Loading...
KEHILANGAN pesawat MH370 pada 8 Mac lalu telah mencetuskan misteri yang dikatakan belum pernah berlaku dalam sejarah penerbangan moden.
Pesawat Malaysia Airlines laluan Kuala Lumpur-Beijing yang membawa 239 penumpang hilang daripada radar selepas kira-kira dua jam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi.
Pesawat tersebut dijangka mendarat di destinasi yang dituju pada pukul 6.30 pagi.
Bagaimanapun, pada pukul 1.07 pagi, pesawat tersebut yang sedang menghampiri ruang udara Vietnam terputus hubungan dengan menara kawalan udara di Subang, Selangor.
Tiga jam selepas pesawat MH370 gagal dijejaki, pasukan mencari dan menyelamat mula dikerahkan ke sempadan Malaysia-Vietnam di Laut China Selatan, iaitu lokasi terakhir pesawat dilaporkan hilang.
Setelah lapan hari usaha mencari pesawat malang itu menemui kegagalan, semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi harapan yang pesawat itu kemungkinan dapat ditemui tidak lama lagi.
Najib mengesahkan Sistem Laporan dan Penerimaan Komunikasi Pesawat (ACARS) pesawat itu tidak berfungsi sebelum ia tiba di pantai timur Semenanjung Malaysia.
“Walaupun laporan media menyebut pesawat dirampas, pihak berkuasa masih menyiasat semua kemungkinan tentang apa yang menyebabkan MH370 menyimpang dari laluan penerbangan asalnya.
“Komunikasi terakhir pesawat dengan satelit berlaku di antara dua kawasan iaitu dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand atau dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi,” katanya.
Spekulasi
Sejak lebih seminggu lalu, pelbagai spekulasi ditimbulkan oleh pakar-pakar industri penerbangan bagi menjawab kemungkinan yang terjadi ke atas MH370.
Teori kehadiran pengganas di dalam pesawat sememangnya tidak dapat dielak. Pesawat itu tidak membuat sebarang panggilan kecemasan sementara cuaca dalam keadaan baik.
Kehadiran dua penumpang dari Iran, Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan rakannya, Delavar Seyed Mohammadreza, 30, yang menaiki pesawat menggunakan pasport curi turut menimbulkan kemungkinan pesawat dirampas oleh pengganas.
Menurut Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat, John Brennan, teori serangan pengganas tidak boleh dipinggirkan begitu sahaja.
Penganalisis Perunding Aeroangkasa dan Pertahanan, Frost & Sullivan Asia Pasifik, Ravikumar Madavaram pula berkata, data daripada sistem komunikasi penerbangan penting untuk mendapatkan maklumat tentang sebarang perkara yang terjadi ketika penerbangan.
Ujarnya, jika keseluruhan sistem komunikasi terhenti serentak, ia menjurus kepada kemungkinan pesawat meletup di udara.
“Namun, jika sistem ditutup secara berperingkat-peringkat, pesawat itu mungkin telah dirampas atau disabotaj oleh juruterbang itu sendiri.
“Jika benar pesawat itu terbang di luar laluan yang telah ditetapkan, ia juga menimbulkan persoalan mengenai teori rampasan pesawat dan menukar hala tuju pesawat atas sebab-sebab tertentu,” katanya.
Laporan tidak rasmi mengatakan bahawa dua sistem komunikasi utama pesawat dimatikan selang 14 minit dan ini menutup teori letupan di udara.
Pakar penerbangan Australia, Neil Hansford pula berpendapat, ada kemungkinan MH370 telah diserang misil atau berlanggar dengan pesawat tentera.
“Ia mungkin berlanggar dengan pesawat pejuang, misil atau kejadian seumpamanya. Letupan bom adalah salah satu kemungkinan yang menimpa MH370,” katanya.
Sesetengah pihak pula mengambil kira yang pesawat itu telah terbang selama empat jam ke laluan yang bertentangan selepas pesawat terputus hubungan dengan menara kawalan.
Ia dikatakan mengukuhkan teori bahawa kokpit pesawat telah dirampas dan dikawal oleh pihak pengganas.
Namun, Gerry Soejatman, pakar penerbangan yang berpengkalan di Jakarta, Indonesia menafikan teori tersebut.
“Sistem radar di sekitar tempat terakhir MH370 dikesan adalah luas dan melibatkan pelbagai negara seperti Malaysia, India, Thailand dan Indonesia.
“Kecanggihan sistem pertahanan negara-negara tersebut mampu mengesan sebarang kehadiran pesawat asing atau tidak dikenali jika ia memasuki sempadan negara mereka.
“Jika ini terjadi, sudah tentu ramai tentera yang akan kehilangan kerja mereka,” ujarnya sambil berseloroh mengenai dakwaan MH370 terbang di Lautan Hindi tanpa dikesan oleh mana-mana radar di negara tersebut.
Misteri kehilangan pesawat MH370 juga boleh berlaku akibat masalah teknikal yang menyebabkan pesawat kehilangan altitud dengan pantas pada kelajuan tinggi.
Menurut Peguam Penerbangan dan Pengarah Siasatan, Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat, Mary Schiavo, pesawat mungkin terpesong.
“Ia bukan disebabkan kegagalan enjin untuk berfungsi tetapi berlaku akibat kehilangan aliran udara ke atas sayap dan mengurangkan kelajuan pesawat untuk terus berada di udara.
“Pesawat akan kehilangan altitud dengan kadar yang sangat pantas,” jelasnya.
Teori ini juga dibandingkan dengan apa yang berlaku terhadap Air France 447 yang terhempas di Lautan Atlantik pada Jun 2009 apabila sensor kelajuan gagal untuk memberikan bacaan yang tepat sekali gus juruterbang kehilangan kawalan terhadap pesawat.
Ada juga yang berpendapat tidak mustahil berlaku kejadian yang jarang terjadi seperti kes membunuh diri dalam kalangan juruterbang.
Ini berlaku ke atas pesawat SilkAir Boeing 737 penerbangan dari Jakarta ke Singapura yang menjunam ke dasar sungai di Indonesia mengakibatkan seramai 104 penumpang dan anak kapal maut.
Penyiasat Amerika Syarikat kemudian mengesahkan juruterbang SilkAir itu membunuh diri.
Meletup di ruang udara
Kira-kira 33 tahun sebelum insiden MH370, Malaysia pernah digemparkan dengan nahas pesawat di Tanjung Kupang, Gelang Patah Johor.
Dalam kejadian pada petang 4 Disember 1977, pesawat yang turut dinaiki Menteri Pertanian ketika itu, Datuk Seri Ali Ahmad bersama 99 penumpang dan anak kapal meletup di ruang udara.
Sewaktu kejadian, pesawat itu sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke Lapangan Terbang Subang.
Bagaimanapun, akibat serangan pengganas yang didakwa didalangi Tentera Merah Jepun, pesawat itu dilarang mendarat di Subang sebaliknya diarah menghala ke Singapura.
Malangnya, pesawat tersebut terhempas. Kesemua mereka ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di kawasan paya bakau di Kampung Ladang, Tanjung Kupang.
Tragedi pesawat terhempas di negara ini berulang pada September 1995 melibatkan pesawat Malaysia Airlines jenis Fokker 50.
Peristiwa yang meragut 34 nyawa manakala sembilan orang cedera itu berlaku ketika pesawat tersebut cuba mendarat di Lapangan Terbang Tawau, Sabah.
Kejadian berpunca apabila pesawat dikatakan terlajak dari landasan sebelum merempuh 20 buah rumah setinggan di perkampungan Seri Menanti dan kemudiannya terhempas.
Lapan tahun kemudian, iaitu pada Oktober 2013, pesawat Twin Otter pula dilaporkan terhempas ketika cuba mendarat di Sabah.
Kejadian dipercayai berpunca daripada cuaca buruk. Dua orang terkorban dalam tragedi itu
1 Ulasan
singgah baca artikel ni..
BalasPadamjerit kat sini