Bertemu Langsuir Dan Paranormal Aktiviti Di Istana Lama Kellie’s Castle

Bertemu Langsuir Dan Paranormal Aktiviti Di Istana Lama Kellie’s Castle

Loading...
Batu Gajah: Istana Inggeris lama Kellie’s Castle, di sini, yang sebelum ini sering dikaitkan dengan pelbagai kisah misteri bakal menjanjikan pengalaman mencabar kepada penggemar aktiviti pelancongan paranormal berikutan cadangan menjadikannya pusat pelancongan malam pertama yang menawarkan pakej menjejaki entiti di Perak.
Berikutan itu juga, baru-baru ini, pengurusan istana berkenaan menjemput sekumpulan pengamal perubatan Islam dikenali sebagai Aura Maarifat bagi membongkar rahsia yang tersembunyi di sebalik struktur berusia 100 tahun itu. 
Kisah mengenai pelbagai ‘jelmaan’ misteri istana lama itu yang sebelum ini menjadi buah mulut penduduk sekitar mula mendapat perhatian apabila pihak berkenaan mendakwa berjaya merakam pelbagai objek aneh menggunakan telefon bimbit dan kamera infra merah.

Pelbagai kisah misteri yang tersimpan di istana itu kini dibongkar satu persatu hasil usaha kumpulan penjejak entiti itu bagi mengesan dakwaan kehadiran bunyi aneh, penampakan objek orbs serta pengakuan lisan entiti ditemui.
PENGUNJUNG melihat salah sebuah bilik di Kellie’s Castle.

Pengalaman menjejaki entiti paranormal sejak tiga bulan lalu turut dilalui sendiri Pengurus Kellie’s Castle Zamari Muhyi bagi memperolehi jawapan sama ada pelbagai cerita mistik yang didengar sebelum ini benar ataupun rekaan semata-mata.
LALUAN balkoni serambi utama Kellie’s Castle yang dikatakan sering menjadi lokasi kemunculan roh pemiliknya.

Menurutnya, dia sebelum ini kerap mendengar kewujudan roh pemilik istana itu William Kellie Smith yang sering dilihat merayau-rayau di sekitar istana itu. 

“Bagi mengukuhkan pelbagai dakwaan ini, saya menjemput pengamal perubatan Islam dikenali sebagai Aura Maarifat, Oktober lalu. Seramai 13 orang tampil dalam usaha merungkai jenis entiti yang berlegar di istana ini. 

“Dalam penjelajahan jam 1 pagi itu, semua mereka dibawa ke lokasi ‘panas’ yang dikatakan menjadi lubuk entiti ini termasuk di bilik Helen (anak Kellie Smith), bilik Linen (bilik menyimpan pakaian), bilik simpanan arak serta di sekitar laluan serambi yang dikatakan kerap berlaku kemunculan makhluk halus,” katanya. 

Zamari berkata, ketika proses menjejaki entiti itu dijalankan, seorang sukarelawan wanita digunakan bagi memujuk entiti memasuki tubuhnya sebagai medium pengantara bagi berkomunikasi. 

“Pada awalnya, kami hanya menemui entiti luar yang berkemungkinan hanya melalui istana berkenaan. Namun, selepas beberapa minit dijalankan, kami akhirnya mengesan entiti asal di bilik Helen dan di bilik Linen sejam berikutnya. 

“Di situ, kami menerima kunjungan entiti yang menggelarkan dirinya sebagai Gopal. Dengan loghat Inggeris India yang cukup pekat, ia mungkin roh salah seorang pekerja Kellie,” katanya. 

Menurutnya, entiti yang memasuki tubuh sukarelawan itu memberitahu dia adalah seorang tukang cuci yang berasal dari India, malah dia turut memberitahu mempunyai isteri di sana. 

“Selain itu istana ini turut dikunjungi lapan ahli Kumpulan Penyingkap Fakta yang turut memburu entiti menggunakan pelbagai peralatan canggih di istana ini kira-kira tiga minggu lalu,” katanya. 


SIAPA WILLIAM KELLIE SMITH,PEMILIK KELLIE'S CASTLE?

Menyingkap sejarah serta misteri Istana Kellie (Kellie’s Castle)


Sebut sahaja Batu Gajah, Perak, pastinya nama Istana Kellie atau Kellie’s Castle akan disebut sebagai tarikan utamanya.  Walaupun telah berusia 107, istana lama yang mulai dibina pada tahun 1905  ini terus kukuh berdiri di puncak bukit, malah keadaan fizikalnya makin bertambah baik hasil aktiviti konservasi yang telah dilakukan keatasnya.

 Jika mahu disingkap sejarah pembinaanya, ramai yang menyatakan Istana Kellie itu ibarat Taj Mahal Malaysia, kerana sepertimana bangunan bersejarah di Agra, India itu,

 Istana Kellie dikatakan dibina sebagai manifestasi cinta seorang suami kepada isterinya. Jika Taj Mahal dibina sebagai lambang cinta Shah Jehan kepada Mumtaz Mahal, Istana Kellie pula dibina atas rasa kasih dan sayang William Kellie Smith kepada isteri beliau, Agnes. 

William Kellie Smith dikatakan bertemu jodoh dengan Agnes sewaktu berada diatas kapal dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang. Sebenarnya William Kellie Smith bukan sahaja telah membina sebuah istana buat isterinya, tetapi beliau turut memindahkan beberapa hartanah miliknya atas nama Agnes. 

Kedudukan sosial keluarga William Kellie Smith pada ketika itu dikatakan sangat tinggi, malah mereka dikatakan dikalangan 10 keluarga elit di daerah Kinta yang menguasai perusahaan ladang getah dan pelombongan bijih timah.



Siapa William Kellie Smith
William Smith dilahirkan pada 1 Mac 1870 di Moray Firth, Dellas, sebuah kawasan tanah tinggi di Scotland. Dilahirkan dalam keluarga petani, beliau merupakan anak ketiga daripada lima orang adik beradik.

Pada 1 Mac 1890 (Utusan Malaysia, 22 Januari 2008), sewaktu berumur 20 tahun, William dikatakan telah merantau ke Malaya untuk menambahbaik taraf kehidupannya,  beliau bermula sebagai jurutera awam dengan mendapat kontrak selama 2 tahun dengan kerajaan kolonial bagi membina laluan keretapi ke sebuah kuari batu yang baru dibina,malangnya projek ini mempunyai masalah lalu beliau terpaksa menghantikannya. William seterusnya membuat usahasama dengan seorang kontraktor, Charles Alma Baker bagi mengusahakan projek membina jalan raya di Perak.

Usahasama dengan Charles Alma Baker ternyata begitu menjadi, beliau berjaya mendapatkan 200 ekar tanah di Batu Gajah untuk diusahakan. 

William memilih untuk mengusahakan tanaman kopi mulai tahun 1896, namun ianya tidak bertahan lama kerana pasaran untuk kopi malaya telah merosot akibat kemunculan kopi dari Brazil yang sangat popular. 

William kemudiannya telah menggantikan tanaman kopi beliau dengan getah, ianya dianggap tindakan yang bersesuaian pada ketika itu kerana getah sangat diperlukan sebagai bahan mentah dalam pembuatan tayar pneumatik. Industri pembuatan kenderaan yang sedang meningkat naik di eropah menyebabkan permintaan terhadap getah menjadi tinggi dan lumayan.

 Ladang getah seluas 144 ekar itu diusahakan bersama rakan kongsi beliau, Alma Baker (Berita Harian, 17 September 2008),William Kellie Smiths akhirnya berjaya membeli sebuah ladang di kawasan Batu Gajah, estet berkenaan kemudiannya dinamakan Ladang Kinta Kellas. 

Selain itu, William Smith turut mengusahakan syarikat perlombongan bijih timah yang dinamakan Kinta Kellas Dredging Company. Menurut  (Dr. Ho Tak Ming, 2007 ) , pada tahun 1903, William Smith terpaksa pulang ke Scotland bagi melawat ibu beliau yang sedang nazak, dalam perjalanan pulang inilah beliau bertemu bakal isterinya, Agnes. 

Setelah kembali semula ke Malaya, William telah menambah nama “Kellie” pada nama beliau, dan mahu dikenali sebagai William Kellie Smith. 

Nama “Kellie” adalah bersempena nama ibunya selain mengahwini Agnes. Agnes merupakan pewaris kepada perniagaan kapas yang diusahakan oleh keluarga beliau, Agnes dikatakan bakal mewarisi dana sebanyak 300,000 pound.

Mendiang William Kellie Smith ( 1870 - 1926) - Gambar ihsan Lamography.com


Karenah Agnes
 Setelah mengahwini Agnes, William tinggal di rumah beliau yang telah dibina di kawasan ladang miliknya, rumah berkenaan dinamakan Kellas House. Kellas House dibina dari kayu, lalu dalam cuaca tropika,  pada ketika suhu panas, suhu dalam rumah turut menjadi tinggi. 

Suhu yang panas sangat tidak menyenangkan Agnes, beliau tidak sukakan Kellas House dan mengindamkan sebuah rumah yang lebih sesuai. Sewaktu mengandungkan Helen, Agnes telah menyuarakan hasrat tersebut kepada William. 

Sudah menjadi kelaziman keluarga elit dari eropah pada ketika itu,untuk lari dari cuaca panas, mereka akan berkunjung ke Bukit Maxwell di Taiping atau Bukit Kledang di Menglembu, Ipoh.

Istana Kellie dibina
 Menyedari situasi kewangan beliau yang baik, William setuju dengan cadangan isteri beliau, tambahan pula isterinya itu bakal mewarisi dana sebanyak 300,000 Pound sterling yang dianggap lebih dari cukup untuk membiayai rumah idaman mereka. Setelah Agnes melahirkan anak sulung mereka Helen pada 1904, William tanpa lengah lagi terus mengusahakan pembinaan kediaman baru mereka. 

Dalam tahun yang sama, William telah berurusan dengan sebuah firma kewangan dari Singapura untuk memperolehi dana pendahuluan sebanyak 24,000 pound setahun selama 3 tahun. Pembiayaan kewangan ini dikatakan untuk pembangunan ladang milik beliau disamping pembinaan rumah baru keluarga tersebut, pembayaran balik atas dana pendahuluan tersebut akan dilunaskan sebaik sahaja pemegang amanah perniagaan keluarga Agnes melepaskan dana yang diamanahkan kepada mereka.

Masalah kewangan rencatkan proses pembinaan
Setahun selepas perancangan pembinaan dibuat, William telah menerima berita yang kurang menyenangkan, pemegang amanah dana milik isterinya telah memaklumkan bahawa dana berjumlah 300,000 pound itu hanya akan dilepaskan dalam tahun 1908. 

Tambah menyulitkan lagi, firma kewangan dari Singapura yang menyediakan dana pinjaman kepada william turut mengalami nasib malang, mereka terpaksa menghentikan pembiayaan kepada William kerana firma itu sendiri mengalami kegawatan ekonomi kesan prestasi perniagaan mereka yang teruk di Indonesia. 

Untuk keluar dari kemelut kewangan ini, William telah meminta Agnes menulis surat kepada  kerajaan kolonial untuk memohon dana bantuan sebanyak 50,000 pound. Permohonan tersebut diterima, tetapi dengan nilai separuh dari yang dimohon, sebelum dikurangkan lagi, akhirnya nilai akhir yang setuju dipinjamkan oleh kerajaan kolonial kepada Agnes adalah sebanyak 10,000 pound. 

Karenah pemerintah kolonial yang dikatakan skeptikal terhadap keupayaan Agnes membayar balik pembiayaan yang dimohon telah mencabar William untuk meneruskan juga pembinaan kediaman baru mereka.

Kesempitan kewangan ini menyebabkan William terpaksa menjual 2/3 kawasan ladang milik beliau  bagi tujuan pembayaran balik dana yang dipinjam. Malang kemudian berkunjung lagi, kali ini permit konsesi milik William melalui aktiviti perlombongan bijih timah telah ditamatkan selain kehilangan ternakan kuda dan lembu akibat wabak penyakit.


Dibina menggunakan putih telur, gula merah dan madu
Setelah memperolehi dana yang diwarisi oleh Agnes pada tahun 1908, pembinaan istana akhirnya berkenaan dapat diteruskan. William telah menggaji 70 orang buruh mahir dari Madras, India untuk menyiapkan kediaman beliau, kebanyakkan bahan binaan hiasan seperti batu marmar adalah  diimport dari India, sementara Jubin yang digunakan diimport dari Itali pada tahun 1904. 

Batu bata jenis aprikot yang digunakan dibuat di Malaya, begitu juga dengan kayu cengal yang menghiasi  jenang pintu dan tingkap istana berkenaan, kualiti kayu cengal sememangnya diakui serta mampu kekal utuh sehingga 200 tahun lamanya. Oleh kerana pada ketika itu simen tidak ada di Malaya, maka dinding istana tersebut dibina dengan kaedah yang sangat unik, iaitu dengan menggunakan campuran putih telur itik, pasir, kapur, gula merah dan madu.

 Dengan seni binanya yang mempunyai asimilasi konsep Greco – Roman, Moorish dan india, istana ini sememangnya unik, malah binaan yang seumpamanya tidak dapat dilihat dimana-mana di Malaya pada ketika itu. 

Menurut Tajuddin Yaakob, Pengurus Istana Kellie, pembinaan istana ini tidak menggunakan paku, besi atau jentera berat. Menurut beliau lagi, seandainya lif di menara Istana Kellie dapat disiapkan, maka bangunan itu akan menjadi bangunan pertama di Malaya yang mempunyai lif.


 Ciri-ciri senibina yang terdapat pada bangunan sekretariat kolonial di Kuala Lumpur turut diselitkan, bagi mengatasi masalah suhu panas dalam rumah yang menjadi isu kepada Agnes, William menggunakan dinding batu yang tebal, selain laluan berkoridor yang akan membantu pengudaraan yang baik. 

Istana Kellie sebenarnya pernah mendapat liputan sebuah akhbar inggeris di London, iaitu London Financier pada 15 September 1911. Menurut laporan akhbar berkenaan, istana kellie dianggap unik dari sudut rekabentuk binaan serta keluasannya.

Istana Kellie dari seberang Sungai Kinta.

Bilik-Bilik
Pelan asal sewaktu Istana ini dibina menunjukkan ianya  mempunyai 14 buah bilik yang mempunyai fungsi yang berbeza setiap satunya. Setiap bilik ahli keluarga yang terdapat di tingkat satu mempunyai laluan tangga yang akan digunakan ketika kecemasan (NST, 2004).

Bilik Khas yang dipercayai untuk menyimpan minuman keras.

William Kellie Smith dan Agnes bersama kereta Marlborough milik mereka, kereta inikah yang dikatakan tertimbus dibawah runtuhan salah satu terowong di Istana Kellie. (Gambar ihsan Arkib Negara Malaysia dan NST).

Kematian William Kellie Smith
Pada tahun 1926, William serta anaknya Helen telah pergi ke Lisbon, Portugal sebelum meneruskan perjalanan ke England untuk melawat Agnes dan Anthony. 

Ada juga maklumat yang mengatakan William Kellie pulang ke England untuk membawa balik set lif yang ingin beliau pasang di menara istananya ( NST, 27 Mei 2008). 

Malangnya sewaktu berada di  Portugal, William telah diserang penyakit radang paru-paru yang kronik, beliau akhirnya meninggal dunia di Lisbon pada 11 Disember 1926 pada usia 56 tahun.

Pembinaan istana terbengkalai 
Setelah kematian suaminya, Agnes telah meninggalkan Malaya, sebelum itu beliau telah bertindak menjual segala harta milik mereka, termasuk Istana Kellie (NST, 27 Mei 2008). Ladang milik Kellie telah dijual kepada Syarikat Harrisons and Crosfield. 

Syarikat yang mulai mengambil alih ladang berkenaan ternyata tidak berminat dengan projek istana tersebut, lalu pengarahkan pembinaanya tidak diteruskan dan dibiarkan begitu sahaja, maka pembinaan istana Kellie terhenti pada tahun 1926.

 Waris William Kellie Smith
Tidak dapat dipastikan sama ada pernah ada usaha untuk menjejaki waris William Kellie Smith, namun berdasarkan rekod, anak lelaki beliau, Anthony William Kellie-Smiths pernah berkhidmat dalam pasukan tentera British sewaktu perang dunia ke2, 

Anthony kemudiannya terbunuh pada 9 Jun 1942, pada ketika itu beliau berpangkat Leftenan. Hasil semakan daripada laman web “The Peerage : A genealogical survey of the peerage of Britain as well as the royal families of Europe”


http://www.thepeerage.com/) , keturunan William Kellie Smiths yang seterusnya ialah cucu beliau, David Anthony Kellie-Smith yang dilahirkan pada 4 jun 1940, serta dua orang cicit, iaitu Samuel Anthony Kellie-Smith ( dilahirkan pada 12 May 1966) dan Owen William Kellie-Smith ( dilahirkan pada 20 julai 1968), jurai keturunan 

ini adalah daripada anak lelaki beliau, Anthony, sementara jurai keluarga dari sebelah anak perempuan Smith, Helen tidak dapat dikesan.

Antara sudut Istana yang gagal disiapkan

Kisah Misteri disebalik Istana Kellie
Sudah menjadi lumrah mana-mana bangunan lama yang ditinggalkan, kisah misteri seram pasti diulit dan menjadi sebutan dari generasi ke generasi,sepertimana kisah penunggu di Istana Menati, Negeri Sembilan atau kisah Perempuan Hijau di Kolej Melayu Kuala Kangsar. 

Istana Kellie sendiri mengundang pelbagai kisah misterinya yang tersendiri. Malah Istana Kellie pernah dicadangakan sebagai antara kawasan tarikan bagi Pelancongan Paranormal (Paranormal Tourism) bersama Jirat Cina di Sungai Besi, Selangor (NST, 13 Mac 2006).


Roh William Kellie menjaga istananya
Roh William Kellie Smith juga dikatakan sentiasa merayau-rayau di sekitar koridor bekas istananya itu.(NST, 27 Mei 2008). Ketika ditemuduga dalam satu rancangan dokumentari, Tajuddin Yaakob, Pengarah Aqfast Enterprise, iaitu syarikat yang bertanggungjawab menguruskan Istana Kellie turut berkongsi kisah misteri. 

Beliau merujuk peristiwa dimana sekumpulan ahli naturalis saintifik dari Kanada yang mengadakan kajian tentang haiwan yang keluar pada waktu malam di kawasan berkenaan. Sekitar tengah malam, setelah selesai mengambil gambar, salah seorang anggota wanita pasukan tersebut dikatakan telah terlihat satu lembaga yang menyerupai seorang lelaki bangsa Eropah sedang berdiri dan menjenguk dari salah satu tingkat di Istana berkenaan, lembaga tersebut dipercayai roh William Kellie Smith.

Di koridor inikah Roh William Kellie Smith dikatakan dilihat merayau-rayau ?


Misteri Bilik Helen
Antara ruang dalam istana Kellie yang dianggap mempunyai misteri ialah bilik anak perempuan beliau, Helen. Seorang pengunjung dikatakan pernah terlihat seorang budak perempuan bangsa eropah dalam lingkungan usia enam tahun berkeliaran di bilik tersebut

BILIK Helen yang dikatakan masih ‘berpenghuni’ sehingga kini berdasarkan penyelidikan kumpulan Penyingkap Fakta.


Pengawal Tanpa Kaki
Dalam tahun 1995, dikisahkan empat orang pemuda dari Tapah, Perak buat kali pertamanya melawati Istana Kellie, mereka tiba di Istana berkenaan pada kira-kira pukul lima petang. Malangnya mereka telah didatangi seorang lelaki yang dipercayai pengawal istana berkenaan dan dimaklumkan bahawa premis berkenaan telah ditutup kerana telah melewati tempoh melawat. 

Sebelum meninggalkan premis berkenaan mereka sempat memandang kearah pengawal tadi yang sedang menuju ke pondok pengawalnya, disitulah baru mereka sedari bahawa pangawal tadi TIDAK BERKAKI, sebaliknya seakan melayang menuju ke pondoknya (NST, 8 Oktober 2006).

Bertemu Langsuir
Seorang pengawal di Istana Kellie, Kamazan Yeop atau Pak Naman berkongsi pengalaman seram beliau sewaktu melakukan tugas rondaan selepas waktu melawat berakhir pada pukul 6 petang. Sewaktu beliau melintasi sebatang pokok angsana yang berada di halaman istana berkenaan, beliau terdengar bunyi yang agak mencurigakan, lalu mematikan langkah beliau disitu. 

Sebalik sahaja menoleh kebelakang, kelihatan satu lembaga putih dengan rambut hitam menggerbang muncul di sisi pokok angsana berkenaan dan menuju kearah dimana beliau berdiri. Dalam situasi cemas itu, 

Pak Naman sempat membaca beberapa potong ayat quran sambil mengacukan senapang patah beliau kearah lembaga tersebut. Beberapa das dilepaskan, namun ianya tidak meninggalkan sebarang kesan, sebaliknya lembaga tersebut melayang terbang meninggalkan kawasan tersebut. 

Dikatakan lembaga  yang ditemui oleh Pak Naman itu sebenarnya adalah Hantu Langsuir, beberapa hari kemudian, Pak Naman sekali lagi terserempak dengan satu lembaga putih, cuma kali ini di sekitar kawasan Surau premis berkenaan dan Pak Naman tidak pasti lembaga apakah yang beliau temui itu. Kedua-dua peristiwa ini berlaku dalam tahun 1997 (NST, 26 Jun 2006).

Lokasi Pak Naman bertemu langsuir

Khatimah
Pada tahun 2000, projek arkeologi konservasi telah dijalankan keatas bangunan ini, sebelum proses pemuliharaan dan naik taraf turut dilaksanakan pada 2011. Istana Kellie kini berada dalam keadaannya yang terbaik berbanding sebelum ini, projek naik taraf yang menelan belanja sebanyak RM5 juta itu merupakan sebahagian daripada projek di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10). 

Projek naik taraf yang siap sekitar Oktober 2011 itu telah melihatkan impak yang sangat besar kepada industri pelancongan negeri Perak, ianya berdasarkan kepada statistik pelawat sepanjang 2011 yang menunjukkan Istana Kellir telah dilawati oleh 66,000 orang pelancong dalam dan luar Negara (Bernama, 20 Oktober 2011).

 Kini pengurusan Istana Kellie diuruskan oleh sebuah syarikat swasta, Aqfast Enterpise. Semoga istana  ini terus kekal sebagai tarikan utama industri pelancongan negara, dan dalam masa yang sama kajian harus terus dilakukan berkaitan dengannya, usah dibiarkan Istanan Kellie ini terus kekal dalam misteri.

Seram...Istana Kellie dalam tahun 1970. (Gambah Ihsan NST)

Indah...Istana Kellie dalam tahun 2012







http://harithsidek.blogspot.com/

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. menyeramkanlah pulak kann... hu hu hu...

    BalasPadam
  2. Alam ghaib ni..tapi cerita-cerita macam ni adakalanya betul kan kak tie coz semuanya tu kan makhluk Allah!!!

    BalasPadam

jerit kat sini