Anakku, jangan jadi macam ayah!

Anakku, jangan jadi macam ayah!

Loading...
SAYA bukan orang yang cemerlang dalam akademik walaupun ketika sekolah rendah, saya antara budak pandai dalam kampung. Title itu rupa-rupanya bawa masalah dalam hidup saya kemudian.

Berbekal keputusan cemerlang peperiksaan Penilaian, saya ditawar masuk sekolah premier yang gah dari segi reputasi dan sejarahnya, Kolej Sultan Abdul Hamid di Alor Setar.

Sebagai anak kampung yang dapat masuk sekolah 'anak-anak raja, pembesar, menteri malah perdana menteri', saya dilambung angan-angan bahawa diri saya juga dengan mudah 'akan'  jadi orang besar nanti.

Akibatnya, saya hanya cemerlang pada tingkatan satu, kemudian terus menempa pelbagai rekod buruk bukan sahaja dalam akademik malahan juga disiplin. Pernah arwah ayah dikirim telegram oleh pengetua minta dia datang ke sekolah disebabkan masalah saya.

Apabila tersedar dari lamunan ketika tingkatan lima, saya sudah agak jauh untuk kembali ke landasan. Apa yang termampu adalah mengawal diri supaya tidak lebih tersasar atau ketinggalan!

Selepas itu, selayaknya untuk diri saya adalah kegagalan demi kegagalan. Saya bagaikan orang terbuang. Cita-cita mahu jadi wartawan yang saya kilik sejak kecil, berkubur. Yang jadi  semangat hanya keyakinan yang kuat pada sifat rahman dan rahim ALLAH untuk bantu saya keluar dari kemelut hidup ketika itu, selain janji  kepada bakal isteri (sekarang isteri) bahawa saya tak akan sia-siakan cinta dan kasih sayangnya. Saya hanya mampu minta dia bersabar hingga ada cahaya di hujung terowong!

Akhirnya, dengan kasih sayang ALLAH, lorong dibuka melalui seorang kawan untuk saya jadi wartawan pada 1994. Maka saya pun jadi wartawan berbekal sijil 'mulut'.
   
Pada 1996, saya dilantik jadi ketua. Ketika itu, di bawah seliaan saya, ada beberapa  wartawan berijazah. Atas sifat telus dan tulus, saya mengaku bahawa saya sendiri tidak punya ijazah. Niat saya untuk memotivasi mereka bahawa ijazah bukan jaminan untuk berjaya melainkan perlu bekerja kuat. Saya cabar mereka!
  
Namun pada suatu hari, berdesing telinga apabila seorang staf jelas menyindir: "Pangkat tinggi-tinggi pun, tak ada degree, jatuh melepek ..."
Berhari-hari saya terganggu dek sindiran itu. Kebetulan, UPM sedang ambil pelajar lalu saya pun mohon. Empat tahun kemudian adalah tempoh yang sangat perit dalam hidup saya.
 
Bergelumang dengan deadline kerja dan pada masa yang sama  deadline pengajian membuatkan saya orang yang tidur ketika berjalan dan bekerja ketika tidur. 2004, saya rasmi bergelar graduan dan rasanya pada masa itu, seperti sudah taubat tidak mahu belajar lagi. Cukuplah!
  
Namun  kehendak ALLAH, saya kembali bergelar pelajar. Saya tarik balik taubat yang tak sempat diucap ketika seorang kawan baik, pensyarah U menghulur borang dengan pesanan: "Hang isi, jangan cakap banyak!"
 
Sekarang saya dalam semester tiga sarjana Komunikasi Kepengurusan UUM. Memang, semangat masih kembang kuncup tatkala tertekan dengan tugasan tetapi motivasi yang tidak putus daripada pensyarah terutama Dr Rosli Mohamed, Dr Khairie Ahmad, Prof Dr Che Su,  Dr Adrian, Encik Azhar Kassim dan Cikgu Hafidz sangat membantu.
 
Hari ini, kegagalan masa lalu adalah motivasi terbaik saya titipkan kepada anak-anak. Mereka sudah tengok sendiri 'penderitaan' saya belajar sambil bekerja dan pada masa yang sama menguruskan keluarga "so, jangan jadi macam ayah!"
 
"Gunakan ruang dan peluang yang ada dengan sebaik-baiknya, ikut turutan dan jangan sekali-kali ulangi kesilapan ayah." Itulah pesan saya buat mereka.
 
Setakat ini, motivasi daripada kegagalan silam itu nampaknya dicerap dengan sangat baik.
 
Anak sulung saya, Ain Farhana semalam, diumum antara pelajar terbaik SPM 2013 SMK Bandar Tasik Puteri dengan keputusan 9A. Semasa PMR dahulu, juga 9A. Anak kedua, Amin Nasrin pada PMR, 6A dan saya harap, SPM tahun depan, dia akan ulangi kejayaan kakaknya. Saya katakan kepada mereka, sekadar untuk hidup, ALLAH sudah berikan tetapi saya gagahi juga kesusahan belajar, tidak lain tidak bukan untuk mencabar mereka jadi lebih baik.
 
Kejayaan Ain adalah hadiah terbesar buat saya untuk ulang tahun ke-43, 25 Mac. Seronoknya terima ucapan tahniah semalam dan alangkah indah jika ucapan sama saya terima lagi pada malam Anugerah Grup Buku Karangkraf 2013 bulan depan.
  
Kepada staf  yang menghina saya 13 tahun lalu, jika dahulu saya begitu bengangkannya, hari ini saya berasa terhutang budi padanya. Sindirannya mencetus usaha saya tebus harga  diri hingga hari ini. Terima kasih.


MUHAMAD MAT YAKIM

Catat Ulasan

3 Ulasan

jerit kat sini