Makin lama kahwin, rasa makin jauh ...Ye Ke??

SATU perkara yang saya percaya dilalui oleh ramai orang dan pernah melintas dalam fikiran kebanyakan pasangan, tidak kira lelaki atau perempuan ialah dilema untuk kita berasa semakin lama kita berkahwin, semakin sukar pula untuk kita memahami pasangan. Ini kenyataan.

                            

Dan kita juga mungkin akan dapati dalam tempoh yang semakin lama itu, semakin banyak perbezaan wujud antara kita dengan pasangan.

Isu yang seperti ini, jika tidak ditangani secara hati-hati boleh membawa kepada masalah yang serius.

Daripada hal yang sekecil-kecilnya, masing-masing akan berasa jauh hati. Daripada jauh hati, akan membawa kepada jauh body dan apabila sudah jauh body, hubungan akan semakin renggang. Yang renggang akan semakin berjurang.

Sukar untuk menentukan siapa yang bersalah, siapa yang jadi punca tetapi apabila sudah berlaku hal yang semacam ini, jika tidak segera dicari jalan keluar, ia akan membawa kepada masalah yang besar.

Sudah lumrah bahawa dalam setiap hubungan, apabila pasangan menghadapi sesuatu masalah, harus ada dalam hati masing-masing kesedaran untuk bermuhasabah secara ikhlas, termasuk dalam konflik pseudo. Jika tidak, ia pasti akan melarat.

Biarlah andai ada yang berasa tidak begitu bersalah pun, mengaku dan meminta maaf tidak akan mebawa sebarang kerugian sebaliknya boleh menyelamatkan hubungan yang sudah dijalin selama bertahun-tahun.

Sudah jadi kebiasaan, apabila hidup aman damai, kadang kala kita sendiri berasa jauh hati. Ditanya apa masalah, kita pun tak tahu nak jawab tetapi dalam jhati, seperti ada masalah.

Apabila tekanan dalaman itu tidak dapat dibendung dan terzahir kepada pasangan, pihak yang di sebelah sana pula terasa hati. Itulah yang dikatakan daripada hal yang sekecil-kecilnya, isu yang remeh temeh jika tidak ditangani segera, boleh jadi punca masalah. Boleh jadi punca berbalah, silap-silap hari bulan, kena sumpah mubahalah.

Memang pelik, memang rumit tetapi itulah yang berlaku dalam hidup kita, atau orang yang hampir dengan kita. Sepatutnya dalam tempoh yang semakin lama, kita akan jadi semakin memahami. Tetapi kurang pemahaman itu boleh berlaku atas banyak sebab.

Mungkin daya tarikan fizikal yang kurang mencengkam, atau perhatian yang semakin hambar kita dapat daripada pasangan.

Lumrahnya, kita jadi mudah kecewa kerana kita sentiasa mengharapkan pemahaman yang mantap daripada pasangan, ataupun kerana terlalu mengharapkan pasangan yang ideal untuk kita.

Keinginan dan harapan yang seperti ini jika tidak dipenuhi, akan menambah tekanan dalam diri hingga membuat mereka yang mengalaminya berasa jauh hati. Ada juga yang mencari jalan keluar atau kalau tidak dicari pun, 'jalan keluar' itu yang datang menyerah diri.

Maksudnya, mungkin akan datang orang lain yang menunjukkan pemahaman dan perhatian yang dicari-cari. Kerana itu, di pihak pasangan, jangan dibiarkan jika mendapati pasangan anda dalam keadaan seperti itu. Harus ada tindakan segera untuk menutup apa yang kurang atau sekurang-kurangnya ajak berbincang.

Bagaimanapun, dalam hubungan yang benar-benar ikhlas, kita harus bersikap terbuka untuk menerima sebarang konflik yang mungkin berlaku. Jangan berasa rendah diri, merajuk atau malu hingga terdorong untuk memulakan kesilapan yang lebih besar iaitu menjauhkan diri daripada orang lain lantaran masalah yang dihadapi.

Kita harus menerima bahawa masalah kita itu adalah lumrah, sesuatu yang biasa dalam setiap hubungan dan berlaku kepada orang lain juga, malah berjuta pasangan di seluruh dunia. Tanyalah sesiapa sahaja yang rapat dengan kita, bohong kalau mereka kata tidak pernah alami seperti apa yang anda sedang lalui.

Dengan pasangan pula, sikap yang paling baik ialah menerima perbezaan kita dengannya, dengan hati yang terbuka. Selain itu, kita juga harus memahami hakikat dunia bahawa lelaki dan wanita sememangnya dijadikan berbeza dalam banyak perkara iaitu fizikal, emosi dan sebagainya.

Apabila hati dibuka untuk terima perbezaan, kita akan lebih saling memaafkan dan akhirnya, kita sendiri akan dapati bahawa perbezaan antara kita dengan dia, adalah sangat unik dan menarik. Kerana itu, perbezaan harus dijalin untuk meyatukan setiap ruang yang berbeza itu dengan ikatan hati yang ikhlas. Itulah cinta sejati yang seharusnya jadi hak semua orang untuk nikmati. Selamat bercinta dan menjalani kehidupan yang 'hot' setiap saat, di mana jua anda berada.



p/s ...syukur alhamdulillah....cinta dan kasih sayang pd En suami dari dulu hingga kini x pernah berubah..


Md Mat Yakim

Ulasan

  1. Semoga cinta kita utk suami kita xpernah berubah selama2nya. Bahkan makin lama makin cinta :).......

    BalasPadam
  2. @NinaAz
    Insyaallah..itu yg sepatutnya

    BalasPadam

Catat Ulasan

jerit kat sini

Catatan popular daripada blog ini

Suami Isteri...Kena Baca Ni..(Sorry..ada unsur2 18sx sikit...sikit jer tau...)

Bila Bersalin,Kena B***l Juga Ke?

Misteri Apa Yang Ada DiBukit Hantu?Lihat!!