Anis diganggu makhluk halus

Anis diganggu makhluk halus

Loading...
Kisah Anis (bukan nama sebenar), 29, menanggung gangguan makhluk halus membuka minda kita betapa gangguan bersifat mistik tetap memberi kesan yang buruk kepada penanggungnya.

Betapa ketika gadis seusia sedang sibuk mengejar cita-cita dan mencari jodoh, Anis pula bergelut dengan ketidakselesaan yang berlaku dalam dirinya.

Bukan baharu, malah telah hampir enam tahun dirinya mengalami gangguan makhluk halus. Kehidupan Anis menjadi langsung tidak ceria apabila terlalu kerap memikirkan kematian.

“Untuk pengetahuan, setiap hari saya rasa sungguh teruk, dari pagi hingga malam, sampai ke tidur saya tidak pernah berasa selesa dengan keadaan diri saya.

“Jika di siang hari saya mudah berasa penat, sakit kepala, pening, sesak nafas, dan apabila hendak tidur rasa seakan dicekik dan apabila tidur pula saya akan bermimpi yang bukan-bukan hingga menyebabkan saya makin takut. Tidur malam tidak pernah lena, siang pula sentiasa penat," luah Anis yang berasal dari Ipoh, Perak.

Tambah Anis, dia bukan tidak pernah ke hospital malah sudah melakukan pemeriksaan di empat buah hospital (dua hospital kerajaan dan dua hospital pakar swasta) yang mana pemeriksaan dilakukan dari tahap pernafasan, ujian imbasan jantung, ujian kiraan penuh darah, ujian stres dan MRI untuk menguji apa penyakit yang dialami anak sulung daripada enam beradik ini.

“Semua doktor mengatakan saya sihat secara fizikal, malah ada yang menyarankan saya berjumpa pakar psikiatri. Pakar tekak, hidung dan telinga pula menyarankan saya mengambil cuti dan melakukan terapi yoga.
“Saya bersetuju untuk berjumpa psikiatri dan melakukan sesi terapi selama 10 kali, saya merasakan kelegaan dan mengambil ubat terapi, namun selepas satu ketika perasaan itu datang kembali," imbas Anis.

Tidak keruan

Apa yang dialami Anis menyebabkan dirinya tidak keruan malah ketakutan dan keletihan mengganggu bukan saja emosi malah fungsi fizikalnya sama sekali.

“Contohnya rasa berdebar, lemah anggota badan, sakit bahu, badan, perut dan sebagainya. Apa yang menyebabkan saya mengatakan bahawa saya lebih kronik ialah, kerana penyakit ketakutan itu telah menjalar hampir ke seluruh tingkah laku saya. Saya sedar akan perubahan tersebut tapi kadangkala ketakutan dan kerisauan tersebut lebih menguasai.

“Cuba bayangkan, saya akan menjadi tidak selesa dan amat takut apabila melalui kawasan perkuburan, kedai membuat batu nisan, terlihat van jenazah, majlis tahlil dan apabila orang menyebut tentang kematian," katanya.

Tahap yang paling kronik dia rasakan apabila mula takutkan lalat, serta bunyi cengkerik di luar rumah kerana sering mengaitkan kedua-dua perkara ini dengan kematian.

Di malam hari pula, dia risau hendak tidur kerana asyik termimpikan perkara yang bukan-bukan dan apabila bangun, dia akan memerah otak memikirkan maksud ataupun alamat yang dibawa oleh mimpi-mimpi tersebut.

“Semua ini berlangsung selama berhari-hari dan membuatkan saya rasa semakin tidak bersemangat," kata Anis yang ditemui di sebuah pusat rawatan Islam di ibu negara.

Dia datang ke tempat rawatan tersebut sambil ditemani rakannya.
Setiap tempat rawatan yang dia pergi akan mengatakan bahawa dirinya diganggu oleh makhluk halus.
Sukar untuk dia menerima alasan tersebut kerana dirinya memang sukar meyakini sesuatu yang bukan nampak di depan mata selain tidak akan mudah terpengaruh.

“Namun, setiap apa yang saya baca tentang kematian, tanda kematian atau apa saja berkaitannya, di dalam akhbar atau pun buku, perkara tersebut akan menghantui saya, dan merasakan seolah-olah perkara yang dikatakan di dalam bahan bacaan itu sedang berlaku kepada saya. Tidak semena-mena tanda-tanda itu seakan berlaku pada saya dan menambah ketakutan saya," ujarnya yang telah putus tunang semenjak penyakit misteri berlaku pada dirinya.

Berhenti kerja

Sejak terkena penyakit misteri iaitu ketika usianya 23 tahun, Anis sudah hampir empat kali juga berhenti kerja atau bertukar ke pekerjaan baru. Syukurlah dengan kelulusan yang dimilikinya memudahkan dia memohon sebarang pekerjaan di ibu kota.

“Tapi semangat kerja saya juga tidak konsisten, adakalanya saya boleh bekerja dengan baik, adakalanya saya rasa lemah selemah-lemahnya. Daripada menyusahkan kawan-kawan dan majikan saya segera mengambil keputusan berhenti kerja.

“Memang semua kerja yang saya pohon mudah diterima tapi dek kerana sering berhenti, akhirnya saya fikir lebih baik saya jangan bekerja lagi. Biarlah badan betul-betul sihat barulah saya boleh fikirkan tentang masa depan saya," katanya yang mengakui ada ketika rakan-rakan sepejabat memahami dan ada juga mempersendakan keadaannya.

Hikmah

Anis mengakui semenjak terkena gangguan makhluk halus dia berubah menjadi lebih baik. Manakan tidak, dari tidak bertudung kepada menutup aurat, begitu menjaga solat dan membaca al-Quran juga lebih kerap.
“Saya kini berjinak-jinak dengan solat berjemaah, solat hajat, dan sebagainya. Tetapi bisikan itu masih ada, cuma kadangkala bila saya terlalu sibuk, saya akan lupa untuk terlalu memikirkan perkara tersebut.

“Saya tahu, mati itu pasti, walaupun tiada persediaan, ia tetap akan berlaku. Cuma saya terlalu tertanya-tanya, bila?

“Bila berubat, ada kalanya saya semakin baik dan adakalanya saya menjadi semakin teruk. Apa yang saya harapkan kini ialah agar saya diberikan kekuatan menempuhi ujian dan dugaan ini, kerana bukan mudah bagi semua orang yang tidak mengalami apa yang saya alami ini memahami keadaan saya. Doakan saya sihat ya kak," pintanya.

Jauh di sudut hati, saya memikirkan hikmah yang Allah beri untuk tiap musibah memang besar hingga tidak terjangkau dek pemikiran kita hamba-Nya yang lemah. Sebelum pulang saya sempat bersolat jemaah di pusat rawatan itu dan mendoakan semoga Anis dapat dibebaskan daripada belenggu gangguan dan menikmati kehidupan ini sebagaimana kebanyakan gadis seusianya, Insya-Allah.


Catat Ulasan

0 Ulasan