INILAH DIA LAUK HARAM JADAH DARI BUMI MELAKA

INILAH DIA LAUK HARAM JADAH DARI BUMI MELAKA

Loading...

Lauk 'haram jadah' menu istimewa



HUJAN lebat yang turun membasahi Kampung Budaya Chetti di Jalan Gajah Berang, Melaka itu tidak menghalang buat kru Jurnal daripada menyelami keunikan cara hidup komuniti minoriti Chetti di Bandar Raya Bersejarah itu.
Jalan masuk ke perkampungan yang didiami hampir 60 keluarga itu dihias dengan tembok ukiran gajah yang terletak bersebelahan Kuil Mutamariman.
Setibanya di sebuah rumah kayu di penghujung jalan tersebut, kami disambut mesra oleh pemiliknya, K. Nadarajan Raja.
Di sisinya, berdiri seorang wanita yang begitu sopan mengenakan kain batik serta kebaya singkat berona hijau pucuk pisang.
“Perkenalkan, ini isteri saya, Wenila,” ujar Nadarajan ringkas.
Sekali pandang, raut wajah pasangan suami isteri itu kelihatan seperti orang Melayu kerana mereka memiliki warna kulit sawo matang dan mata yang lebih bundar berbanding orang India yang berkulit gelap dan bermata galak.
Apatah lagi, mereka tidak kekok memperagakan pakaian dan aksesori tradisional yang biasanya dipakai orang Melayu.
Cuma, lantaran pegangan agama Hindu yang kuat dalam kalangan komuniti Chetti, mereka memakai ‘pottu’ di dahi bagi membezakan mereka daripada orang Melayu.
“Kebanyakan rumah di kampung India Peranakan ini tidak ubah seperti kediaman orang Melayu di kampung.
“Bezanya, kami tidak menganut agama Islam walaupun mengamalkan budaya orang Melayu,” katanya ketika memulakan bicara mengenai keunikan komuniti yang berusia lebih 500 tahun itu.
Menariknya, ujar lelaki berusia 49 tahun itu, hampir setiap rumah India Peranakan di kampung tersebut mempunyai sebatang pokok mangga di halaman rumah mereka.


                              SEBAHAGIAN bahan-bahan yang digunakan untuk menyediakan juadah 'haram jadah'.



Daun mangga
Ini kerana susunan daun mangga yang telah siap dijahit dengan rotan dan digantung di atas pintu rumah sebenarnya menjadi simbol utama untuk mengenali rumah masyarakat Chetti Melaka.
Bagaimanapun, kata Nadarajan, susunan itu mestilah dalam jumlah ganjil bagi membezakan antara rumah Tamil Chetti dengan masyarakat India lain.
“Kita selalu guna 21 helai daun manakala orang India guna hanya sembilan daun mangga.
“Meskipun dalam angka ganjil, bilangan yang dibolehkan harus berakhir dengan nombor 1 seperti 21 dan 31. Jumlah daun yang lebih banyak seperti 51 dan 101 pula digunakan untuk upacara sembahyang,” jelasnya panjang lebar.
Menurutnya, ia sebagai simbolik untuk menggantikan Tuhan Ganesha yang dikatakan gemar makan buah tersebut.
“Daun mangga akan digantung selama setahun dan ditukar setiap kali tiba tahun baharu India iaitu pada setiap 14 April.
“Namun, jika ada kematian, ia perlu diturunkan dan digantung semula dengan yang baharu selepas tempoh 16 hari,” katanya.
Tanpa berlengah, Nadarajan menjemput kami ke dapur bagi menikmati hidangan makan tengah hari.
“Ahli keluarga saya sedang menyiapkan menu istimewa masyarakat Chetti iaitu lauk ‘haram jadah’.
“Kalau mahu lihat dengan lebih dekat, mari ikut saya,” katanya.

                                        
KOMUNITI India Peranakan wujud daripada perkahwinan pedagang India dengan wanita tempatan di Melaka.

Di ruang dapur, kelihatan dua orang sepupunya, S. Rajahtan dan S. Sitapillai sibuk menyediakan bahan-bahan untuk juadah tradisional masyarakat Chetti itu.
Sambil tangannya leka menggaul bahan tumis, Rajahtan memberitahu, ‘haram jadah’ sebenarnya merupakan hidangan yang mengandungi campuran beberapa jenis sayur-sayuran seperti lobak putih, terung, peria dan kacang panjang.
“Dahulu semasa zaman nenek moyang kami, mereka tidak mempunyai resipi khusus untuk memasak hidangan ini dan menggunakan apa jua bahan-bahan yang mudah didapati.
“Jadi, apabila ditanya, lauk haram jadah apa yang kau masak ni?, mereka pun tidak tahu nak jawab apa.
“Lalu, apabila mahu makan lauk yang sama, mereka kata masak lauk haram jadah yang dibuat hari itulah dan lama-kelamaan nama tersebut kekal sehingga sekarang,” kata lelaki berusia 60 tahun itu sambil ketawa kecil.
Menurutnya, mengikut resipi turun-temurun, lauk ‘haram jadah’ juga tidak menggunakan sebarang jenis daging sebaliknya digantikan dengan sayur-sayuran sebagai bahan utama.
“Sayur-sayuran ini perlu dicelur dalam air panas terlebih dulu supaya tidak mengambil masa yang lama untuk dimasak.
“Selain murah dan lebih mudah didapati, sayur-sayuran juga ternyata lebih berkhasiat,” katanya yang mempelajari masakan itu daripada arwah ibunya, Tevani Raja.
Berbeza dengan masakan kari dan dalca yang terkenal dalam kalangan masyarakat India, lauk itu tidak menggunakan daun atau rempah kari serta kacang dal sebagai bahan asas.
Cita rasa Melayu
“Ia hanya menggunakan santan kelapa dan air asam jawa untuk menghasilkan kuah yang pekat dan berperisa.
“Bagi bahan tumis pula, kita guna udang kering, ikan bilis, bawang merah, bawang putih, cili, lengkuas, buah keras dan belacan melaka,” katanya.
Jelas lelaki yang begitu fasih berbahasa Melayu itu, menu tradisi berkenaan masih dipelihara hingga sekarang dan biasa dihidangkan ketika kenduri, musim perayaan dan hari kebesaran masyarakat India seperti Pesta Ponggal serta Deepavali.

GOLONGAN wanita Chetti lebih selesa mengenakan kain batik dan baju kebaya.


“Hidangan ini enak dimakan bersama nasi panas, ikan sinting goreng, sambal belacan serta sambal cuka timun,” ujarnya.
Juadah bercita rasa Melayu begitu sinonim dalam masakan masyarakat Chetti.
Apa tidaknya, selain masakan ‘haram jadah’, mereka juga terkenal dengan hidangan lauk masak pindang ikan tenggiri, pindang daun gerimis, sambal telur ikan parang dengan belimbing, terung masak ikan kering dan acar cili.
“Kami juga lebih gemar makan nasi lemak sebagai sarapan berbanding makanan India seperti tose, idli dan utthapam,” ujarnya.
Tambahnya, rata-rata komuniti Chetti yang menganut agama Hindu hanya mengambil ikan, daging ayam dan kambing sebagai sumber protein dalam diet seharian mereka.
Katanya, masyarakat India Peranakan itu tidak mengambil daging lembu dan babi atas faktor agama Hindu dan budaya Melayu yang dipraktikkan sejak zaman-berzaman lagi.
“Dalam kebanyakan keluarga masyarakat Chetti, ayah tidak makan daging lembu manakala ibu tidak makan daging babi.
“Oleh itu, ia menjadi ikutan daripada satu generasi ke satu generasi lain,” katanya.


 


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2mO2liuoR 

Catat Ulasan

4 Ulasan

jerit kat sini