Dosa Di Facebook!!

Dosa Di Facebook!!

Loading...

Teknologi seperti pisau, boleh guna secara bermanfaat, dan boleh juga disalah guna untuk membunuh. Ini termasuk Facebook. Sesuatu yang saya sendiri amat terigau-igau suatu ketika dahulu, berhubung semula dengan kawan-kawan yang sudah lama terpisah dan tidak diketahui di mana berada, kini direalisasikan oleh Mark Zuckerberg. melalui Facebook. Terima kasih.

Namun sesuatu yang amat kita sedari, Facebook juga banyak menjebakkan kita pada dosa, sama ada sengaja atau pun tidak. Selain memuat naik bahan yang 'lagha' dan membawa kepada maksiat, ada juga yang kononnya mahu berdakwah namun tanpa sedar, mereka sendiri bersubahat.

Contoh: Seseorang yang mahu mengingatkan orang lain mengenai gaya berpakaian mendedahkan aurat, menjolok mata telah memuat naik gambar-gambar seksi yang tidak seharusnya jadi tontonan.

Apakah kaedah dakwah seperti ini boleh diterima?

Saya bukan ustaz tetapi apa yang saya faham, memaparkan gambar-gambar seperti itu mungkin juga boleh jadi 'saham' (baca: dosa). Jadi pada saya, soal peringatan boleh sahaja dengan perkataan, tidak perlu gambar. Wallahua'lam. Harap ada mereka yang lebih arif sudi mencerahkan.

Kebelakangan ini, apabila saya paparkan Facebook saya melalui Kelab 40, saya dapat ramai kawan baru setiap hari dari seluruh negara, syukur kepada ALLAH. Bagi saya, ini tidak lain dengan niat hanya untuk bersilaturahmi, meramaikan kenalan.

Namun apabila kita buka pintu komunikasi untuk diawamkan, kita terdedah kepada berbagai gejala tidak terduga. Tidak. Bukan maksud saya ada wanita yang cuba menggoda.

Kalau itu yang berlaku, ianya sudah tentu bukan suatu masalah (gurau).

Akan tetapi apa yang saya maksudkan ialah sikap dan tindak tanduk segelintir individu yang kita sendiri tidak begitu kenali dan mereka juga tidak mengenali kita, sebaliknya datang dengan cara yang kurang sopan malah boleh dianggap biadab, sesuka hati memaki hamun, menyumpah seranah orang lain dalam 'wall' kita hanya kerana pegangan politik totok mereka.

Dengan penuh taksub, mereka tanpa segan silu mencaci orang lain yang tidak sealiran dengan kata-kata yang teramat keji, sedangkan orang yang dituju itu mereka sendiri pun tidak kenali. Sudah tentu perbuatan seperti ini perlu saya tegur.

Rakan FB saya yang lebih seribu ramainya, adalah daripada pelbagai latar belakang. Selama ini, saya sendiri cuba bersikap neutral kerana rakan-rakan ini, amat saya hormati. Akan tetapi apabila saya menegur, saya sendiri pula diperlekehkan kerana dianggap tidak sehaluan.

Sedangkan niat saya hanya tidak mahu 'wall' saya dijadikan medan permusuhan. Jika itu yang berlaku, sudah tentu saya sendiri juga tanggung sahamnya. Itu yang saya mahu elakkan.

Sebaliknya teguran saya bukan sahaja tidak dihormati sebagai 'tuan rumah' malah dicadang pula supaya saya hanya paparkan cerita hal-hal masakan yang sudah tentu suatu penghinaan terhadap intelektualiti saya sebagai individu merdeka.

Inilah gejala bebalisme (istilah ini dipopularkan oleh Allahyarham Prof Datuk Dr Syed Hussein Alattas) dan ekstrem yang sedang melanda generasi Melayu kita, termasuk yang berusia 40an yang sepatutnya sudah boleh berfikir dengan tenang dan matang dalam menghadam sesuatu perkara.

Saya juga bukan jenis orang yang tidak boleh terima perbezaan pendapat. Islam, agama saya bukan sahaja membenarkan malah meraikan perbezaan pandangan. Buktinya, para ulama yang muktabar dibenarkan berijtihad dalam perkara-perkara furu' yang menjejaskan dasar hukum.

Tetapi dalam berbahas, janganlah sampai kita menghina dan mencemuh orang lain yang tidak sealiran. Siapa kita untuk menghina mereka yang kita anggap tidak cukup bagus berbanding diri kita? Apakah perbuatan yang seperti itu boleh mendekatkan lagi kita kepada ALLAH?

Apa yang kita seharusnya beringat ialah menghina orang , apa lagi yang kita tidak kenal, dosanya akan kita bawa hingga Yaumul Mahsyar, akan menghumban kita ke neraka walaupun selama hidup ini kita sudah melupainya.

Dosa itu tidak akan terhapus begitu sahaja selagi kita tidak meminta maaf dan dimaafkan dan dengan penghinaan melalui Facebook umpamanya, kemaafan itu kita boleh anggap mustahil kerana orang yang kita berdosa kepadanya itu, kita tidak kenal . Jadi berhati-hatilah.

Pesan Socrates: "Lidah tidak bertulang tetapi cukup kuat untuk melukakan hati orang lain. Kita juga tidak boleh menarik balik kata-kata yang sudah dilontarkan atau menyembuhkan hati yang sudah kita lukakan. Maka, waspadalah dengan setiap perkataan yang anda tuturkan."

Itu lidah. Jari-jemari bertulang yang kita guna untuk menaip kata-kata kita di medium internet ini sudah tentu mampu untuk lebih menjahanamkan lagi hati orang lain.

Jika kata-kata (pada zaman Socrates) hanya boleh dituturkan sesama orang yang berhadapan tetapi internet mampu melukakan hati orang di seluruh dunia, termasuk yang kita sendiri tidak kenali. Namun semua mereka akan bangkit menuntut maruah yang sudah tercela di akhirat nanti, dan sesungguhnya balasan ALLAH itu amat pasti.

MUHAMAD MAT YAKIM



Catat Ulasan

2 Ulasan

jerit kat sini