Cintaku Terlentok Dialam Maya.Baca!

Cintaku Terlentok Dialam Maya.Baca!

Loading...
Cinta sempoi di alam siber

                                 

Belum masuk sekolah menengah sudah pandai ponteng kelas untuk berjumpa teman lelaki. November lalu gadis berusia baru 12 tahun itu pertama kali dirogol oleh pakwenya yang berusia 16 tahun.

Selepas kejadian pertama itu pelajar tersebut, kini 13, mengakui beberapa kali dirogol remaja yang sama.

“Walaupun bekerja di Kuala Lumpur, dia selalu pulang ke rumah keluarganya di sini. Kami selalu berjumpa di sebuah pasar raya di Bercham dan sanggup ponteng sekolah untuk bertemu dengannya,” kata si gadis seperti yang disiar media, kelmarin.

Perlu diingat, hubungan seks beberapa kali itu menjadi jenayah rogol sebab gadis masih di bawah umur. Sekiranya tidak berstatus bawah umur, perlakuan ketika ponteng sekolah itu tidak dikira rogol, dan dianggap hanya sebagai ‘bertukar-tukar hadiah suka sama suka’.

Siapa agaknya yang patut disalahkan dalam kes malang ini? Adakah remaja 16 tahun yang pandai memujuk rayu, mungkin meniru ala-ala romantis dari filem Hindustan, atau dari siri drama Korea yang banyak ditayangkan di TV kita sekarang.

Boleh jadi juga salah si gadis sebab cepat tergoda dan menyerah. Atau adakah salah ibu bapa pelajar berkenaan yang gagal mengawasi pergerakan anak sehingga acap ponteng sekolah untuk bercumbuan.

Tetapi, rata-rata orang menyalahkan Facebook. Laman sosial itulah yang mula mengenalkan ‘Romeo’ dan ‘Juliet’ berkenaan. Seperti yang diakui Juliet, dia mula menjalin hubungan di alam siber pertengahan tahun lalu.

Dari alam siber ke alam nyata, dan... Apabila Mark Zuckerberg mula mencipta Facebook pada 2004 – ketika itu usianya baru 20 tahun – dia mungkin tidak terfikir sisi-sisi negatif yang bakal dicetuskan oleh hasil rekaannya itu. Atau, boleh jadi juga si genius komputer itu memang sudah menjangka akibatnya, dan hanya mengambil sikap ‘ada aku kisah?’

Hari ini, tidak sampai sepuluh tahun, laman sosial ciptaan pelajar tercicir Havard itu mempunyai pelanggan lebih 250 juta di seluruh dunia, dan Zuckerberg menjadi jutawan, sekali gus selebriti dunia. Tidak dinafikan banyak manfaatnya. Maklumat dan data tersebar dan diterima di hujung jari.

Apa yang terjadi di sebelah sana glob, diketahui di sebelah sini dalam beberapa saat. Pasaran saham, keputusan pilihan raya, perlawanan bola sepak Piala Eropah, semuanya boleh diketahui dalam sekelip mata.

Tetapi banyak juga kesan buruknya. Orang boleh melakukan jenayah menerusi laman maya ini. Seperti yang diberitakan dari London kelmarin, maklumat yang dikumpulkan akta kebebasan maklumat United Kingdom mendedahkan, satu jenayah berkaitan dengan laman sosial Facebook akan dilaporkan kepada polis setiap 40 minit.

Menurut laporan itu, tahun lalu sahaja, pihak berkuasa tersebut mencatatkan 12,300 aduan kesalahan melibatkan laman sosial popular itu. Bukan setakat itu, laman tersebut juga dijadikan rujukan bagi penyiasatan kes pembunuhan, rogol, kesalahan seksual kanak-kanak, serangan, culik, ancaman bunuh, saksi ugutan dan rasuah.

Di tempat kita Facebook menjadi medan peperangan, lebih-lebih lagi pada musim-musim pilihan raya seperti sekarang. Siapa sahaja boleh menuduh apa sahaja menerusi laman popular ini. Detik demi detik telefon bimbit kita berdecit, pasti ada fitnah baru yang masuk dalam Facebook kita.

Malah, sudah banyak juga kes orang kita terpedaya menerusi laman maya ini. Ada lelaki tampan, bahasanya indah dan amat mendayu, hingga memikat hati seorang wanita.

Apabila hati sudah terpikat, masa akan banyak dihabiskan melayan jejaka tampan itu menerusi maya. Hari demi hari saling berbalas bahasa indah, tidak disedari cinta telah bersemi di alam maya. Meski hanya dalam maya, keasyikannya amat luar biasa.

Gambar bertukar gambar, termasuk aksi paling menggiurkan. Kemudian si jejaka mula meminta wang untuk urusan yang kononnya membolehkan mereka bertemu di KL.

Demi cinta wang dimasukkan dalam akaun tanpa sedikit pun rasa ragu. Hanya setelah beberapa bulan berlalu, dan RM puluhan ribu telah diberi, barulah diketahui jejaka yang dipuja dan didodoikan menerusi maya itu, rupanya satu penipuan terancang.

Cerita seperti ini semakin kerap kita dengar. Facebook, sama seperti Internet, sentiasa ada manfaat dan kebaikan. Tetapi, sentiasa juga ada bahaya dan keburukan. Jangan salahkan Zuckerberg. Kita tidak perlu lari dari kecanggihan maya. Tetapi perlu menggunakan fikiran, bukan perasaan.

Abd.Jalil Ali

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. yang sebenarnya ia bergantung kepada individu itu sendri..bg yang bawah umur mereka perlu diawasi oleh ibu bapa..jgn salah kan org lain dalam apa jua perkara..

    BalasPadam

jerit kat sini