Hui Yee Takut Mati Dan Bunyi Nafas Terakhirnya

Hui Yee Takut Mati Dan Bunyi Nafas Terakhirnya

Loading...
GADIS ini kelihatan lebih sihat dan bertenaga. Senyumannya tidak lekang di bibir, menampakkan baris gigi putih dan pipinya yang semakin tembam. Jelas kini, selepas ulang tahun pertama kejayaan pembedahan pemindahan jantungnya, Tee Hui Yee, 15, sudah boleh menghela nafas lega.

Hui Yee menerima jantung tersebut dari penderma berusia 15 tahun yang terkorban dalam kemalangan jalanraya di Ipoh, Perak

Penderma tersebut bukan sahaja menderma jantungnya, tetapi turut menderma paru-paru, hati dan buah pinggang yang dipersetujui oleh anggota keluarga dan warisnya, demikian menurut laporan Bernama.

Ekoran itu, satu lagi pembedahan pemindahan paru-paru yang didermakan itu turut dijalankan ke atas seorang pesakit berumur 39 tahun.


Dr Chua berkata pembedahan ke atas Hui Yee itu agak berisiko kerana remaja itu bergantung kepada jantung mekanikal sejak setahun lalu,

"Akibat terlalu lama menunggu, ia telah menjejaskan kesihatan Hui Yee dan selera makannya semakin kurang," katanya.

Dr Chua turut melahirkan rasa bangganya kerana akhirnya Hui Yee mendapat seorang penderma jantung serta amat berterima kasih dengan keluarga penderma yang merupakan satu contoh yang amat baik di negara ini.

"Ahli keluarga penderma itu memohon agar namanya dirahsiakan dan kita hormati kehendak mereka," katanya.

Tee Hui Yee merenung masa hadapannya di wad Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur

Jantung Baru Dan Keceriaan Hui Yee

GERAM pula rasanya memandang pipi gadis remaja ini yang tembam dan tidak lekang daripada senyuman. Dia juga kelihatan santai dalam baju T hitam dengan rambut lurus dilepaskan. Tuturnya lancar dan sesekali disulam tawa berderai.

“Saya lebih gemuk sekarang, dah 36 kilogram (kg) berbanding dulu yang cuma 34 kg. Suka sangat makan dan kalau rajin, saya akan masak sendiri,” ujar Tee Hui Yee, 15, sambil ketawa besar ketika ditemui di kediaman keluarganya di Parit Besar, Batu Pahat, Johor.

Bekas penerima jantung mekanikal kedua negara ini pernah mencecah berat 37 kg sebelum susut sehingga 34 kg selepas setahun bergantung hidup dengan sebuah mesin jantung.

Tahun lalu, sememangnya tiada yang lebih menyentuh perasaan selain melihat wajah sayu Hui Yee merayu untuk mendapatkan jantung baru.

“Saya harap akan mendapat jantung baru secepat mungkin kerana saya hanya ada setahun lagi untuk bergantung hidup pada jantung mekanikal ini,” kata Hui Yee sambil menangis teresak-esak.

Linangan air mata gadis itu menyebabkan para wartawan, jurugambar dan barisan doktor, jururawat serta kakitangan Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, terdiam sebentar dan ada juga yang turut menitiskan air mata.

Akhirnya, Oktober lalu, setelah menjalani pembedahan yang berlarutan selama 22 jam bagi menerima dua jantung yang didermakan, Hui Yee berjaya menanggalkan jantung mekanikal yang sekian lama menjadi kembarnya.

“Syukurlah. Saya dah tak banyak bimbangkan Hui Yee lagi. Dia telah sihat sepenuhnya sejak tujuh bulan lalu,” ujar ibunya pula, Dina Bato Sam Hua, 47, sambil memandang Hui Yee dengan mata bercahaya.

LAMAN Friendster menjadi sumber kegembiraan Hui Yee kerana dia boleh mengumpul ramai kawan.

Ternyata wajah duka keluarga ini selama setahun merayu penderma jantung, telah berlalu.

Kini, rutin harian Hui Yee bermula seawal pukul 9 pagi. Pukul 10 pagi pula merupakan waktu wajib untuk mengambil ubat.

“Saya masih bergantung dengan beberapa jenis ubat dan perlu mengambilnya setiap hari pada pukul 10 pagi. Ubat itu bagi memastikan saya tidak mengalami sebarang masalah seperti keletihan atau penolakan jantung secara tiba-tiba,” beritahu Hui Yee.

Pukul 2 petang, dia sudah terpacak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Batu Pahat, dua kilometer dari rumahnya.

Sejak menyambung semula persekolahan Januari lalu, Hui Yee sentiasa teruja untuk ke sekolah walaupun terpaksa mengulang di tingkatan dua. Hui Yee ditempatkan di kelas tingkatan dua Lili dan duduk di barisan keempat dari hadapan.

“Subjek yang sangat saya gemar ialah Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Matematik. Sejarah adalah yang paling sukar buat saya. Markah ujian saya pula sekadar lulus,” ceritanya yang mengakui mendapat perhatian yang lebih daripada guru-guru.

Meskipun tidak digalakkan aktif bersukan, Hui Yee tetap menyertai pasukan pakaian seragam St John Ambulans dan bercadang untuk menyertai Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) apabila tiba masanya kelak.

“Saya pernah menderita kesakitan. Saya akan puas bila dapat membantu orang lain menggunakan ilmu yang dipelajari daripada aktiviti seperti itu,” katanya yakin.

HUI YEE menangis teresak-esak semasa merayu penderma jantung di IJN, September lalu.

Sesekali Hui Yee terasa dirinya seperti selebriti. Bukan saja di sekolah, malah hampir semua tempat yang dikunjungi ada saja orang yang mengenalinya. Ia mungkin disebabkan kisah kemanusiaannya yang begitu mengesankan.

Waktu hujung minggu Hui Yee sering dihabiskan dengan bersiar-siar di bandar Batu Pahat sambil ditemani ibu dan sepupunya untuk membeli-belah atau menonton wayang.

“Saya sukakan aktiviti itu. Filem Kungfu Dunk lakonan Jay Chou adalah yang paling best setakat ini,” ujar Hui Yee yang mesra dipanggil Darling atau Joey di kalangan anggota keluarganya.

Anak pasangan Tee Ah Soon, 53, dan Dina Bato ini juga giat dengan hobi barunya iaitu mengumpul rakan-rakan menerusi laman Friendster. Menurut Hui Yee, sudah lebih 200 rakan dari Malaysia, Singapura dan Brunei yang dikumpulnya setakat ini.

“Saya menyertai laman ini secara aktif kira-kira enam bulan lalu. Banyak yang saya kongsi dengan kawan-kawan di luar sana,” ujarnya.

Tambah Hui Yee, Friendster juga menjadikan dia lebih rapat dengan keluarga Chin Yoon Kiong terutama adik mendiang, Chin Yoon Liong, 10. Yoon Kiong mendermakan jantungnya kepada Hui Yee setelah dia koma dan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Johor Bahru.

“Boleh dikatakan setiap malam selepas menyiapkan kerja sekolah, saya akan menggunakan laman tersebut untuk bertanya khabar dan bertukar-tukar cerita,” katanya yang telah memuat hampir 100 keping gambar di dalam ruang itu.

Satu-satunya perkara yang membimbangkan Hui Yee kini ialah jika berlaku ‘malapetaka’ secara tiba-tiba sewaktu tidur dan dia tidak sempat meminta pertolongan.

“Saya takut mati,” akuinya yang belum pernah mengalami masalah tidur setakat ini walaupun kadangkala tidur lewat iaitu sekitar pukul 11 malam.

Tinggal di kawasan kampung dengan rumah batu tiga bilik yang dibina di atas sebidang tanah lot, keadaan tersebut banyak memberi ketenteraman kepadanya yang memerlukan rehat dan tidur yang mencukupi iaitu sekurang kurangnya lapan jam sehari.

Walaupun semakin baik, Hui Yee tetap berasa bimbang tentang kesihatannya.

“Menjalani rawatan susulan kadangkala memberi tekanan kepada saya kerana bimbangkan keputusannya nanti. Tapi saya sedaya upaya menjalani hidup seperti yang disarankan oleh doktor,” katanya yang masih membawa salah satu kenang-kenangan dari wad IJN iaitu anak patung.

Ada 25 anak patung semuanya di rumah Hui Yee hasil hadiah daripada mereka yang melawatnya di IJN dahulu.

“Paling istimewa, anak patung beruang sebesar saya yang dihadiahkan oleh seorang kenamaan dari Parit Besar, Batu Pahat,” beritahunya yang amat gemar memeluk anak patung tersebut.

Bagaimanapun Hui Yee bercadang untuk menghadiahkan anak-anak patung itu kepada wad pediatrik di IJN.

“Bukan saya tidak menghargai tetapi saya rasa lebih baik anak patung itu berada di sana. Sekurang-kurangnya ia boleh memberi kegembiraan pada kanak-kanak yang sakit dan mempunyai masalah seperti saya,” ujarnya.

Namun Akhirnya Ajal Tiba Jua


Hui Yee mati di pangkuan bapa

DINO Bato Sam bua meratapi kematian anak kesayangannya, Tee Hui Yee di kediamannya di Batu Pahat, Johor semalam.
BATU PAHAT - Selepas lima tahun menikmati kehidupan sebagai insan normal, Tee Hui Yee yang merupakan penerima organ jantung baharu menerusi satu pembedahan maraton pada 2007, meninggal dunia secara mengejut di kediaman ibu bapanya di Kampung Parit Besar di sini semalam.

Gadis berusia 19 tahun itu yang pernah menyentuh hati nurani rakyat Malaysia kerana terpaksa menyorong jantung mekanikalnya yang diletakkan di dalam beg untuk ke mana-mana, disahkan meninggal dunia di pangkuan bapanya, Tee Ah Soon pada pukul 10.02 pagi semalam.

Ibunya, Dina Bato Sam Bua, 51, berkata, anak kesayangannya itu mengadu sakit dada dan bahagian kiri tengkuknya selepas dia keluar makan bersama rakan-rakan di sebuah restoran hidangan kukus berhampiran kira-kira pukul 9 malam kelmarin.

Menurutnya, selepas anaknya muntah, dia bersama rakan baik anaknya, Thong Liew Sze Yun, 17, mengurut badannya perlahan-lahan dan dia sempat menjamah sekeping roti sebelum muntah sekali lagi.

Ketika itu, katanya, dia turut memujuk anaknya itu supaya mendapatkan rawatan di hospital malam kelmarin tapi anaknya itu enggan kerana beranggapan dia hanya diserang gastrik.

"Saya mula cemas apabila melihat anak bongsu daripada empat beradik itu menggigil dan kedua-dua tangannya kejang kira-kira 9 pagi semalam sebelum menjerit memanggil bapanya, Tee Ah Soon," katanya ketika ditemui di pusat persemadian di Jalan Fatimah di sini.

Sementara itu, Ah Soon berkata, isterinya itu cuba mengurut mendiang tetapi tidak berhasil malah situasi anaknya itu makin teruk sehingga dia terpaksa membuat bantuan pernafasan dari mulut ke mulut (CPR) selama 10 minit tetapi masih tidak berjaya.

"Saya sempat mendengar nafas terakhirnya sebelum dia kelihatan kaku lalu menyebabkan saya bergegas membawanya ke Hospital Batu Pahat.

"Doktor tidak memberitahu kami punca kematiannya sama ada ia berkaitan dengan jantung atau tidak," kata pekebun sayur itu.

Kisah Hui Yee yang menderita sakit jantung sejak berusia dua tahun mendapat liputan meluas media apabila terpaksa bergantung nyawa selama setahun dengan jantung mekanikal sebelum menjalani pemindahan jantung pada Oktober 2007.

sumber:pelbagai


Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. takziah buat keluarga mendiang.. tumpang sedih~

    BalasPadam
  2. akak mmg ikuti kisahnya sejak dari dulu lagi..kesian...sedih..
    namun bila ajal tiba,tiada siapa dapat menghalang

    BalasPadam

jerit kat sini