Loading...
KETURUNAN BAIK... Cressida bersama ibunya, kakaknya Isabella dan bapa Isabella.
DENGAN rambut perang lebat, sepasang kaki yang panjang, dan dari keturunan kaya, Cressida Bonas, adalah bukti apa yang dikatakan oleh rakannya, "kaya, cantik dan sempurna."
Kecantikan yang dimiliki oleh model berusia 23 tahun ini turut mendapat perhatian Putera Harry.
The Mail melaporkan, putera yang ketiga bakal mewarisi takhta ini, dilihat berkucup dan memeluk Cressida, anak kepada model kulit majalah tahun enam puluhan, Lady Mary-Gaye Georgiana Lorna Curzon.
Rabu lalu, pasangan itu bersungguh-sungguh menunjukkan kepada jurugambar bahawa mereka tidak ada hubungan, taktik yang biasanya digunakan oleh keluarga diraja tetapi menjadi petunjuk ada sesuatu yang berlaku di antara mereka.
Selain daripada menjadi calon terbaik untuk pasangan Harry, wajah Cressida juga saling tidak tumpah dengan teman wanita putera berusia 27 tahun itu, Chelsy Davy dan juga teman wanita seketika di musim panas, Florence Brudenell-Bruce.
HARRY tenang ketika keluar dari kelab dan dikelilingi oleh pengawal keselamatannya, sementara Cressida Bonas dilihat meninggalkan kelab itu pada jam 4.15 pagi.
Sama seperti Chelsy yang pernah menjalinkan hubungan yang agak bergelora dengan Putera Harry selama tujuh tahun itu, Cressida juga belajar di sekolah awam di Stowe dan kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Leeds.
Dia juga sering dilihat menghadiri majlis kelas atasan di London dan ketika remaja, dia dilabel oleh majalah Tatler sebagai "sangat cantik, sangat baik dan obses dengan Eva Cassidy."
Buat masa ini Cressida adalah model untuk jenama mewah Burberry dan mencuba bakat dalam bidang lakonan. Dia dikatakan mempunyai karektor "baik dan periang"
dan diperkenalkan kepada putera Harry oleh rakan baiknya, Puteri Eugenie.
Rabu lalu, dia bersama Harry dan sepupunya menghadiri pesta selepas hadir di tayangan perdana filem Batman, "The Dark Knight Rises" di Freemasons' Hall di Covent Garden, di mana agak susah untuk mereka keluar masuk berasingan.
Cressida walau bagaimanapun, secara diam-diam, ditemani oleh rakan baik Harry, Tom "Skippy" Inskip.
Ketika pasangan itu tiba, secara berasingan, di lokasi kedua mereka malam itu, Le Salon, Cressida sengaja menunjuk-nunjuk ketika masuk di restoran dan kelab malam di tengah London itu, dengan memeluk seorang lelaki kacak berambut hitam, yang sebenarnya adalah teman lelaki Eugenie, Jack Brooksbank.
Menurut mereka yang ada di dalam kelab itu, tidak lama kemudian dia dan Harry dilihat bersama dan berkucupan di satu sudut.
Dengan mengenakan gaun ketat putih dan kasut tinggi hitam, serta sebahagian rambutnya ditocang, Cressida meninggalkan kelab itu pada jam 4 pagi dan terus menaiki teksi sendirian. Harry dan pengawal keselamatannya meninggalkan tempat itu kira-kira sepuluh minit selepas itu.
Mereka menjalinkan hubungan itu tidak lama selepas putera itu merungut dalam satu wawancara di televisyen Amerika Syarikat yang wanita takut hendak mendekatinya kerana dia keluarga diraja sedangkan dia sudah tidak sabar hendak berkahwin.
Cressida adalah anak perempuan kepada Lady Mary yang pernah berkahwin dan bercerai empat kali, dan sewaktu mudanya adalah wanita cantik dan terkenal.
Lady Mary adalah anak perempuan kepada pemandu kereta lumba sebelum Perang Dunia Kedua, Earl Howe dan anak angkat Edward VII, yang mempunyai lima anak bersama tiga suaminya.
Cressida adalah anak daripada suami ketiganya, Jeffrey Bonas, bekas pelajar Sekolah Harrow. Mereka bercerai pada 1994.
Seorang lagi anak perempuannya, Isabella, dari perkahwinan keduanya dengan jutawan hartanah, John Anstruther-Gough-Calthorpe, sebelum ini dikatakan mempunyai hubungan cinta dengan Putera William, tetapi ia tidak benar. Isabella kini bertunang dengan anak lelaki Richard Branson, Sam.
Lady Mary adalah seorang daripada gadis terkenal di zamannya, dan pernah dengan berani bergaya untuk majalah tahun enam puluhan di mana tubuh separuh bogelnya dilumur dengan minyak enjin sebagai penghormatan kepada bapanya, pemandu kereta lumba.
Apabila ditanya mengenai hubungan anak perempuannya dengan Harry, Lady Mary yang tinggal bersendirian di Chelsea terus ketawa. "Maafkan saya. Saya tidak tahu apa-apa mengenainya," katanya sambil ketawa lagi.
Jurucakap Putera Harry, enggan memberi komen. -DM
0 Ulasan
jerit kat sini