Bermulut Celupar di Tasik Merbau Jati,Kamarul Terima Padah Hingga Mati

Bermulut Celupar di Tasik Merbau Jati,Kamarul Terima Padah Hingga Mati

Loading...
Bermulut Celupar di Tasik Merbau Jati,Kamarul Terima Padah Hingga Mati

Sama ada kita mahu percaya atau tidak tentang misteri, ianya tetap ada malah berlaku dengan jelas. 

Pak Daud meneruskan cerita tentang Kamarul bersama lima rakan pancing yang bertekad untuk meneruskan rancangan memancing di Tasik Merbau Jati yang dikatakan berpuaka, tapi banyak ikan kerana jarang dikunjungi oleh pemancing. 

Kamarul mulutnya memang celupar, dia bercakap lepas tidak mengira tempat, walaupun dia sudah dua kali disergah lembaga hitam semasa memancing di kolam berbayar yang jauh dari bandar, namun dia tetap juga masih belum serik.


Hari itu hujung minggu, dia dengan rakan-rakan pancing dari kampung asalnya Lembah Beringin (bukan nama asal) bergerak ke lokasi dengan menaiki tiga buah motosikal. 

Perjalanan yang mengambil masa hampir empat jam itu membuatkan mereka tidak sabar lagi untuk beraksi dengan ikan toman, patin dan baung bersaiz besar hingga mencecah puluhan kilogram setiap ekor yang ingin didaratkan. 

Cerita beberapa beberapa orang pemancing yang sudah pergi ke tasik tersebut menyebabkan Kamarul tambah teruja, dan mengulangi ke lokasi itu lagi atas sebab-sebab yang penuh dengan rahsia.….. 

Kumpulan Kamarul tiba di Tasik tersebut tepat jam tiga petang. Suasana sangat tenang sekitarnya dan tasik terbentang luas dengan lompatan ikan sambil bermain hingga ke bahagian tebing tasik dengan bebas.

Kamarul dengan rakan-rakan pancingnya terus mencari tempat yang sesuai dan dengan pantas melabuhkan umpan anak ikan seluang hidup yang disimpan dalam bekas bantuan oksigen. Mereka tidak cukup tangan mendaratkan ikan baung dan patin bersaiz sederhana dan besar hingga mencecah 12 kilogram.


Paling banyak mendaratkan ikan patin ialah Luqman (anak tempatan kampung Mukut Pulau Tioman) yang bekerja satu pejabat dengan Kamarul di Kuala Lumpur. Bagaimanapun program mereka untuk bermalam di lokasi tasik dibatalkan kerana ikan sudah banyak diperolehi. 

Sepanjang mereka berada di lokasi Tasik Merbau Jati tiada sebarang gangguan atau bunyi yang menakutkan. Mereka hanya mengambil masa tiga jam sahaja untuk melakukan aktiviti memancing tanpa berhenti dan hasilnya berpuluh ekor spesies ikan dari patin, lampam, baung dan toman berjaya didaratkan.

Mereka pulang sebelum senja. “Mana ada penunggu tasik, lokasi cantik, tenteram, kan aku sudah cakap zaman moden ni mana ada hantu, syaitan dan pontianak tu semua,” Ngomel Kamarul lagi sambil memecut laju motosikal yang ditunggangnya. Dia kelihatan begitu bersahaja dan bangga dengan tindakan berani dan kata-katanya yang celupar. Malah dia juga tidak pernah memikirkan tentang risikonya kelak.….. 



Trip memancing yang kedua diatur dalam masa terdekat bagi mengulangi kejayaan pertamanya. Kali ini Kamarul lebih berani sambil mencabar untuk melihat kalau ada penunggu tasik berkenaan seperti yang di war-warkan sebelum ini. 

Cabaran berani dari Kamarul kali ini kurang disenangi oleh semua rakan pancingnya yang terdiri dari rakan-rakan lama yang menyertai trip pertama pada minggu lepas. 

Ketika mereka merancang untuk meninggalkan lokasi selepas seharian memancing, Kamarul tiba-tiba hilang sebaik saja mereka berkemas peralatan pancing untuk pulang. 


Keadaan menjadi kelam kabut dan mereka mula mencari Kamarul namun kelibatnya langsung tidak kelihatan. Akhirnya mereka membuat laporan polis dan seluruh kawasan tasik itu menjadi tumpuan masyarakat kampung, polis dan tentera.


Pencarian menelan masa hingga satu minggu namun Kamarul gagal untuk dijumpai. Khidmat bomoh dan pawang digunakan dan akhirnya Kamarul ditemui di bawah pokok rimbun dalam keadaan tidak bermaya dan beliau tidak bercakap hingga meninggal dunia dua tahun lalu, cerita Pak Daud menamatkan misteri Tasik Merbau Jati yang kini sudah dibangunkan menjadi perkampungan orang asli. 

Kesimpulannya, jangan mudah mencabar sesuatu yang kita tidak arif tentangnya, kelak memakan diri sendiri.….

Catat Ulasan

0 Ulasan