada galang gantinya. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar

Awan mendung berarak bersama hujan mengiringi pemergian Azmil Mustapha Kamil hari ini.

Pelakon itu meninggal dunia di dalam tidurnya, sekitar pukul 12.40 tengah hari pada usia 65 tahun di rumahnya di Shah Alam, selepas beberapa ketika bertarung dengan komplikasi jantung.

Seorang lagi bintang gugur, membawa bersama watak-watak ikonik yang pernah dilakonkannya seperti 'Ali' dan 'Taufik'.

Namun kehilangan industri perfileman negara pada tanggal 14 Februari 2018 bersamaan 28 Jamadilawal 1439 tidak sebesar yang dirasai gandingan emasnya, Fauziah Ahmad Daud.

“Saya kehilangan seorang abang, sahabat yang paling rapat,” kata Ogy yang tidak berdaya menahan air matanya daripada berlinang.

"Dia tahu susah senang saya, saya tahu susah senang dia."

Azmil mula dikenali khalayak menerusi lakonannya dalam filem Mekanik pada tahun 1983, sebelum bersama Ogy mencipta nama dengan filem Ali Setan, Ali Setan 2, dan Suara Kekasih.

Mungkin generasi muda hari ini tidak tahu, tetapi siapalah yang hidup dan muda pada era 80-an berani menafikan keserasian dan ‘chemistry’ antara Allahyarham Azmil dan Ogy dalam Ali Setan dan Suara Kekasihyang cukup meyakinkan seperti benar-benar sepasang merpati dua sejoli.

Mereka sama-sama melakar nama, sama-sama berada di puncak kegemilangan suatu ketika dahulu.
  

Babak terakhir filem Suara Kekasih (1986) memaparkan Taufik dan Ayu berpelukan sebelum berpisah buat selamanya. - Gambar fail


Tetapi sebenarnya ia tidak lebih daripada lumrah kerja yang berpegang kepada profesionalisme, malah ia membentuk ikatan yang lebih akrab sehingga menjadi umpama abang dan adik.

“Dia tidak pernah mengambil kesempatan ke atas saya, berpeluklah macam mana sekalipun masa berlakon dulu.

“Bila pengarah kata ‘cut!’, kami pula yang bergurau mempersendakan lakonan masing-masing. Begitulah kami.

“Dan dia juga tidak pernah ‘overshadow’ gandingannya. Kalau ‘scene’ itu memerlukannya untuk menyerlah, dia akan bawa sekali ‘partner’nya menyerlah sama.”

Kali terakhir Azmil mencurah bakti sebagai anak seni adalah dengan memainkan peranan Pangeran Demak dalam filem Puteri Gunung Ledang pada 2004 sebelum dia mengorak langkahnya sendiri untuk mencari keredhaan Ilahi.

Bagaimanapun cerita Ogy lagi, penghijrahan Azmil dan pengundurannya dari arena seni tidak langsung mengubah insan bernama Azmil yang dikenalinya.

Dia masih Azmil si Ali Setan dan Taufik yang nakal, suka bercanda tetapi sangat merendah diri malah lebih murah dengan senyuman kepada sesiapapun yang ditemuinya.

“Allahyarham tidak pernah menidakkan zaman lampaunya bahawa dia adalah Ali Setan. Azmil kata, yang setan itu Ali, bukan dia. Dan itu cuma satu watak.

“Malah setiap kali kalau dia telefon, pasti dia akan pekik ‘Helo Asmidar!’, betul-betul macam lakonannya,” kisahnya bersama wajah yang tadinya pilu bertukar senyum apabila terkenang memori indahnya bersama Azmil.


Dia memang lelaki istimewa, tegas Ogy. Malah semasa dia juga mula berhijab dan cuba berhijrah, Azmil orang yang pertama hadir untuk membimbingnya.

Pada ketika Ogy sendiri tidak tahu apa yang sedang dilakukannya pada waktu dia berdepan fasa sukar dalam hidupnya, Azmil sentiasa ada untuk berkongsi suka duka dan pengalaman mengharung cabaran itu.

“Saya sangat keliru masa itu, tetapi dialah yang ketuk pintu rumah saya, bawa saya pergi ke kedainya untuk menjelaskan kepada saya apa sebenarnya yang sedang saya lalui.

"Malah apabila saya kembali ke industri (selepas bertudung), dia sedikit pun tak kecam saya. Cuma dia pesan, jangan lupa Allah, selalu ingat Allah."

Kali terakhir Ogy bertentang mata dengan 'kekasih'nya itu adalah pada sebelum Syawal tahun lepas ketika Azmil menyuarakan hasratnya untuk menerbitkan sebuah rancangan agama tentang artis yang berhijrah dan menjemput Ogy sebagai antara tetamunya.

Ogy juga sempat menelefonnya bulan lepas untuk menjemputnya menjadi tetamu rancangan yang dikendalikannya, Huru Hara, namun ditolak sopan oleh Azmil memandangkan keadaan kesihatannya yang kurang baik, dan itulah kali terakhir Ogy berhubung dengannya.

"Tidak ada orang yang boleh ganti Azmil Mustapha. Datanglah pelakon macam mana pun, takkan ada gantinya Azmil Mustapha," ujar Ogy.

Selesai disembahyangkan oleh jemaah solat Asar di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, jenazah terus dibawa tanpa berlengah ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 dalam hujan lebat.

Alam seakan bersama pemergian insan ini, apabila serta merta hujan berhenti tatkala jenazah Allahyarham dikeluarkan dari van dan diturunkan ke liang lahad.

Segalanya berlangsung dengan begitu cepat dan lancar, selesai majlis pengebumian sekitar jam 6.20 petang.

Dan langit Rabu pun kembali menangisi pemergian seorang ayah, abang, dan sahabat yang setia.

Al-Fatihah...
.

Catat Ulasan

0 Ulasan