Apa Jadi Bila Nafsu Seks Suami Dikunci Amah

Apa Jadi Bila Nafsu Seks Suami Dikunci Amah

Loading...
TERKEDU penulis mendengar pengakuan yang diceritakan oleh seorang kenalan yang dipertemukan menerusi laman sosial. Aina (bukan nama sebenar), 37, mahu berkongsi kisah hidupnya selepas menjanda.

 Kata Aina, walaupun tragedi rumah tangganya telah beberapa tahun berlalu, namun dia sukar melupakannya apatah lagi setelah dirinya baru-baru ini dilamar oleh seorang lelaki di tempat kerjanya.

“Serik atau fobia, entahlah saya pun tidak tahu untuk menterjemahkan rasa hati ini. Pengalaman buruk rumah tangga yang lalu membuatkan saya fobia untuk berkahwin sekali lagi," kata Aina membuka bicara pada pertemuan yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Kata Aina, pergolakan rumah tangganya bermula dari tahun 2009 iaitu selepas kira-kira lima tahun mereka berumah tangga pada tahun 2004.

“Pada mulanya saya ingatkan suatu yang normal bagi pasangan suami isteri yang semakin kurang mesra selepas mendapat anak kecil. Boleh dikatakan hampir lima tahun selepas kelahiran anak bongsu saya tidak pernah ‘bersama’ dengan suami.

“Setiap kali ingin melakukannya, nafsu suami bagai disekat dan tidak bermaya. Sebagai isteri yang normal sudah tentu saya rasa ada yang tidak kena dan tidak gembira dengan keadaan tersebut," akui Aina.

Pada mulanya Aina menyangkakan dirinya yang menjadi punca suaminya tidak bernafsu. Dia mengambil inisiatif melakukan pelbagai perawatan kulit dan wajah termasuk menghadiri pusat perlangsingan badan semata-mata untuk memikat suami.

“Ketika itu saya yakin masalah ini berpunca daripada silap saya sendiri yang kurang menjaga penampilan diri semenjak terlalu sibuk dengan kerjaya dan anak-anak," cerita Aina lagi.

Nasib baik seorang amah yang diperoleh dari seberang banyak membantu kehidupan Aina dan suami menjadi lebih terurus. Tapi Aina sendiri masih hairan kerana suaminya tetap dingin di ranjang.

“Saya beri dia masa lagi, mungkin stres kerana kerja, walaupun sabar menunggu saya tidak kisah kerana seks bukanlah keutamaan dalam rumah tangga, bagi saya ia umpama penyeri rumah tangga sahaja," ujar Aina lagi.

Jeling pembantu

Tapi hendak dikatakan tiada bernafsu, Aina perasan suaminya pernah menjeling ke arah pembantu rumahnya sewaktu amah itu sibuk di dapur.

“Memang suami tidak perasan saya sedang memerhatikannya, meluat juga saya, tapi saya cuba buat tidak tahu
sahaja hinggalah saya mengesyaki pembantu rumah mengenakan ilmu hitam merosakkan rumah tangga saya.

“Ini bukan tuduhan melulu kerana saya ada beberapa petunjuk dan bukti berasas. Mulanya saya sangka suami menghadapi masalah lemah tenaga batin.

“Hasil perbincangan dengan suami, kami berjumpa doktor untuk mendapatkan kepastian. Namun, pemeriksaan mengesahkan saya tidak mengalami sebarang masalah seksual," cerita Aina lagi.

Berikutan itu Aina dan suami berbincang masalah tersebut dengan anggota keluarga dan ada yang mencadangkan mencuba perubatan secara Islam kerana mungkin ada orang menggunakan cara halus untuk merosakkan rumah tangga mereka.

“Selepas berubat di pusat rawatan Islam, kami terkejut apabila ustaz memberitahu saya mungkin terkena sihir dilakukan orang yang pernah duduk serumah dengan kami.

“Selepas dimaklumkan begitu, saya terus teringat ketika berada dalam berpantang kira-kira lima tahun lalu, saya pernah mengambil seorang pembantu rumah untuk me­nguruskan rumah," imbasnya.

Selepas itu Aina terus mendesak suaminya untuk mengetahui apa yang terjadi di luar pengetahuannya selepas amah berkenaan menamatkan kontraknya.

Ternyata Aina amat terkejut apabila mendengar pengakuan suaminya yang sepanjang tempoh amah berusia 30-an itu bekerja, mereka pernah terlanjur selepas tidak tahan dengan godaannya.

Rupa-rupanya mereka berzina pada setiap kali Aina keluar berurut ke rumah bidan. Ketika itu Aina langsung tidak mengesyaki perlakuan amah dan suaminya kerana mereka melayan Aina dengan begitu baik sekali.

“Suami menyatakan walaupun telah terlanjur dia langsung tiada niat untuk berkahwin dengannya. Suami mengaku amat menyesal dan bertaubat kerana berzina de­ngan amah kami selepas tidak tahan dengan godaannya.

“Suami saya mengakui sebenar­nya bukan dia tidak bernafsu terhadap saya tapi setiap kali ingin bersama, dia merasakan seolah-olah saya seorang lelaki yang menyebabkan dia tiada rangsangan," ujar Aina.

Dek kerana terlalu perit mendengar pengakuan suami, Aina akhirnya menuntut cerai fasakh, dia juga tidak sanggup menderita batin dengan perubahan sikap suaminya.

“Saya lebih rela hidup dengan anak tanpa suami. Walaupun nampak susah tapi saya pasrah dari hati terus disakiti," jelas Aina menutup bicara.


Catat Ulasan

0 Ulasan