Loading...
RAKAMAN kamera litar tertutup yang menjelaskan kronologi kejadian amuk yang dilakukan oleh Khalil dan rakannya Muhdalina di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya Isnin lalu.
ISNIN lalu, suasana tenang di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Presint 1, Putrajaya bertukar cemas apabila bangunan kerajaan itu diceroboh dua penganggur, Khalil Afandi Abd. Hamid, 47, dan Muhdalina Ahmad, 28.
Kedua-dua penceroboh yang lengkap bersenjata tersebut dikatakan mahu memasuki premis berkenaan untuk berjumpa dengan Perdana Menteri namun tidak dibenarkan.
Berang dengan keadaan tersebut, Khalil yang menggelar dirinya sebagai Imam Mahdi tiba-tiba mengeluarkan sebilah pedang samurai daripada jaket hijau yang dipakainya sebelum mengacunya ke arah anggota polis bantuan yang bertugas.
Larangan untuk memasuki premis berkenaan tidak diendahkan sebaliknya dia terus menanggalkan jaketnya dan menjerit mahu menggulingkan kerajaan sambil bertakbir beberapa kali.
Khalil dikatakan terus mengamuk dan bertindak agresif. Dengan menggunakan pedang samurai yang terhunus di tangannya, dia melibas pedangnya dan memecahkan cermin tiga buah kenderaan yang diletakkan di situ.
Anggota Unit Kereta Peronda yang cuba memujuk turut diserang.
Melihatkan keadaan yang semakin tegang dan pasangan tersebut bertambah agresif, anggota polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah mereka.
Syok sendiri
Dua daripadanya mengenai tangan dan bawah perut Khalil manakala satu das lagi terkena paha kiri Muhdalina.
Khalil yang juga pemilik blogger jayanegara1234.blogspot.com, meninggal dunia selepas setengah jam dibawa ke Hospital Putrajaya untuk diberikan rawatan kecemasan.
Kejadian tersebut menjadi palitan sejarah hitam yang pertama dicatatkan berlaku di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu sejak ia dibuka 14 tahun lalu.
Selepas beberapa hari siasatan dijalankan, banyak sisi hitam kehidupan Khalil berjaya dibongkar.
Selain dikatakan sakit mental, dia juga disyaki cuba menubuhkan kumpulan ajaran sesat sendiri berdasarkan pemikiran ekstremnya.
Tidak cenderung kepada mana-mana ajaran sesat sedia ada, penulisan Khalil dalam blognya jelas menunjukkan dia masih tercari-cari ideologi songsangnya. Begitupun, dia menggunakan nama Imam Mahdi sebagai platform yang dikira dapat menyokong tindakan melampaunya itu.
Tindakannya yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi sebagai bukti kedangkalan akal lelaki ini.
Menurut Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, individu yang menggelarkan diri mereka sebagai Imam Mahdi adalah manusia yang syok sendiri.
Mereka juga disifatkan sebagai taksub dengan perjuangan Imam Mahdi yang dilantik oleh Allah S.W.T. untuk memerangi umat Islam yang berbeza fahaman dan pegangan.
“Kalau ada orang yang menggelarkan dirinya sebagai Imam Mahdi, itu kerja mengarut. Nabi Muhammad S.A.W. sudah meninggalkan hadis sahih yang menyatakan bahawa Imam Mahdi dilantik daripada keturunan Baginda dan hanya akan muncul dari Madinah.
“Malah, Imam Mahdi yang sebenar tidak mengetahui bahawa dirinya ialah Imam Mahdi.
“Apabila ada yang mengaku, mendakwa atau menggelarkan diri mereka sebagai Imam Mahdi, mereka adalah golongan penipu,” ujarnya.
Sejarah telah menyaksikan kemunculan individu tertentu yang mendakwa diri mereka sebagai Imam Mahdi.
Di negara Arab seperti Sudan, wujud gerakan Muhammad Ahmad al-Mahdi yang aktif pada tahun 1845 hingga 1885.
Di beberapa negara lain, ada pihak tertentu terutamanya golongan penulis yang menonjolkan pemimpin mereka sebagai Imam Mahdi, antaranya bekas Presiden Mesir, Anwar Sadat dan bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein.
Lain pula keadaannya di Malaysia. Kehadiran Imam Mahdi biasanya diiringi dengan kemunculan kumpulan ajaran sesat yang memesongkan akidah umat Islam.
Pada Oktober 1980 misalnya, polis menembak mati lapan anggota sekumpulan pelarian Kemboja yang menyerang Ibu Pejabat Polis Batu Pahat menggunakan parang dan pedang. Mereka dipercayai kumpulan ajaran sesat yang dikatakan berguru dengan Imam Mahdi.
KHALIL yang juga pemilik blog jayanegara1234.blogspot.com banyak menulis tentang perkara ekstrem.
Ubah kedudukan matahari
Pada Jun 2011, Harun Mat Saat menjadi orang yang paling dikehendaki Bank Negara Malaysia dan pihak polis apabila terlibat dalam penipuan skim cepat kaya membabitkan kerugian sehingga RM200 juta ringgit.
Harun turut mengaku dirinya sebagai jelmaan Imam Mahdi yang boleh mengubah kedudukan matahari, bulan dan bintang.
Selain kes Harun, pengasas gerakan al-Arqam, Asaari Muhammad dan pengasas kerajaan langit, Ayah Pin turut mengaku mereka ialah Imam Mahdi.
Jika diteliti daripada hadis-hadis sahih yang diriwayatkan oleh para sahabat dan pendapat ulama-ulama Ahli Sunah Wal Jamaah, antara tanda besar kiamat ialah munculnya Imam Mahdi.
Menurut hadis sahih yang diriwayatkan oleh Turmizi, Rasulullah bersabda: “Dunia tidak akan hancur sehinggalah (muncul) seorang lelaki daripada kalangan kaum keluargaku, yang namanya seperti namaku (Muhammad bin Abdullah) memerintah seluruh bangsa Arab.”
Daripada Abu Daud pula, beliau meriwayatkan Rasulullah pernah bersabda yang mafhumnya: “Jika tinggal hanya sehari lagi sebelum kiamat tiba, nescaya Allah akan mengutuskan seorang lelaki daripada kaum keluargaku yang akan memenuhkan dunia ini dengan keadilan dan kesaksamaan, seperti sebelumnya dunia ini dipenuhi dengan penindasan.”
Diriwayatkan juga, Imam Mahdi bakal lahir daripada keturunan Rasulullah melalui anak-anak Saidatina Fatimah.
Bagi golongan yang berfahaman Syiah, mereka percaya bahawa Imam Mahdi adalah anak Saidina Ali.
“Salah seorang anak Saidina Ali, Muhammad Ibn Hanafiyyah, diangkat sebagai Imam Mahdi oleh golongan Syiah.
“Muhammad ialah anak Saidina Ali bersama Hanafiyyah, wanita yang dinikahinya selepas kematian Saidatina Fatimah.
“Muhammad sendiri menolak ideologi Syiah tersebut,” jelas Pensyarah Kanan, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Saodah Abd. Rahmah.
0 Ulasan
jerit kat sini