Kasih seorang anak ,biar susah ayah dan ibu akan tetap saya jaga.Baca!!

Kasih seorang anak ,biar susah ayah dan ibu akan tetap saya jaga.Baca!!

Loading...


Demikianlah yang harus dilaksanakan oleh Raja Nurazian binti Raja Kamaruddin. Ketabahannya dalam menjaga kedua ibu-bapanya harus dipuji. Dia harus membahagikan masa sebaiknya untuk terus berbakti pada orang tuanya yang sememangnya hanya mengharapkan dirinya.

Di sebalik tugas yang wajib dijalani, wanita berusia 44 tahun ini tidak pernah lelah dalam menjaga ayahnya yang terlantar lumpuh akibat serangan strok serta ibunya yang sudah tua. Dia setia menghabiskan masa berada di sisi kedua ibu-bapanya kerana buat dirinya itulah harga yang perlu dibayar oleh seorang anak setelah ibu dan ayah menjaganya dari kecil hinggalah dewasa.

“Masa kita kecil, ibu dan ayah menjaga kita. Walaupun hanya pening tapi mereka adalah insan yang paling risaukan akan keadaan kita. Saya redha dan ikhlas untuk menjaga ayah serta ibu saya biarpun perjalanan hidup kami bukan sesenang mana,” ujar isteri kepada Azmi bin Md. Ibrahim ini.

Menurut Nurazian, sejak ayahnya yang berusia 71 tahun lumpuh hampir lima tahun yang lalu, dia akan menguruskan makan minum dan juga keperluan lain ayahnya. “Ayah tidak boleh bercakap dan hanya sekadar mampu untuk mengangguk dan menggeleng sahaja. Oleh itu saya akan menguruskan segala perkara untuknya dari makan, minum dan pakai. Sementara kerja memandikan ayah dilakukan oleh suami saya kerana hanya kudrat suami sahaja yang mampu untuk mengangkat ayahnya,”ujarnya yang kemudian mengimbas keadaan ayahnya.

“Sebelum lumpuh, ayah bekerja sebagai pemandu peribadi. Satu hari dia diserang strok lalu terjatuh. Ketika itu ayah sudah tidak boleh bergerak tapi masih mampu untuk duduk. Pada masa yang sama, ayah juga menghidapi penyakit darah tinggi “Satu hari ayah kemudian mengalami sesak nafas dan kami hantar untuk pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN). Ketika itu dia masih boleh bercakap tapi kami sukar untuk difahami pertuturannya dan lama-kelamaan ayah langsung tidak mampu berkata-kata lagi. Tapi kami bersyukur kerana dia masih boleh mendengar dan memberi respons jika kami berinteraksi dengannya,”ceritanya ketika ditemui di kediamannya di Pantai Permai, Pantai Dalam.

Jaga dengan baik

Menurut Nurazian, kali terakhir ayahnya menerima rawatan adalah pada tahun 2008. Ketika ini ayahnya banyak bergantung pada ubat-ubatan yang dibekalkan oleh hospital kerajaan. “Sekarang ayah memakai lampin pakai buang dengan kos RM 435 sebulan. Lampin ini akan ditukar tiga kali sehari. Kami pernah mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tapi sudah dihentikan setahun yang lalu” ujarnya dalam nada yang sayu. Sambungnya, kini ayahnya hanya mampu terlantar dan jika ada tetamu yang bertandang ke rumahnya ramai yang menyangka dia dalam keadaan sihat dan sedang tidur tanpa mengetahui keadaan sebenarnya yang lumpuh.

Selain lumpuh ayahnya turut mempunyai beberapa masalah kesihatan yang lain. Paling kerap dialami adalah kencing berdarah. Bagi mengelakkan ia terjadi kata Nurazian ayahnya dia perlu dibekalkan dengan air suam yang secukupnya . “Saya juga akan memastikan ayah dalam keadaan baik. Tubuhnya perlu selalu dibalikkan agar tidak berlaku masalah melecet. Ada ketikanya ayah akan diletakkan di atas kerusi roda bila tetamu datang. Kami tak mahu meminggirkannya,”tutur Nurazian yang mempunyai enam orang adik beradik.

Ambil upah mengasuh

Dalam pada itu katanya, ibunya yang berusia 66 tahun turut mempunyai masalah kesihatan. Dia menghidapi masalah pinggang dan tidak mampu melakukan kerja-kerja berat. Oleh itu segala urusan di rumah perlu dilakukan oleh dirinya dibantu oleh suami. Ketika ini untuk menampung kehidupan, kata Nurazian dia mengambil upah mengasuh seorang kanak-kanak dan seorang bayi. Walaupun upahnya tidak sebanyak mana namun katanya ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung tambahan pula, suaminya sudah dua bulan berhenti kerja kerana masalah kesihatan.

Mujur juga katanya ada adik yang membantu. Rumah yang didiami Nurazian bersama ibu dan bapanya dibayar secara bulanan oleh adik bongsunya yang bekerja di sebuah syarikat swasta. Sekurang-kurangnya beban yang ditanggung sedikit ringan. Biarpun hidup Nurazian penuh liku dan cabaran, namun digagahkan juga kudratnya untuk terus membantu keluarga.

Walaupun ada yang mencadangkan agar mereka menghantar ayahnya ke pusat penjagaan orang tua dirinya menolak keras cadangan tersebut. “Biar sesusah mana pun kehidupan saya, saya akan tetap menjaga ibu dan ayah. Saya mahu terus berada di sisi mereka dalam apa juga keadaan pun,”ungkapnya sayu

Catat Ulasan

0 Ulasan