Header Ads

Anjakan kutub bumi bermula

loading...

KEADAAN cuaca tidak menentu dan bencana alam semakin kerap berlaku sejak akhir-akhir ini dipercayai mempunyai kaitan dengan perubahan kecondongan paksi bumi.

Selain itu, pemanasan global juga dikatakan turut mengubah lokasi geografi kutub bumi menurut kajian Geophysical Research Letters.

Laporan penyelidik Universiti Texas, Austin mendedahkan, pencairan bongkah ais semakin meningkat di Greenland menyebabkan kedudukan Kutub Utara berubah beberapa sentimeter pada setiap tahun sejak 2005.

Difahamkan, bermula 1982 hingga 2005, kutub tersebut berubah secara perlahan dari tenggara ke bahagian utara Labrador, Kanada pada jarak kira-kira 2 milliarcsecond atau 6 sentimeter setahun.

Sejak 2005, kutub mula bertukar haluan dan bergerak ke arah timur Greenland pada jarak lebih 7 miliarsecond setahun.

Kumpulan saintis telah sekian lama mengetahui bahawa lokasi kutub bumi tidak tetap dan ia juga menjadi penyebab musim menjadi tidak menentu seperti yang berlaku pada ketika ini.

Selain itu, pencairan ais juga menjadi punca utama paras air meningkat kepada lebih 90 peratus akibat daripada anjakan kutub pada 2005.

Medan magnet bumi berganjak

Pada 2011, medan magnet bumi dilaporkan berganjak pada jarak 64 kilometer setahun, dan saintis menyifatkan ia sebagai fenomena normal yang berlaku sekali pada setiap 100,000 tahun.

Keadaan itu menyebabkan arah kompas berubah dan berkemungkinan tidak lagi menghala ke arah Kutub Utara berikutan kutub kini telah berganjak dari utara Kanada menghampiri ke Rusia.

Susulan daripada perubahan itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Tampa di pantai barat Florida terpaksa melakukan pengubahsuaian terhadap tanda arah di tiga landasan berdasarkan anjakan medan Kutub Utara.

Saintis menganggarkan pada setiap lima hingga 10 tahun, arah kompas akan berubah akibat anjakan kutub bumi.

Bagaimanapun, pendedahan pada pertengahan tahun lalu yang turut dimuat naik ke dalam Youtube menunjukkan Kutub Utara berganjak 260 kilometer dalam tempoh enam bulan.

Perubahan itu menyebabkan medan magnet bumi beralih dari Kanada ke Siberia dalam tempoh kurang daripada 24 bulan.

Apabila peralihan tersebut berlaku,  kutub akan berada pada kedudukan 40 darjah merentasi hemisfera utara.

Menurut Conall Mac Niocaill, seorang saintis di Universiti Oxford, medan magnet bumi semakin lemah dan ia telah berganjak lebih 1,500 km sejak berabad lalu.

“Kekuatan medan magnet Kutub Utara berkurangan 10 peratus sejak 150 tahun lalu.

"Setiap 250,000 tahun sekali, medan magnet ini akan berubah arah ke selatan dan fenomena tersebut dipercayai kali terakhir berlaku kira-kira 800,000 tahun lalu iaitu sebelum kewujudan manusia,” katanya lagi.

Sehingga kini, saintis gagal menemui jawapan bagaimana fenomena penyongsangan medan magnet itu terjadi.

Waktu lebih singkat

Ahli geofizik Nasa, Richard Gross mendedahkan, kadar putaran bumi menjadi lebih cepat kira-kira 1.8  mikrosaat akibat gempa berkekuatan 9.0 skala Richter yang melanda Jepun pada 2011.

“Gempa kelima terkuat di dunia sejak 1900 itu juga menyebabkan waktu sehari yang sepatutnya bersamaan 24 jam menjadi lebih singkat tanpa disedari masyarakat,” katanya.

Difahamkan, gegaran dahsyat tersebut mengakibatkan kepulauan Honshu berganjak sehingga 2.4 meter dengan pembentukan rekahan di bawah dasar laut sepanjang ratusan kilometer selain paksi bumi berubah pada jarak hampir 10 sm.

Ahli Geofizik Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), Kenneth Hudnut memaklumkan, peta dari Lembaga Maklumat Geospatial (GSI) menunjukkan terdapat corak peralihan melibatkan kawasan yang besar selepas gempa berlaku.

Perubahan paksi bumi mengubah arah utara dan selatan.



KEBANYAKAN media sosial dan blogger kini sibuk memperkatakan fenomena pelik yang berlaku di seluruh dunia dan didakwa sebagai tanda awal kiamat.

Negara beriklim tropika dan panas mula menerima kesan akibat perubahan cuaca mendadak pada tahun ini dan sebahagian kawasan seperti Mesir serta Vietnam turut dilitupi salji tebal.

Perubahan magnet pada kerak bumi menyebabkan Kutub Utara bergerak dengan lebih cepat ke arah Siberia untuk berada pada kedudukan 40 darjah.

Beberapa kajian mendapati pergerakan itu berlaku semakin laju iaitu pada jarak 42 km sebulan dan dianggarkan berganjak sebanyak 2 km sehari pada 2013.

Ia merentasi garisan Khatulistiwa untuk berada pada kedudukan 40 darjah di selatan.

Jika keadaan itu berlaku, seluruh permukaan bumi berkemungkinan akan berubah seperti dipaparkan dalam filem sains fiksyen berjudul '2012'.

Paling memeranjatkan, kawasan Amerika Selatan terutamanya Brazil didakwa akan menjadi Kutub Utara manakala India menjadi Kutub Selatan.
Bagaimana dengan nasib Malaysia? Ia dikatakan akan membeku dan berada sebaris dengan India, sekali gus meletakkan garisan Khatulistiwa berada di Antartika.

Bandar pesisir pantai bakal tenggelam dan Australia Barat dipercayai turut mengalami nasib sama serta setengah negara mengalami waktu siang atau malam lebih panjang.

Fenomena medan kutub bumi menyongsang dikhuatiri mengakibatkan bencana alam lebih dahsyat seperti taufan, gempa bumi dan letusan gunung berapi.

Selain itu, ia juga akan memberi kesan besar kepada ekosistem dan migrasi haiwan yang selama ini bergantung kepada perubahan musim dan iklim di sesuatu kawasan.

Medan magnet bumi juga akan menjadi lemah dan terdedah kepada fenomena ribut suria serta sinaran kosmik iaitu partikel bertenaga tinggi dan gelombang elektromagnet dari angkasa lepas.

Pergerakan kutub memang sedang berlaku dan ia boleh dilihat menerusi kejadian bencana alam yang didakwa berpunca daripada pemanasan global dan perubahan iklim secara mendadak sejak akhir-akhir ini.

Pelbagai teori didedahkan menyebabkan saintis menganggarkan medan magnet akan menyongsang dalam tempoh dua tahun lagi berdasarkan pergerakan kutub yang semakin laju.

Adakah keadaan itu akan berlaku atau ia hanya sebuah lagi spekulasi seperti ramalan kiamat 2012 yang digembar-gemburkan pada tahun lalu?

Kiamat menurut Islam

Beberapa hadis dan ayat al-Quran ada menjelaskan persoalan mengenai hari kiamat:

Ibnu Umar RA berkata, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, lima kunci perkara ghaib, tidak mengetahuinya melainkan ALLAH iaitu:

1) Tiada mengetahui apa tersimpan di dalam rahim (kandungan perempuan) melainkan ALLAH.

2) Tiada siapa mengetahui apa akan terjadi esok hari melainkan ALLAH.

3) Tiada seorang pun mengetahui bila waktunya hujan akan turun melainkan ALLAH.

4) Tiada seorang pun mengetahui di negeri mana dia akan mati melainkan ALLAH.

5) Tiada yang mengetahui bila kiamat akan terjadi melainkan ALLAH.
(Hadis Riwayat Bukhari)

Adakah fenomena pelik melibatkan perubahan ekstrem cuaca dunia dan bencana alam dahsyat adalah satu peringatan atau petanda kepada manusia di akhir zaman?

Abu Hurairah berkata, Rasulullah bersabda, ‘Tidak akan tiba hari kiamat sehingga ilmu pengetahuan (agama) dilenyapkan, banyak gempa bumi, masa saling berdekatan (semakin singkat), banyak timbul fitnah, banyak huru-hara iaitu pembunuhan, hingga harta benda melimpah ruah di antara kamu.'

(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Sebagai orang Islam, kita wajib percaya bahawa hari kiamat merupakan Rukun Iman ke- 5 akan tiba seperti diterangkan dalam al-Quran.

ALLAH SWT berfirman :
Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: “Bilakah terjadinya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba.” Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang bari kiamat itu adalah di sisi ALLAH, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
(Surah Al-A’raf, Ayat 187)


Dan juga pada ayat:
Manusia bertanya kepadamu tentang hari berbangkit. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang hari berbangkit itu hanya di sisi ALLAH.” Dan tahukah kamu (Muhammad), boleh jadi hari berbangkit itu sudah dekat waktunya.
(Surah Al-Ahzab, Ayat 63)
Loading...

1 ulasan:

jerit kat sini

Dikuasakan oleh Blogger.