Loading...
Norazlina menyuap Normah nasi lemak sambil diperhatikan Faridah Abas, 49, ketika wartawan mengunjungi rumahnya, semalam.
BERA - “Tak boleh. Tak boleh nak makan. Sebab teringat kat baby. Tak tahu dia makan ke tidak kat sana,” kata Normah Jaafar, 56 sambil menitiskan air mata apabila diminta rakannya, Norazlina Rohani, 44 untuk terus menyuap nasi lemak.
Normah yang begitu sedih dengan kehilangan anaknya, Mohd Khairul Amri Selamat, 29, bersama anak kapal dan penumpang pesawat MAS MH370 sejak 8 Mac lalu, tidak berselera untuk menjamah makanan dan hanya bergantung kepada air minuman semata-mata.
Berikutan itu, dia kerap pengsan beberapa kali sebelum ini dan terpaksa dibawa ke klinik berdekatan, oleh kaunselor kerana lemah badan dan sakit kepala.
“Saya diberikan vitamin B Kompleks dan Parasetamol. Doktor beritahu, saya kurang tidur dan kurang rehat. Dia minta saya banyakkan rehat.
“Memang saya nak makan tapi saya tidak berselera. Tadi lepas makan ubat, saya rasa tak sedap badan. Mungkin sebab saya tak makan apa-apa dari pagi tadi,” katanya.
Katanya, dalam situasi yang menimpa anak bongsunya itu, dia tidak sanggup menjamah makanan yang enak, sedangkan tidak mengetahui keadaan Mohd Khairul Amri.
Menurutnya, naluri dan perasaannya dalam hatinya kuat mengatakan anaknya masih hidup.
“Sejak kejadian itu, saya tidak pernah mimpikan dia. Jadi, saya yakin dia masih hidup. Cuma tidak tahu keadaan dia kat sana sahaja.
“Kalau saya nampak dia depan mata, saya boleh terima kenyataan. Tetapi, kejadian ini masih belum membuktikan apa-apa, dan percaya, dia masih hidup,” katanya.
Ibu Khairul Amri yakin anaknya selamat
Ibu kepada salah seorang penumpang MH370 Normah Jaafar,56, menitiskan air mata ketika bacaan Yassin untuk anaknya Khairul Amri Selamat, 29, di rumahnya di Taman Kerayong Makmur di Bera, hari ini.
"Saya yakin anak saya masih hidup," kata Normah Jaafar, ibu kepada Khairul Amri Selamat, seorang daripada 239 penumpang pesawat MAS MH370 yang hilang sejak 8 Mac.
Bagi ibu tunggal berusia 56 tahun ini, selagi belum ada bukti sahih tentang nasib pesawat itu, selagi itu beliau yakin anaknya yang mesra dengan panggilan 'adik' masih selamat.
"Saya tidak pernah bermimpi apa-apa pun setakat ini, kerana itu sebagai seorang ibu, hati kecil ini kuat mengatakan beliau masih selamat," katanya yang ditemui semasa menerima lawatan Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Menurutnya, sejak kehilangan pesawat itu, setiap hari jugalah apabila jam 5.30 petang, dengan penuh harapan beliau akan menanti panggilan daripada anak bongsunya itu.
Ini kerana kelazimannya pada waktu itulah, anaknya akan membuat panggilan telefon untuk bertanya khabar setiap kali anaknya pulang dari kerja.
Normah berkata beliau teramat merindui anaknya daripada tiga beradik itu dan mengharap sesuatu keajaiban akan berlaku.
Menurutnya, berikutan kejadian itu juga kesihatan cucunya Mohd Airil yang berumur 1 tahun 4 bulan yang merupakan cahaya mata pertama Mohd Khairul Amri hasil perkahwinannya dengan Erni Artila Mustafa, 29, turut terganggu kerana terlalu rindukan ayahnya.
Ismail Sabri pula berharap keluarga tersebut akan terus tabah selain melakukan solat hajat dan memperbanyakkan doa supaya usaha mencari pesawat tersebut dipermudahkan yang maha kuasa.
"Sebagai orang Islam kita kena banyak bersabar, mohon doa dan solat hajat agar diberkati ALLAH serta dipermudahkan operasi mencari serta menyelamat yang kini sedang giat dilakukan.
"Dalam masa yang sama, kita juga perlu meneruskan kehidupan seharian dan menjaga kesihatan serta makan minum. Jika sakit, ia akan menyulitkan lagi keadaan," katanya yang mengunjungi Normah di Taman Kerayong Makmur.
Terdahulu Ismail Sabri bersama anggota Wanita, Pemuda dan Puteri Umno serta penduduk turut mengadakan bacaan doa selamat.
Beliau turut menasihati Normah dan anggota keluarganya supaya tidak mendengar berita tentang pesawat itu yang tidak jelas dan sahih sumbernya.
"Kita perlu mendapat berita daripada MAS, Jabatan Pengangkutan, Jabatan Penerangan dan pihak-pihak yang terbabit kerana mereka yang mengetahui segalanya. Berita tidak sahih dan benar hanya akan menyusah dan mengelirukan," katanya
MH370: Ayah janji pada anak-anak untuk bawa ibu pulang
Pramugari MAS Foong Wai Yuen dan dua anaknya
KUALA LUMPUR: "Saya sudah berjanji dengan anak-anak bahawa saya akan bawa ibu mereka pulang tidak lama lagi."
Itu luahan Lee Khim Fatt, suami pramugari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 Foong Wai Yueng, yang terpaksa merahsiakan kejadian menimpa isterinya daripada pengetahuan kedua-dua anak mereka yang masih kecil.
Khim Fatt yang kekal optimis isterinya akan ditemui, mengakui terpaksa memujuk anak-anaknya, masing-masing berusia sepuluh dan empat tahun dengan mengatakan ibu mereka terpaksa ke satu tempat yang jauh dan tidak dapat pulang pada masa ini.
Dia menyifatkan Wai Yueng seorang isteri dan ibu yang penyayang dan bertanggungjawab.
Mereka sudah berkahwin selama 20 tahun dan bahagia dengan kehadiran dua anak mereka.
Bagaimanapun, tragedi MH370 menyebabkan dia hilang arah dan masih menanti khabar berita mengenai isteri kesayangannya itu.
Foong Wai Yueng menyertai Penerbangan Malaysia sejak 1996, sementara Khim Fatt bekerja di syarikat penerbangan di luar negara selama 7 tahun sebelum kembali ke Malaysia.
0 Ulasan
jerit kat sini