Pemasangan Langsir, Pelekat Di Cermin Kenderaan Adalah Dilarang

Pemasangan Langsir, Pelekat Di Cermin Kenderaan Adalah Dilarang

Loading...
MEMASANG langsir dan pelekat pada tingkap kenderaan adalah satu kesalahan dan amalan ini boleh menyebabkan pemilik kenderaan dipenjara jika mereka ditangkap dan didakwa di mahkamah.

Walaupun langsir digunakan untuk melindungi pemandu dan penumpang daripada silau dan haba matahari, ramai yang tidak sedar bahawa memasangnya adalah satu kesalahan.

Pelekat ini nampak cantik apabila dipasang di cermin kereta tetapi ia sebenarnya melanggar undang-undang.


Pemasangan langsir hanya dibenarkan pada bas, 'caravan' dan van yang digunakan untuk membawa pelajar sekolah.


Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Yusoff Ayob berkata pemilik kenderaan yang memasang langsir atau pelekat telah melakukan satu kesalahan.

"Kesalahan ini membawa hukuman denda yang berat dan hukuman penjara.

"Ramai yang tidak menyedarinya.

"Kebanyakan mereka yang telah dikeluarkan saman membuat kesalahan kali pertama," katanya.

Yusoff menambah terdapat hanya beberapa saman yang dikeluarkan kepada pemilik kenderaan berkaitan dengan langsir.

"Pengguna kenderaan dibenarkan untuk menggunakan pelindung cahaya atau tuala pada tingkap kereta untuk menghalang matahari.

"Ini dibenarkan kerana pelindung dan tuala tidak kekal dan boleh dikeluarkan apabila diperlukan. Pelekat dan langsir dipasang kekal dan menghalang pandangan pemandu," kata Yusoff.

Penghadang cahaya seperti ini dibenarkan dipasang dalam kereta kerana ia boleh dialihkan.
Beliau menambah jika sabit kesalahan pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500 dan / atau penjara tidak melebihi dua minggu untuk kesalahan pertama.

Bagi kesalahan berikutnya, pemandu ingkar boleh didenda tidak melebihi RM1,000 dan / atau penjara tidak melebihi satu bulan.

Kaedah 4(1) Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-jenis Kaca Tertentu) 1991 memperuntukkan bahawa langsir, bidai atau bahan lain tidak boleh dipasang dalam kenderaan bermotor untuk melindungi bahagian dalam kenderaan itu.

Kaedah 5(1) Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-jenis Kaca Tertentu) 1991 memperuntukkan tahap ketelusan cahaya bagi cermin hadapan kenderaan (windscreen) hendaklah melebihi 70 peratus manakala bagi cermin sisi dan belakang kenderaan hendaklah melebihi 50 peratus.

Yusoff berkata pengeluar kereta Malaysia telah menetapkan 15 peratus standard penghalang cahaya, yang membolehkan 85 peratus cahaya matahari memasuki tingkap.

"Kami tidak menerima sebarang aduan berkaitan pemasangan pelekat penghadang cahaya tingkap secara haram daripada pengeluar tempatan. Kami hanya menghadapi masalah ini terhadap kenderaan 'recon' atau diimport," katanya.



Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. selalu juga saya tengok kereta yang berlangsir..
    cantik, tapi sayang, dilarang..

    BalasPadam
  2. @Herma Julianny
    mmg benar..cantik..tapi akak kureng berkenan sket..cam skema jer

    BalasPadam

jerit kat sini