MH370:`Daddy tenang di sana’

MH370:`Daddy tenang di sana’

Loading...
Kuala Lumpur:“Saya terapkan kepada anak-anak bahawa pasti ada kematian suatu hari nanti supaya mereka lebih memahami keadaan getir kehilangan daddy mereka,”  luah Nur Laila Ngah, isteri kepada Wan Swaid Wan Ismail, pramugara kanan, penumpang Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Bagi suri rumah itu, dia turut mengingatkan anak-anaknya mengenai kehilangan datuk mereka kira-kira tiga tahun lalu yang juga sukar untuk diterima. 
“Cuma apa yang membezakan sekarang, saya memaklumkan kepada mereka, kehilangan daddy tiada kubur dan daddy sentiasa ada dalam hati kita. 

“Saya juga kerap mengingatkan anak-anak supaya berdoa semoga daddy tenang walau di mana dia berada.

“Alhamdulillah, anak-anak sudah dapat terima keadaan itu walau hakikatnya amat berat dan susah untuk dihadapi,” jelasnya ketika dihubungi Harian Metro.

Norlaila berkata, anak-anaknya juga sudah jarang bertanya mengenai bapa mereka terutama anak perempuan tunggalnya. 

“Pihak sekolah sebelum ini mengadakan penerangan bersama murid-murid lain mengenai tragedi MH370 dan pihak sekolah turut mengadakan solat hajat beramai-ramai mendoakan yang terbaik bagi penumpang pesawat MH370. 

“Kalau ada rakan-rakan yang bertanya mengenai bapa mereka, saya menasihatkan kepada anak-anak supaya memberikan reaksi positif iaitu jika ada rezeki Allah, pasti daddy akan selamat,” katanya dalam nada sebak. 

Dia berkata, dia tidak menyangka amanat yang diluahkan suaminya sebelum penerbangan pesawat MH370 adalah tanda awal pemergiannya. 

“Suami berpesan bahawa dia akan melepaskan tanggungjawab yang besar kepada saya dan saya menganggap perkara yang dimaksudkan itu adalah tanggungjawab membesarkan anak-anak. 

“Saya turut menyifatkan amanat itu sebagai normal di mana membesarkan anak-anak adalah tanggungjawab paling berat perlu di hadapi. Sekarang sejak ketiadaan suami, kata-kata itulah yang saya pegang,” katanya. 

Katanya, dia kini reda, tabah dan tetap meneruskan kehidupan bersama tiga anaknya yang masih kecil yang kini memerlukan tumpuan sepenuhnya. 

“Saya dan anak-anak terima apa juga takdir yang ditetapkan tuhan. Saya akur dan bangkit untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anak walaupun tanpa suami tercinta,” katanya. 

Norlaila dan Wan Swaid dikurniakan tiga orang anak, dua lelaki dan seorang perempuan yang masing-masing berusia lingkungan lapan hingga 12 tahun. 

Wan Swaid yang juga anak bongsu dari sepuluh adik beradik yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan berkhidmat dengan MAS sejak 1995 dan bertugas sebagai pramugara kanan di dalam pesawat MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan ke Beijing sejak 8 Mac lalu.

Catat Ulasan

0 Ulasan