Akalnya Panjang Tidak Sependek Kakinya

Akalnya Panjang Tidak Sependek Kakinya

Loading...
(Adun Semerak, isteri dengan Rohani serta keluarganya)

KOTA BHARU: Dia seorang wanita yang bijak, seorang isteri dan ibu yang mampu menguruskan keperluan kepada seorang suami dan anak walaupun dia adalah golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Kerana keistimewaannya, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim, menjadikan insan istimewa ini sebagai anak angkatnya.

Rohani Hassan, 31, yang cacat anggota kakinya iaitu antara paras lutut ke bawah, menjadi perhatian masyarakat kerana keistimewaannya itu.

Walaupun bersekolah hanya sampai darjah 6, namun kemampuannya bercakap seumpama ‘pakar motivasi’, lantang bersuara, penuh dengan fakta seumpama orang yang terpelajar.

Wan Hassan ketika ditemui memberitahu beliau bercadang untuk mengambil anak angkatnya itu sebagai penceramah untuk memberikan motivasi kepada rakan-rakan yang senasib dengannya agar mereka sentiasa tabah menghadapi ujian hidup.

Jelasnya, sepanjang lima tahun beliau mengenali Rohani sehingga akhirnya gadis itu berkahwin, Wan Hassan menilai gadis itu mempunyai keunikannya yang tersendiri.

“Tambahan pula dia gemar membaca, khususnya buku motivasi khususnya bagaimana untuk menjadi insane yang berani, rajin dan sebagainya,”ujar Wan Hassan lagi.


Rohani (gambar) yang menetap di Kampung Pachakan Dalam Rhu, bersama bapanya dilahirkan cacat, di mana betisnya bukan sahaja agak pendek, sebaliknya mempunyai tapak kaki yang tidak normal.

Keadaan itu membuatkan beliau tidak mampu berjalan secara normal sehingga beliau sering dibantu oleh allahyarham ibu dan ayahnya untuk bergerak.

Kerana tidak mahu menyusahkan ayahnya yang terpaksa menghantar dan menjemputnya pulang dari sekolah, beliau mengambil keputusan untuk tidak mahu belajar lagi.

Namun kuasa Allah tiada siapa yang tahu, ketika meningkat remaja, Rohani tiba-tiba mampu berjalan dan akhirnya mampu menguruskan dirinya sendiri tanpa bantuan sesiapa.

Tentu ramai yang tidak mengetahui kisah hidupnya yang menarik ini, di mana beliau telah dilamar oleh seorang jejaka dari Sabah yang dikenalinya hanya melalui telefon.

Setelah berkenalan lebih empat tahun dengan jejaka berkenaan yang kebetulan juga sahabat abang kandungnya, akhirnya beliau mendirikan rumah tangga dua tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup mereka, dikurniakan seorang cahayamata.

“Saya bersyukur walaupun saya cacat, saya tidak bersekolah, saya mampu melaksanakan tanggungjawab saya sebagai seorang isteri, sebagai seorang ibu juga sebagai seorang anak kepada ibubapa saya,”ujarnya.

Catat Ulasan

0 Ulasan