Perlukah mereka yang berjaya disanjung sebegitu rupa?

Perlukah mereka yang berjaya disanjung sebegitu rupa?

Loading...

Murid-murid itu belajar bersama-sama sepanjang masa alam persekolahan mereka dan sesetengahnya dianaktirikan apabila keputusan peperiksaan tidak mencapai piawaian yang ditetapkan. Tidak salah memberi pengiktirafan di atas kejayaan seseorang tetapi pada masa yang sama perhatian mestilah diberi juga kepada mereka yang tidak menunjukkan prestasi yang sama.

Murid-murid yang dilabel tidak cemerlang ini juga berkemampuan dan mempunyai peluang untuk berjaya pada masa hadapan. Bukankah takrif kejayaan itu sendiri subjektif dan relatif?

Apabila sistem pendidikan negara mengambilkira pembelajaran secara keseluruhan yang membentuk jatidiri seseorang menjadi manusia yang yakin, cekal menghadapi dugaan dan berpaksi pada pegangan moral yang teguh, pasti itu lebih bererti berbanding rantaian pangkat A sahaja. Kita memerlukan bukan sahaja lulusan dalam bidang akademik yang cemerlang tetapi semua rakyat yang boleh memberi sumbangan terhadap pembangunan negara.

Setiap insan mempunyai kekurangan dan kelebihan masing-masing. Pendidikan yang ideal akan mengenalpasti, merangsang dan membentuk segala yang positif di dalam diri seseorang. Apa juga kekangan mencapai potensi sebenar seseorang itulah yang mesti diberi perhatian yang sewajarnya.

Adakah Malaysia akan mengikut langkah kementerian pendidikan jiran kita di selatan yang mengambil keputusan tidak mengeluarkan senarai pelajar-pelajar terbaik peperiksaan awam sekolah-sekolah? Reaksi terhadap langkah ini rata-rata menunjukkan sokongan tetapi ada juga yang menganggap bahawa tindakan sedemikian tidak perlu diambil kerana pengiktirafan terhadap pelajar cemerlang masih mempunyai kegunaannya.

Mungkin kerana kita telah lali dengan paparan berita yang lazim tentang kecemerlangan pelajar setiap tahun sehinggakan ramai merasa tidak selesa berhadapan dengan pilihan yang lain.

Bayangkan, keputusan yang cemerlang tidak diraikan. Apalah agaknya tajuk berita di akhbar-akhbar apabila keputusan peperiksaan diumumkan. Kemungkinan besar hanya taklimat dari seorang pegawai kementerian pendidikan yang memberikan statistik tentang keputusan peperiksaan tersebut.

Tidak ada lagi berita tentang pelajar cemerlang, reaksi dan cerita bagaimana mereka beroleh kejayaan. Tidak ada pula temubual dengan rakan-rakan atau ibu bapa tentang anak yang cemerlang tadi. Mahukah masyarakat menerima pendekatan ini?

Baca juga artikel sebelumnya

Pencapaian UPSR 5A asas pembentukan warganegara berjaya, betulkah?



Memberi ruang kepada anak-anak menemui diri mereka sendiri, begitulah intipati sebuah rencana yang tersiar di akhbar New Straits Times baru-baru ini. Penulis rencana tersebut memberi pendapat sedemikian ekoran keputusan UPSR yang diumumkan pada 19 November 2012. Pada pandangannya ibu bapa cenderung menaruh harapan yang terlampau tinggi terhadap pencapaian anak-anak di sekolah.

Malah banyak berita dan gambar yang mempamerkan emosi para pelajar apabila menerima keputusan masing-masing yang seakan-akan tidak setimpal dengan peristiwa yang dilalui.

Sehinggakan ada yang begitu sedih kerana hanya mencapai 4A dan bukan 5A seperti yang dijangkakan. Ada pula yang melarikan diri semata-mata kerana menyangka tidak mencapai 5A walhal namanya dengan tidak sengaja tidak tersenarai sebagai salah seorang pelajar yang mencapai keputusan cemerlang di dalam peperiksaan tersebut.

Begitulah penangan rangkaian pangkat A di dalam sesuatu keputusan peperiksaan awam. Perkara yang sama berlaku apabila keputusan peperiksaan PMR, SPM dan STPM diumumkan kelak. Kita juga akan membaca kisah kejayaan pelajar-pelajar di peringkat universiti apabila tiba hari konvokesyen setiap universiti di negara ini.

Jelas sekali anak-anak ditanam dengan semangat dan harapan supaya mereka mencapai kejayaan cemerlang di dalam peperiksaan semenjak sekolah rendah lagi. Ada juga yang telah menaruh harapan sedemikian semenjak anak-anak itu di pra-sekolah.

Pemilihan pra-sekolah yang baik membantu anak-anak tersebut apabila mereka melangkah ke alam persekolahan. Ini jelas kelihatan apabila dibandingkan anak-anak yang telah mendapat pendedahan daripada segi akademik asas iaitu mengenali dan membaca huruf seperti ABC atau menghitung satu sehingga sepuluh sahaja dengan anak-anak yang diberi peluang juga mengasah bakat mereka di dalam bidang bukan akademik seperti muzik atas lukisan dan belajar asas pergaulan sesama sendiri.

Itulah dunia dan matlamat alam persekolahan mereka, cuba memperolehi sebanyak mungkin rangakaian pangkat A sebagai salah satu jalan melangkah maju ke peringkat pendidikan yang seterusnya. Bermula dari peringkat pra-sekolah lagi, saingan dan tuntutan untuk terus mencapai kejayaan cemerlang tidak berhenti-henti ditekankan oleh sesetengah ibu bapa atau penjaga yang yakin itulah satu-satunya sahaja cara memastikan anak-anak mereka akan menjadi warganegara yang berjaya kelak.

Begitulah juga taksubnya sesetengah daripada kita yang terlampau memberi perhatian kepada berapa banyak pangkat A yang diperolehi di dalam sesuatu peperiksaan. Sehinggakan ada yang mengingatkan kita semula bahawa pendidikan bukan sahaja berkisar pada keputusan cemerlang.

Soalan lazim tentang berapa banyak pangkat A yang berjaya diperolehi oleh seseorang menjadi tajuk perbualan buat beberapa hari setelah keputusan peperiksaan diumumkan. Sesetengah ibu bapa berasa malu tentang keputusan anak mereka yang tidak seberapa sehingga menyebabkan keyakinan anak itu tergugat.

Bersyukur kerana lulus peperiksaan dan ucapan tahniah kepada anak tersebut walaupun tidak mencapai keputusan yang amat cemerlang wajib menjadi amalan semua. Segala usaha sudah pasti dilakukan oleh anak itu untuk mencapai keputusan yang diimpikan tetapi sedarlah kita bahawa bukan semua menunjukkan kejayaan di bidang akademik.

Lihat sahajalah mereka yang berjaya dan menjadi idola masyarakat. Bukan semuanya mempunyai keputusan cemerlang semasa berada di alam persekolahan malahan bakat mereka terserlah dalam bidang bukan akademik. Pemerhatian terhadap usahawan di negara kita misalnya pasti menyerlahkan ramai tokoh yang berjaya hasil titik peluh mereka dan bukan kerana sekeping sijil atau ijazah yang penuh dengan rangkaian pangkat A.

Keluhan ibu bapa tentang pendekatan yang diambil oleh sesetengah pengetua sekolah yang memberi tumpuan yang berlebihan kepada mereka yang berjaya mendapat banyak pangkat A patut diberi perhatian. Pengalaman anak yang dipinggirkan hanya kerana tidak mencapai bilangan pangkat A yang diimpikan boleh memberi kesan yang mendalam dan berpanjangan jika tidak ditangani dengan saksama. Di sinilah peranan pengetua sekolah yang prihatin bahawa bilangan pangkat A yang banyak itu bukanlah jaminan kejayaan seseorang.

p/s renung bersama...

sumber:http://english.cpiasia.net/

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Setiap sistem itu sentiasa ada pro dan kontranya...saya setuju pelajar cemerlang perlu dirai kerana usaha yg mereka berikan untuk mencapai taraf itu.

    BalasPadam
  2. @Norhaizan hakim
    setuju juga mereka dirai,namun jgn dipinggirkan yg kurang menyerlah,kdg2 yg kurang menyerlah dr bawah akan lebih bersinar masa mereka di peringkat menengah,malah ada juga yg menyerlah dr bawah lebih malap bila dialam menengah....

    akak dah bekerja disekolah berasarama penuh...fenomena itulah yg sering berlaku,pelajar yg dulunya kusam,hanya bersekoalh harian biasa mencatat ketutsan plg cemerlang dr yg berasrama penuh...

    dr pemerhatian dan pemgalaman akak,banyak faktor2 penyebabnya...kalau nak dihuraikan satu persatu...alamatnya berjela lah dalam blog ni...:)

    BalasPadam

jerit kat sini