Loading...
Sebenarnya, saya sangat takut untuk menjawab soalan itu. Pertama, takut dibelasah oleh kaum lelaki kerana membocorkan 'rahsia'mereka. Yang kedua, saya takut kerana jawapan saya, ada suami yang setia pun juga dicurigai.
Apa pun, sedikit sebanyak tanda untuk mengenali suami yang hatinya sedang berbunga, saya percaya ramai isteri sudah tahu. Tambah lagi pada zaman ini. Oleh kerana telefon sudah pintar, ramai orang jadi tidak pintar kerana terlalu berharap kepada telefon pintar.
Banyak sudah kita didedahkan dengan kes cerai-berai kerana telefon terutama berkaitan telefon yang boleh rakam gambar atau video.
Seorang kawan baru-baru ini mengadu tersilap beri hadiah telefon pintar kepada isterinya.
"Sekarang aku sudah tak boleh bohong dia lagi. Kalau dulu, keluar dengan girlfriend, aku kelentong sedang mesyuarat. Sekarang sudah tak boleh. Dia sudah pandai minta bukti," katanya.
Ramai suami yang menyangka mereka selamat apabila membisukan telefon ketika di rumah.
Namun seorang kawan lain pula keluhannya: "Bini aku sekarang, silent telefon pun tak boleh. Telefon aku tak berbunyi, dia sibuk tanya, apa hal tak ada orang call langsung."
Itulah. Sekarang, suami-suami yang ada kes, jangan lagi berasa selamat dengan membisukan telefon atau sembunyi telefon dalam poket.
Walaupun telefon anda pintar, anda sendiri tidak cukup pintar jika masih guna taktik lama, bawa telefon ke mana-mana hatta ke bilik kecil - taktik yang hanya laku 10 tahun dahulu, bukan sekarang.
Satu lagi, dalam buku Aduhai Suami terbitan Alaf 21, saya ada bangkitkan taktik sesetengah suami yang menggantikan nama kekasih dengan nama lelaki untuk mengaburi perhatian isteri. Misalnya nama Wahida jadi Wahid, Azlina ditukar Azli.
Ketika ditemu bual pengacara Dang Suria mengenai tulisan saya itu dalam TV tidak lama dahulu, saya ditanya, "mengapa perlu buat begitu?
Bukankah boleh delete saja nombor atau SMS?"
Ya, benar, boleh padam atau delete sahaja tetapi bukankah orang bercinta itu rindunya terlalu? Selang lima minit, 10 minit atau paling lama setengah jam panggilan atau SMS berselang. Tidak mungkinkah ada yang terlepas?
Maka kata saya, isteri patut curiga hubungan suaminya dengan 'Wahid' jika dilihat panggilan terlalu kerap.
Dan satu lagi, suami juga perlu belajar segala teknologi telefon yang terkini. Ada kes seorang kawan yang menyangka dia sudah padam semua sejarah dalam telefonnya, bukan sahaja dalam inbox malahan juga sent item, lalu pulang ke rumah dengan rasa lega.
Namun dengan tidak disangka, isterinya lebih cekap. Tiba hari, segala sejarah dikeluarkan termasuk yang berbulan-bulan sebelum. Kantoi habis!
Selepas 'rahsia' ini dibongkar, mungkin ramai suami akan lebih berhati-hati. Ya, itulah yang saya harapkan kerana sesama lelaki, saya tak suruh berhenti kerana memahami hati tidak boleh dipaksa.
Kalau sudah terlanjur bercinta, teruskan sahaja! Namun bagi isteri pula, tanpa telefon, tanpa segalanya... suami dilihat pijak semut pun tak mati, pun janganlah terlalu percaya.
Ada sesuatu yang orang lelaki tidak boleh bohong, tidak boleh selindung apabila jatuh cinta ialah bahasa badan - banyak yang akan berubah.
Jika sebelum itu dia seorang yang biasa-biasa sahaja, apabila jatuh cinta, penampilannya akan berubah. Keluar rumah hanya setelah pasti dirinya benar-benar segak dan wangi.
Andai ditanya isteri mengapa berubah, dia akan jawab: "Alangalang sudah beli minyak wangi, mestilah berubah. Takkan pakai selekeh mahu disembur minyak wangi."
Jika sebelum itu, jarang layan lagu tetapi sekarang, asal masuk kereta, terus diputar lagu, lagu cinta pula.
Masuk rumah pun sama. Tidak kiralah lagu Inggeris, Melayu atau Hindustan. Pasti mengejutkan andai dia tiba-tiba sangat beri perhatian pada lirik lagu, malah siap diajak isteri berbincang sekali.
Jika dia senyum-senyum sambil melihat ke arah lain, awaslah... wajah yang ada dalam matanya pada masa itu mungkin bukan wajah anda kerana anda sudah ada di hadapannya, dan jika anda yang difikirkannya, tentu dia tidak akan merenung ke arah lain sebaliknya tepat ke dalam mata anda.
MUHAMAD MAT YAKIM
1 Ulasan
suka lagu curang dari LAKSAMANA..
BalasPadamjerit kat sini