Haramkah tutup aurat di sekolah?

Haramkah tutup aurat di sekolah?

Loading...
RAMAI yang rasa kes berhubung insiden pukul lengan anak berusia 12 tahun di Sweden kerana tidak menunaikan solat bergerak terlalu perlahan.

Seorang pengarah Tourism Malaysia dan isterinya ditahan dalam kes itu sudah lebih sebulan, tetapi dijangka terus dalam tahanan hingga Ahad depan untuk ditentukan pihak berkuasa negara itu sama ada mahu didakwa di mahkamah atau dibebaskan.

Kita dapati banyak pihak, termasuk Wisma Putra, Tourism Malaysia, NGO, parti politik dan individu, sudah menyuarakan perasaan masing-masing, mengkritik, menuntut keadilan dan pertimbangan serta mencari jalan bagaimana isu ‘pelik’ itu boleh diselesaikan sebaiknya.

Ada yang mengkritik negara itu kerana tidak sensitif terhadap Islam. Ada yang bertanya kenapa si suami ditahan walaupun dia di pejabat ketika insiden itu berlaku. Ada yang tidak puas hati empat anak pasangan itu diletak di bawah jagaan keluarga angkat beragama Kristian.

Anak-anak itu, yang berusia 7, 11, 12 dan 14 juga dikatakan tidak selesa kerana keluarga angkat itu memelihara anjing.

Kita doakan penyelesaian segera yang terbaik. Moga pasangan itu dibebaskan atas apa yang dianggap salah di Sweden, negara pertama mengharamkan hukuman fisikal ke atas kanak-kanak pada 1979, diikuti 24 negara lain.

Kebanyakan yang meluahkan perasaan, bagaimanapun, tidak mempersoalkan negara itu kenapa menguatkuasakan undang-undang seperti itu.

Kita tahu, lain padang lain belalangnya, lain orang lain ragamnya.

Yang jelas masing-masing ingin menggubal undang-undang terbaik mengikut  fahaman mereka, walaupun di negara lain, ia dianggap tidak sesuai.

Mereka yang tidak faham agama bersandarkan kepada logik untuk melaksanakan undang-undang mereka, apa lagi tentang ajaran Islam, yang ada dalam kalangan umatnya sendiri pun tidak faham, kurang faham atau tidak mahu faham.

Insiden di Sweden itu barangkali kes yang jauh daripada kita.

Di negara kita sendiri yang ajaran Islam sudah wujud sejak zaman berzaman, bagaimana?

Orang lain saya tidak tahu; ini pengalaman saya. Saya masuk sekolah Methodist Boys’ School, Pulau Pinang, pada 1963.

Pada 1968 di samping menjadi ketua darjah, saya juga dipilih sebagai President of Islamic Society.

Berikutan itu, saya memutuskan memakai seluar panjang. Rupa-rupanya, tindakan saya itu menjadi ‘kesalahan besar’. Kalau setakat jadi tumpuan tidak mengapa lagi, tetapi ia menjadi bumerang.

Bukan sahaja ia mencipta kejutan dalam kalangan pelajar, malah saya serta-merta dipanggil guru besar yang mengeluarkan arahan supaya saya tidak lagi memakai seluar panjang.

Usaha saya untuk menjelaskan saya sudah berusia 18 tahun dan wajib berseluar panjang, tidak memberi sebarang kesan. “Ini peraturan sekolah. Anda wajib patuhinya,” itulah sebahagian daripada kata-kata guru besar. Tidak pula saya tanya apa akan jadi jika saya engkar.
Di sekolah saya, kecuali yang dalam Tingkatan Enam, semua pelajar diharamkan memakai seluar panjang. Saya tidak dapat bayangkan taraf kejutan andainya pelajar perempuan pakai tudung masa itu. Apa agaknya guru besar akan buat?

(Walaupun namanya MBS, ia membuka pintu kepada pelajar perempuan untuk Tingkatan Enam. Masa itu terdapat kira-kira 10 pelajar perempuan. Mereka pakai baju putih dan skirt biru. Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, bekas pemain Piala Thomas, Tan Aik Huang dan adiknya, Aik Mong, adalah senior saya di MBS).

Kejutan tutup aurat di sekolah saya itu berlaku 46 tahun lalu, 11 tahun selepas merdeka. Tapi minggu lepas, saya terbaca tentang guru mualaf di Kota Tinggi, Johor, yang dipaksa buka tudungnya jika mahu terus mengajar di situ.

Pihak sekolah dilaporkan mohon maaf selepas penduduk kampung buat bantahan. Saya musykil apakah masih ada banyak lagi sekolah, kolej atau majikan di negara yang kita cintai ini yang mengharamkan staf dan pelajar mereka tutup aurat?

Tentu kementerian, dengan kerjasama pihak berkaitan agama, dapat memantau, mendidik dan bertindak sewajarnya supaya tiada pihak yang haramkan yang halal dan halalkan yang haram.

Sungguh menghairan dan menyedihkan kerana masih ada pihak tidak faham perkara-perkara asas yang mudah sangat difahami, walaupun negara kita sudah 57 tahun merdeka.


FARUSH KHAN

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Astaghfirullahallaziim. . Dlm ngra pun ada mcm ni ??

    BalasPadam
    Balasan
    1. mungkin juga ianya satu kes terpencil,tapi jgn dipandang ringan kes macam ni...semuanya akan jadi lebih parah

      Padam

jerit kat sini