Apa motif pendingin hawa stadium Gimnasium Tianhe ditutup ketika perlawanan memasuki set kedua.?

Apa motif pendingin hawa stadium Gimnasium Tianhe ditutup ketika perlawanan memasuki set kedua.?

Loading...
Guangzhou: Nasib sememangnya tidak menyebelahi pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei apabila dia terpaksa menarik diri di saat paling getir sekali gus tewas buat kali ke-22 di tangan seteru utamanya, Lin Dan.

Bagaimanapun, kekalahan 21-16, 13-21 dan ketinggalan 17-20 sebelum Chong Wei terpaksa menarik diri akibat kekejangan paha kedua-dua belah kakinya itu bukanlah topik hangat yang dibicarakan di Gimnasium Tertutup Tianhe semalam, sebaliknya semua pihak termasuk penonton tertanya-tanya mengapa penganjur bertindak mematikan alat pendingin hawa stadium ketika perlawanan memasuki set kedua.

 “Bukan mahu mencipta alasan. Kalah tetap kalah tapi kami mahu tahu mengapa pendingin hawa dimatikan, ternyata ia menjejaskan permainan Chong Wei dan kami tidak menjangkakan sampai begini keadaannya,” kata jurulatih Tey Seu Bock. 

 “Pada set kedua, Chong Wei ada beritahu saya bahawa dia sudah mula merasa ototnya mungkin kejang tapi dia tetap mahu melawan Lin Dan kerana kami melihat pergerakan Lin Dan tidak lagi lincah seperti sebelumnya.

                                 CHONG Wei terpaksa diusung keluar untuk menerima rawatan. 

 “Tapi Chong Wei mula menghadapi dehidrasi dan lemas kerana oksigen semakin kurang. “Kami ada mengadu kepada BWF tapi mereka juga tidak tahu apa yang berlaku, alasan sama juga diberi penganjur,” kata Seu Bock lagi. 

 Selepas perlawanan, Chong Wei terpaksa diusung dan dirawat di bilik kecemasan di venue pertandingan, sebelum dikejarkan ke Hospital 12, Guangzhou.

 Kemenangan Lin Dan itu meletakkan namanya dalam sejarah badminton dunia apabila berjaya merangkul gelaran kelima bagi dirinya sepanjang enam kali beraksi di final.

 Begitupun, ketika ditanya mengenai situasi itu, Lin Dan yang juga pemain di ranking ke-286 dunia, berkata: 

“Sebagai pemain apabila kami fokus kepada perlawanan, kami tidak sedar apa yang berlaku di persekitaran. “Saya memang terasa sedikit panas, tapi itu mungkin penganjur mahukan perlawanan antara saya dan Chong Wei berlangsung sehingga mencapai tahap yang amat hebat. 

 “Saya rasa perlawanan antara kami cukup hebat, tapi saya kasihankan dia kerana tidak mampu meneruskan perlawanan. 

 “Saya tahu bagaimana rasanya apabila mengalami kekejangan. Sewaktu latihan dulu pun saya pernah mengalaminya dan tidak mampu untuk bangun,” katanya yang layak ke kejohanan itu menerusi tiket wild card. 

 Sementara itu, Setiusaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Chin Chai mengesahkan setakah jam 10.15 malam (waktu Malaysia) keadaan Chong Wei stabil selepas dirawat dengan Sodium Chloride tetapi masih berada di hospital.

Catat Ulasan

0 Ulasan