Loading...
Setiap yang hidup pasti menemui maut. Akhir-akhir ini, aku kehilangan dua orang yang aku kenal. Pertama ialaj Jen (B) Tan Sri Zain Hashim, yang menjadi jiran serta ahli qariah Masjid Kuning di Kota Damansara. Kedua ialah Mohamad Haziri Zulkifli, murid ku di KPJ International College. Semoga ALLAH mencucuri rahmat-NYA ke atas roh mereka. Al fatihah.
Apabila sampainy ajal seseorang, lalu bertamulah Izrail kepadanya bagi menjemput rohnya kembali ke hadrat ALLAH. Maka terpisahlah roh dari jasad. Terbujur kaku jasad lesu, menanti diuruskan. Maka wajib atas yang hidup mengurskan empat perkara bagi mayat orang Islam yan tidak di dalam ihram, tidak mati syahid dan bukan bayi yang gugur. Empat perkara tersebut adalah :
Memandikannya.
Mengkafankannya.
Mensolat jenazahkannya.
Menanamkannya.
Bagi mayat kafir harbi ( kafir yang memusuhi Islam ), harus dimandikan tetapi haram disembahyangkan serta tidak wajib ditanam. Hukum menanam mayat kafir harbi adalah harus.
Bagi mayat kafir zimmi ( kafir yang membayar ufti ), harus dimandikan, wajib dikafankan, haram disembahyangkan, wajib ditanam. Demikian juga bagi mayat kafir mua’aman (kafir yang diberi perlindungan di bawah kerajaan islam) dan kafir mua’had ( kafir yang ada perjanjian persahabatan dengan umat Islam).
Bagi mayat orang Islam yang murtad, hukumnya sama seperti hokum mengurus mayat kafir harbi.
Bagi mayat orang Islam yang di dalam ihram, semasa mengkafankannya, tidak boleh menutup kepalanya jika lelaki dan tidak boleh menutup muka bagi mayat perempuan. Tidak harus digunakan benda-benda wangi-wangian.
Bagi mayat orang yang mati syahid, tidak wajib dimandikan dan tidak wajib disembahyangkan atasnya bahkan ianya HARAM lagi tidak sah. Yang wajib hanyalah mengkafankannya dan ditanam. Sebaik-baiknya dikafankan dengan pakainnya yang berlumuran darah.
Bagi mayat bayi yang gugur, sekiranya bayi itu gugur dalam kandungan berumur bawah dari enam bulan, yang tidak diketahuikan hidupnya dengan menjerit atau bergerak atau bernafas sedang rupanya pun belum ada, tiadalah wajib padanya sesuatu malahan haram disembahyangkan, Cuma sunat sahaja dibungkus dengan kain dan ditanam.
Sebaliknya jika diketahui hidupnya dengan adanya salah satu dar tanda-tanda yang tersebut di atas tadi, maka hukumnya sama seperti orang dewasa. Wajib dimandikan, wajib dikafankan, wajib di sembahyangkan dan wajib ditanam.
Tetapi jika diketahui bayi tersebut hanya ada rupa manusia, tidak ada tanda-tanda pernah hidup (iaitu mati dalam rahim kandungan) maka hukumnya wajib dimandikan, wajib dikafankan, wajib ditanam dengan tidak payah disembahyangkan.
Jika bayi yang gugur jika sudah sempurna umurnya enam bulan, hukumnya sama seperti hokum menguruskan mayat orang dewasa. Iaitu wajib dimandikan, wajib dikafankan, wajib disembahyangkan dan wajib ditanam.
Mandi Mayat
Sekurang-kurangnya memandikan mayat itu dengan menjiruskan air merata badannya denagn sekali jirus sekalipun ia berjunub dengan demikian cukup untuk junub dan mandi.
Sebaik-baik cara pengurusan mandi mayat ialah dimandikan di dalam bilik dengan dipakaikan kain basahan, diletakkan atas tempat yang tinggi seperti pangkin atau meja dan airnya air sejuk biasa. Kemudian didudukkan mayat itu melentik ke belakang sambil tangan kanan tukang mandi memeluk belikat si mayat, dan ibu jari pada tengkuknya dan tangan kiri menekan-nekan perut si mayat seberapa kuat dari atas ke bawah beberapa kali supaya habis keluar baki-baki najis di dalam perutnya.
Orang yang menolong tukang mandi sentiasa menjiruskan air di mana tempat yang dikehendaki. Kemudian mayat ditelentangkan. Tukang mandi menggunakan sarung tangan kain dan membasuh qubul dan dubur si mayat. Kemudian ambil perca kain yang bersih dan suci untuk dibuat alat untuk membersihkan gigi dan hidung si mayat. Kemudian ambilkan wudhuk untuk si mayat dengan niat :
Sahaja aku mengambilkan wudhuk yang sunat bagi mayat ini kerana ALLAH Ta’ala.
Setelah itu, barulah mandi mayat yang sebenar bermula. Mulakan mandi mayat ini dengan niat :
Sahaja aku memandikan mandi yang wajib bagi mayat ini kerana ALLAH Taala.
Semasa berniat sambil menjiruskan air ke kepala dan janggutnya dengan air sabun dan air bidara kemudian dihuraikan rambutnya yang kusut dengan sikat perlahan-lahan. Mana rambut yang gugur dan jatuh, dikumpulkan agar boleh dimasukkan ke dalam kafan.
Sekiranya sewaktu mandi, ada keluar najis, maka wajib dibasuh sehingga hilang ainnya.
HARAM melihat aurat si mati melainkan ada hajat. Sunat tukang mandi mayat memandang ke tempat lain sewaktu membasuh bahagian aurat si mati.
Wajib meratakan air hingga apa yang zahir pada faraj perempuan yang janda ketika mencangkung (kerana ianya akan menzahirkan tempat yang tersembunyi dalam lipatan faraj). Wajib juga meratakan air ke bawah kelopak kulub zakar dengan menselselkan supaya dapat dibasuh dan dibersihkan dibawahnya (bagi lelaki yang belum khatan atau yang terlalu gemuk).
Sekiranya tidak boleh kerana dharurat, hendaklah ditayammmkan, kemudian dikafankan, disembahyangkan dan ditanam.
Hendaklah yang memandikan mayat si mati itu seorang yang amanah. Jika ia ternampak apa yang baik pada mayat itu sunat iceritakan kepada orang lain dan jika ternampak sesuatu yang aib padanya haram disebut kepada orang lain kecuali ada muslihat seperti bida’ah yang terang lagi nyata.
Bagi mayat yang uzur, seperti terbakar dan lemas tenggelam dan tidak boleh dimandikan hendaklah ditayammumkan. dikafankan dan disembahyangkan dan ditanam.
Orang lelaki lebih utama memandikan mayat lelaki. Orang perempuan lebih utama memandikan mayat perempuan. Tetapi harus si suami memandikan mayat isterinya dengan tangan bersampul dan harus juga isteri memandikan mayat suaminya dengan tangan bersampul.
KAFAN
Sekurang-kurangnya sehelai kain yang boleh menutup seluruh badan mayat. Tetapi seelok-eloknya tiga lapis kain bagi lelaki, tiap-tiap selapis menutup seluruh badan. Inilah yang paling afdal. Harus juga ditambah baju dan serban. HARAM mayat lelaki dikafankan dnegan kain sutera.
Bagi mayat perempuan dan khunsa, seelok-eloknya kafannya terdiri dari lima lapis kain iaitu sehelai kain dari pinggang ke bawah, sehelai baju, sehelai tudung dan dua helai kain panjang yang meliputi seluruh badan. Cara inilah yang afdal.
SEMBAHYANG JENAZAH
Rukun solat jenazah ada tujuh.
Niat : Sahaja aku sembahyang atas mayat yang hadir ini fardhu kifayah, empat takbirkerana ALLAH Taala. AllahuAkbar.
Berdiri bagi orang yang berkuasa beriri.
EMpat takbir bersama takbiratul ihram.
Membaca Al fatihah pada takbir pertama, sunat membaca A’uzubillah… Tidak sunat membaca doa iftitah dan tidak sunat juga membaca surah.
Membaca selawat atas Nabi selepas takbir yang kedua, sekurang-kurangnya …. Allahumma salli alaihi Muhammad.
Membaca doa selepas takbir ketiga, sekurang-kurangnya ….. Allahummaghfirlahu.
Memberi salam selepas takbir keempat … Assalamu alaikum warahmatullah.
MENANAM MAYAT
Mayat ditanam di dalam kubur. Kubur ialah satu lubang yang boleh menegah baud dan menegah dari dibongkar oleh binatang buas. Diletakkan mayat berbaring di atas rusuknya yang kanan dengan perlahan-lahan sambil membaca :
Bismillahi wa a’la millati Rasulillahi Sallallahu a’laihi wa sallam
Wajib mengadapkan wajah mayat kea rah qiblat. Jika tertanam, wajahnya membelakangkan qiblat atau terlentang atau tertiarap, maka wajiblah digali semula dan membetulkan kedudukan wajah mayat.
HARAM ditanam dua mayat dalam satu kubur sama ada lelaki keduanya atau perempuan keduanya atau seorang lelaki dan seorang perempuan walaupun mahram, melainkan ada hajat seperti tanah perkuburan terhad, maka harus ditanam beberapa mayat dalam satu liang.
HARAM memindahkan mayat ke tempat yang lebih jauh dari tanah perkuburan di mana tempat mayat itu mati. Kecuali mereka yang mati di kampong-kampung yang berhampiran dengan Mekah, Madinah dan Baitul Maqdis.
Makruh diletakkan tikar atau hamparan atau bantal bersama mayat di dalam kubur. Makruh juga ditanam menggunakan keranda. Kubur tersebut hendaklah dikambus dan ditinggikan tanahnya. DIsunatkan ditanam pokok-pokok hijau yang hidup dan wangi. Disunatkan dijiruskan air sejuk dari arah kepala membawa ke kaki dan diletakkan batu atau kayu bertentang pada kepala si mayat.
Posted by Hamba ALLAH yang hina
0 Ulasan
jerit kat sini