Loading...
KOTA BHARU – Misteri bau busuk dalam tandas asrama di sebuah sekolah di Kok Lanas pagi semalam, terbongkar apabila penyelia asrama terbabit, menemui mayat seorang pelajar dalam keadaan tergantung dengan kain pelekat dalam tandas yang terkunci.
Penyelia terbabit, Zul Atfi Mohamad, 37, berkata, sebagai rutin setiap pagi dia melakukan pemeriksaan bersama pengetua sekolah bagi meninjau setiap keadaan kawasan sekitar sebelum pelajar memulakan kelas al-Quran pada setiap pagi selepas bermulanya cuti sekolah awal Disember lalu.
Menurutnya, hanya apabila sampai di kawasan bilik air di tingkat bawah, dia tercium bau yang amat busuk dan mendapati pintu salah sebuah tandas dalam bilik air asrama terkunci dari dalam.
“Curiga dengan keadaan itu, saya mengambil kerusi yang berada di luar dan cuba memanjatnya bagi meninjau keadaan dari dalam tandas yang terkunci itu.
“Ketika saya memanjat dinding bilik air berdekatan dengan siling tandas, saya mendapati mayat seorang lelaki separuh bogel dengan hanya memakai baju dan jaket manakala lehernya diikat dengan kain pelekat tergantung dalam tandas dan terdapat kesan darah dan najis di lantai bilik air itu,” katanya.
Kata Zul Atfi lagi, sebelum ini sepanjang lima hari bertugas di situ, dia turut melakukan pemeriksaan di seluruh kawasan termasuk di bilik air ini hampir setiap hari bermula Selasa lalu, namun tidak pula tercium bau busuk.
“Apa pun pihak sekolah menyerahkan kes ini kepada polis untuk tindakan lanjut bagi mengenal pasti identiti mangsa,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, sehingga ini pihaknya sudah mengenal pasti mayat mangsa dan hasil semakan yang dibuat melalui pengetua sekolah itu, mendapati salah seorang pelajar lelaki yang berusia 16 tahun tidak pulang ke rumah.
“Pihak sekolah telah menghubungi keluarga mangsa dan difahamkan pelajar itu tidak pulang ke kampungnya di Pasir Mas, selepas cuti bermula pada 7 Disember lalu,” katanya.
Berdasarkan pengecaman yang dilakukan oleh kedua-dua ibu bapa mangsa, mereka sudah mengenal pasti dan mengecam pakaian serta cermin mata yang dijumpai di tempat kejadian.
“Dari hasil siasatan terhadap mayatnya, pelajar itu sudah tiga hari berada dalam keadaan demikian. Melalui pengamatan yang dijalankan, kejadian terbabit tiada kaitan dengan unsur jenayah dan kes diklafikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.
0 Ulasan
jerit kat sini