Retak Seribu Perkahwinan Remaja Perempuan Berusia 13 Tahun

Retak Seribu Perkahwinan Remaja Perempuan Berusia 13 Tahun

Loading...

Retak tak sampai setahun

Kulim: Impian seorang remaja perempuan yang menggemparkan negara apabila berkahwin pada usia muda untuk mengecapi kebahagiaan alam perkahwinan seumur hidup berakhir apabila ikatan pasangan suami isteri berkenaan terlerai dipercayai akibat tidak sehaluan.
Nor Fazira Saad, 13, dinikahkan dengan suaminya, Mohd Fahmi Alias, 20, pada 17 November tahun lalu sebelum pasangan berkenaan disahkan bercerai dengan talak tiga di Mahkamah Syariah Kulim, di sini, pada 11 November lalu iaitu kurang setahun hubungan mereka disatukan.

Bapa kepada Nor Fazira, Saad Mustaffa, 43, berkata, walaupun pahit menerima kenyataan berkenaan, namun dia menerima keputusan dibuat pasangan terbabit dengan hati tenang dan menganggap bukan jodoh mereka untuk mengekalkan alam perkahwinan.
Menurutnya, apa yang berlaku mungkin suratan takdir atas ketentuan Allah dan semua kejadian pasti mempunyai hikmah di sebaliknya.

Bagaimanapun, dia mengakui tidak mengetahui punca sebenar membawa keretakan rumah tangga mereka, malah tidak mahu mengambil tahu perkara yang sudah terjadi.

“Siapa yang tidak sayang anak apabila terjadi perkara sebegini terutama dalam usia masih muda, namun saya berpesan kepada Fazira supaya sentiasa tabahkan hati kerana usianya masih muda dan banyak yang dia perlu pelajari.
MOHD FAHMI dan isterinya disahkan bercerai pada 11 November lalu.
“Kejadian ini memberi pengajaran kepada anak saya. Bukan perkara mudah mendirikan rumah tangga terutama ketika usianya masih terlalu muda.

“Fazira tidak banyak bercakap mengenai nasib menimpa dirinya, tetapi saya meletakkan dia tinggal bersama ibu saudaranya di Padang Serai supaya jiwanya kembali tenang dan sentiasa berfikir dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Menurutnya, perkara berkenaan sudah pasti memberi pengajaran kepada anaknya selain orang ramai terutama golongan remaja yang diulit percintaan bahawa untuk mendirikan rumah tangga bukan mudah dan mereka perlu matang.

Katanya, dia sudah mengetahui perkara terbabit sejak beberapa minggu lalu apabila Fazira memaklumkan kepada isterinya bahawa mereka mungkin berpisah kerana ada masalah tertentu.

“Selepas mengetahuinya, saya hanya mampu memberi nasihat kepada anak saya supaya menerima takdir ini dengan hati tenang dan jangan berputus asa, mungkin itu bukan jodohnya.

“Cuma saya berharap apa yang terjadi ini akan dilupakannya. Bagi saya, dalam usia 13 tahun, masanya masih panjang dan dia tidak perlu terlalu risau atau tertekan walaupun bergelar janda dalam usia begitu muda.

“Pada masa sama, saya juga berharap perkara ini sudah selesai dan mereka berdua menjalani kehidupan masing-masing. Saya juga meminta masyarakat supaya tidak memandang serong terhadap mereka,” katanya.

Menurutnya, sepanjang pengetahuannya, Fazira seorang yang bertanggungjawab kerana dia memahami masalah rumah tangga tidak perlu didedahkan kepada sesiapa.

“Sebagai bapa, saya tahu perasaan anak saya sekiranya dia menyembunyikan sesuatu berdasarkan riak muka dan apabila pulang ke rumah, saya bertanya mengenai sebarang masalah yang dihadapi, tetapi dia membalas dengan senyuman,” katanya.

Harian Metro turut cuba menghubungi keluarga lelaki berkenaan untuk mendapatkan maklum balas, namun gagal.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Agama Daerah Kulim mengesahkan pasangan terbabit sudah membuat pendaftaran perceraian di pejabat terbabit pada minggu lalu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Fazira mendirikan rumah tangga dengan pasangannya pada usia 12 tahun selepas mendapat perintah mahkamah mengikut Seksyen 18 (1)(a) Enakmen Undang Undang Keluarga Islam Kedah 2008.

Majlis pernikahan mereka berlangsung di Masjid Kampung Padang Cina, di sini, dengan wang hantaran RM4,552 serta mas kahwin RM1,500 pada 17 November 2012 selepas mendapat perintah kebenaran untuk bernikah di bawah umur daripada Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada 7 November 2012.


Catat Ulasan

0 Ulasan