APA BERLAKU KEPADA KERTAS UNDI SELEPAS KEPUTUSAN DIUMUMKAN?

APA BERLAKU KEPADA KERTAS UNDI SELEPAS KEPUTUSAN DIUMUMKAN?

Loading...
                        
Setelah keputusan pilihan raya diumumkan, sampul-sampul yang mengandungi kertas undi akan dimasukkan ke dalam Peti Khas manakala keratan kertas undi (Counterfoil) disimpan oleh Pejabat Pilihan Raya Negeri. Peti Khas akan dimeterai dan disimpan di Pejabat Pegawai Pengurus, manakala kunci Peti Khas akan disimpan di Pejabat Pilihan Raya Negeri.

 Kertas-kertas undi perlu disimpan sehingga keputusan pilihan raya diwartakan. Sekiranya terdapat petisyen pilihan raya, kertas-kertas undi tersebut perlulah disimpan sehingga selesai kes petisyen pilihan raya. Peti Khas tidak boleh dibuka, kecuali dengan perintah mahkamah.


Setelah selesai petisyen pilihan raya atau sekiranya tiada sebarang petisyen diterima, sampul-sampul yang mengandungi kertas undi akan dimusnahkan. Notis akan diberikan kepada calon memaklumkan tarikh, tempat dan masa sampul-sampul kertas undi akan dimusnahkan. Calon atau wakilnya akan dijemput menyaksikan urusan pemusnahan sampul-sampul kertas undi. Pada tarikh, tempat dan masa yang ditetapkan Peti Khas akan dibuka dan sampul-sampul yang mengandungi kertas undi akan dikeluarkan.

                        
Sampul-sampul yang mengandungi kertas undi ini akan dimusnahkan di hadapan calon atau wakilnya.

                        
Para petugas akan memastikan bahawa semua sampul telah habis dimusnahkan dan semua sampul yang dimusnahkan tidak lagi dapat dicamkan.

                        
Setelah selesai urusan pemusnahan kertas undi, calon atau wakilnya akan diminta untuk menandatangani sijil pemusnahan dokumen pilihan raya.

Dengan proses-proses ini UNDI ANDA ADALAH RAHSIA!

Sumber: http://www.pru13.gov.my

Catat Ulasan

0 Ulasan