Loading...
Saya berasal dari Johor Bahru dan menetap di kampung Dato Sulaiman Menteri. Nama timangan saya Batman, kerana panggilan ini muncul dari rakan-rakan saya. Di sini saya hendak menceritakan pengalaman yang benar-benar terjadi kepada diri saya dan kisah ini bukanlah rekaan semata-mata. Hanya Allah saja yang tahu bertapa kecutnya hati saya pada ketika itu.
Kisah ini terjadi pada tahun 2006 yang lalu, waktu itu saya masih bersekolah di tingkatan 4. Pada petang itu kalau tak silap saya pada pukul 5 lebih, saya menemani adik saya yang berumur 5 tahun berbasikal dikeliling rumah, yang mana adik saya ini sudah pandai mengayuh basikalnya.
Saya duduk di rumah kampung, rumah ini memang besar dan halamannya juga luas. Keluarga saya hanya duduk sebahagian atau separuh saja dari rumah ini iaitu hanya bahagian hadapan. Sedangkan belakang tiada sesiapa yang duduk.
Semasa saya menemani adik saya berbasikal, saya memang ada membawa kunci rumah belakang kerana ibu saya suruh bersihkan di dalamnya pada ketika itu. Bila saya lihat adik saya berbasikal, saya rasa sungguh gembira kerana adik saya semakin membesar. Setelah itu saya berkata pada adik saya, yang saya hendak masuk dahulu dan bersihkan rumah, “Aziz jangan bawa laju-laju, nanti jatuh.”
Adik saya hanya mengangguk. Semasa saya masuk ke dalam rumah tersebut, memang kotor dan berhabuk. Tetapi saya tidak membersihkan kerana saya penat setelah lebih kurang seharian berada di sekolah. Saya terus merebahkan badan saya di atas katil di sebuah bilik yang paling belakang di rumah itu.
Entah macam mana, saya tertidur di situ dan bila saya tersedar, hari sudah gelap, sudah malam. Saya sedar kerana ayah saya membuka pintu biliknya, kerana pintu biliknya boleh menembusi ke bahagian rumah belakang. Kalau anda hendak tahu, lorong tengah yang menghubungkan laluan rumah depan dan belakang telah ditutup. Jadi hanya boleh lalu melalui bilik ayah saya. Setelah itu saya terus bangkit dari situ dan bergegas menuju ke rumah depan kerana saya takut duduk seorang diri di situ.
Sampai di rumah depan, saya pandang jam di dinding rumah. Jam menunjukkan pukul 11 tepat. Sudah lama saya tidur, niat di hati sebenarnya hendak merehatkan diri sebentar di rumah belakang, tetapi saya terlelap. Semasa saya berada di rumah depan, saya lihat adik-adik saya sudah tidur di ruang tamu, dan abang saya tidur di biliknya. Saya yang baru terjaga dari tidur tidak dapat melelapkan mata walaupun pada hari esok saya akan bersekolah. Daripada membuang masa, saya terus mengambil barang-barang lukisan saya dan duduk di salah sebuah sofa yang berada di ruang tamu.
Sedang saya sibuk melukis kartun kegemaran saya (Batman), saya terdengar bunyi-bunyian di bawah kolong rumah. Rumah yang saya tinggal ini adalah rumah Johor lama mempunyai tingkap-tingkap yang besar, yang mana besarnya sama seperti pintu. Rumah ini telah diubahsuai menjadi semakin besar. Bunyi itu kedengaran di seperti di bawah kolong yang menyekat laluan rumah depan dan belakang. Saya tidak mengendahkan bunyi itu.
Lama-kelamaan bunyi itu semakin hampir dan kuat. “Krek krek krek…!! Krek krek krek…!!” Saya teringat ibu saya pernah mengatakan kepada saya, itu adalah cicak yang besar yang suka duduk di celah-celah papan rumah, jadi saya tidak merasakan apa-apa.
Bunyi itu terus-menerus kedengaran, dan yang paling membuatkan saya terperanjat, bunyi itu seolah-olah melompat dari bawah kolong terus mencakar ke tingkap rumah. Bulu roma saya terus berdiri, menggigil saya dibuatnya. Saya berasa hairan, kalau kucing yang mencakar, mana mungkin boleh sampai kerana rumah depan saya mempunyai kolong yang tinggi. Saya fikir takkan burung ada kuku begini tajam sampaikan begitu kuat kedengaran. Saya terus membaca Ayat Kursi, “Allah hula ila ha illaaaa huwal……” saya terhenti, saya terlupa akan bacaannya. Saya cuba ingat kembali, , “Allah hula ila ha illaaaa huwal……” memang tak boleh baca, lidah saya menjadi kaku, saya menggigil ketakutan. Langsung tak boleh baca apa-apa ayat suci Al-Quran.
Bunyi itu terus berlagu, hilang saja di tingkap yang berada di belakang saya, terus dengar di tingkap yang seterusnya yang berada lebih kurang 2 meter jaraknya. Hilang saja bunyi di tingkap itu, terus saja berada di pintu rumah, pergerakannya atau bunyi itu sungguh pantas.
Saya berasa sungguh pelik, sedangkan dari tingkap seterusnya hendak menuju ke pintu rumah adalah berbentuk L dan mempunyai beranda dan tembok yang menghalang. “Astaghfirullah hal azim” “Ya Allah”. Bunyi itu terus berlalu dan mencakar-cakar sehingga ke tingkap bilik abang saya dengan pergerakkannya yang pantas. Sehinggakan bunyi itu kedengaran seperti mencakar cermin tingkap rumah belakang “Ziinngg.. zziinngg.. zziinngg…!!!” dan terus menghilang. Bunyinya ngilu. Saya langsung terfikir, adakah bunyi itu akan membuat pusingan keliling rumah kerana saya sudah terlalu takut dan menggigil, namun itu tidak berlaku.
Pada keesokan harinya, semasa saya bersarapan, saya menceritakan kepada ibu saya. Ibu saya memarahi saya kerana petang-petang hari tidur, “Rumah belakang tu dahlah kosong, sebab tu dia ikut kau, kau tahu, padan muka kau…! Senja-senja tidur lagi…” Beliau memberitahu saya, 7 tahun yang lalu semasa kami baru-baru menetap di sini, ibu saya juga pernah mengalami peristiwa yang menyeramkan ini. Ketika itu beliau sedang menjahit baju, tetapi bunyi itu berpatah balik dan terus menghilang.
Selesai bersarapan, saya terus menuju ke pintu untuk memakai kasut yang berada di atas tembok beranda rumah. Saya terpandang pintu rumah, kelihatan seolah-olah pintu rumah bertanah dengan bekas cakaran yang jelas kelihatan. Saya terus memakai kasut dan saya melangkah menuju ke tingkap-tingkap. Semuanya bertanah dengan bekas cakaran tersebut. Saya menjerit memanggil ibu yang berada di dalam untuk melihat.
Setelah kejadian itu berlaku, kami sekeluarga menziarahi ke rumah makcik saya iaitu kakak kepada ibu saya yang berada di Kluang, Johor. Ayah saya menceritakan tentang pengalaman yang terjadi kepada diri saya seminggu yang lepas. Rupa-rupanya, sepupu saya, juga mengalami perkara yang sama seperti saya, pada waktu yang sama. Pada hari Jumaat yang sama, jam masih belum menunjukkan pukul 12 malam, semuanya sama. Makcik saya siap menunjukkan lagi kawasan cakaran yang masih terdapat di dinding rumahnya mempunyai tanah yang melekat. Sama seperti di rumah saya.
Makcik saya mengatakan, itu mungkin adalah saka peninggalan atuk saya yang sudah meninggal dunia, iaitu bapanya dan bapa kepada ibu saya. Mungkin ianya mencari tuan baru, dan tanah itu juga mungkin berasal dari tanah kubur.
melayukini.net
0 Ulasan
jerit kat sini