Masalah suami-isteri jadi keluh kesah di Makkah

Masalah suami-isteri jadi keluh kesah di Makkah

Loading...

Masalah suami isteri dan hubungan antara menantu dengan mentua yang berubah semasa berada di tanah suci adalah antara keluh kesah diluahkan jemaah haji kepada unit kaunseling yang disediakan Tabung Haji (TH) di Makkah.

Pengurus Kaunseling TH, Fauziah Ahmad berkata, masalah komunikasi suami isteri, menantu dengan mentua dan rasa tidak selesa dengan rakan sebilik yang baharu dianggap kes biasa bagi unit itu di tanah suci.

"Kes-kes seumpama itu adalah perkara biasa di tanah suci kerana sikap atau perangai mereka akan berubah ekoran tekanan atau emosi semasa berada di tanah suci.

"Sesi kaunseling adalah satu kaedah bagi membantu jemaah yang memerlukan rakan mendengar yang boleh dipercayai bagi meluahkan perasaan mereka dan meredakan keresahan hati seterusnya dapat memberi fokus kepada ibadah masing-masing," katanya kepada pemberita di Makkah hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman, aduan dan rujukan kes seperti itu juga dijangka meningkat ketika hampir ke tarikh wukuf di Arafah kelak.

Fauziah berkata, unit kaunseling memulakan operasinya pada 14 Sept lepas dengan kekuatan enam kaunselor iaitu dua di Madinah dan empat di Makkah.

Katanya, pasukan kaunseling turut melakukan aktiviti lawatan silaturahim ke bilik-bilik jemaah haji selain memberi khidmat nasihat secara individu atau berkelompok.

"Kita turut mengadakan lawatan secara rambang terutama kepada kumpulan jemaah haji yang baharu tiba dan diadakan setiap hari mengikut jadual," kata beliau.

Sementara itu, seorang daripada jemaah yang mendapatkan khidmat kaunseling, Rohaya Hashim berkata, beliau mendapatkan perkhidmatan kaunseling sejak dua minggu lepas kerana menghadapi tekanan dalam menguruskan keluarganya yang turut bersama menunaikan haji termasuk suami, ibu sendiri, ibu mentua dan ibu saudaranya.

"Alhamdulillah, selepas saya berkongsi masalah dan mendapatkan khidmat bimbingan daripada unit ini, saya kini mampu menguruskan mereka dengan baik dan sedikit sebanyak meringankan bebanan serta tekanan yang saya hadapi selama ini," katanya.

Bernama

Catat Ulasan

0 Ulasan