Bapa Stroke DiTampar Anak Perempuan Yang Derhaka

Bapa Stroke DiTampar Anak Perempuan Yang Derhaka

Loading...
MOHAMAD Idris mengesat air mata selepas anaknya, Nor Diana Mohamed di bebaskan daripada pertuduhan menamparnya selepas warga emas itu menyatakan kesediaan untuk memaafkan Nor Diana di Mahkamah Majistret, Kota Bharu, semalam. 


KOTA BHARU 25 Mac - "Hanya kerana tidak memberi RM2.50 untuk membeli air batu, kamu tergamak memukul bapa yang mengalami strok.

"Sedih bapa kamu apabila kamu buat begitu kepadanya. Selalunya kita mendengar ayah memukul anak tetapi hari ini berlaku sebaliknya. Lebih-lebih lagi kamu adalah anak perempuan dia.''

Demikian teguran seorang majistret di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap seorang wanita yang menghadapi tuduhan memukul bapanya dengan cara menampar mangsa, tahun lalu.

Nor Diana Mohamed, 30, yang tidak bekerja bagaimanapun dilepas dan dibebaskan oleh Majistret Nik Habri Muhamad daripada tuduhan itu setelah Mohamad Idris, 66, bersetuju kes tersebut diselesaikan menerusi permohonan maaf oleh anaknya.

Wanita tersebut didakwa menampar bapanya sehingga mendatangkan kecederaan kepada warga emas itu kira-kira pukul 4.15 petang, 2 Ogos 2013 di rumah mereka di Kampung Pintu Geng, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 12 bulan atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya.

Nor Diana mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Terdahulu, selepas Nik Habri meminta warga emas itu tampil ke hadapan, bapa tertuduh yang mengalami kesukaran berjalan akibat serangan strok menyatakan hasratnya untuk menarik balik pendakwaan terhadap anaknya itu.

"Saya mahu menarik balik laporan polis dan pendakwaan yang dibuat pada hari ini. Saya telah bersedia untuk memaafkan dia," katanya sambil mengesat air mata.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan tersebut tetapi membenarkan kes itu diselesaikan mengikut Seksyen 260 Kanun Tatacara Jenayah menerusi kompaun kesalahan dengan permohonan maaf oleh anaknya.
Nor Diana kemudian tanpa menunjukkan sebarang emosi hanya menyatakan permohonan maaf daripada bapanya.

Nik Habri sebelum membuat keputusan membebaskan tertuduh turut menyifatkan tindakan wanita itu menampar bapanya hanya kerana lelaki tidak memberi wang yang diminta sebagai perbuatan tidak berperikemanusiaan.

"Kali ini saya melepaskan kamu di atas permintaan bapa kamu, namun jika perkara ini berulang lagi saya tidak akan bertolak-ansur," tegas beliau.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.



Catat Ulasan

3 Ulasan

jerit kat sini