Wahai suami! dengarlah isteri anda

Wahai suami! dengarlah isteri anda

Loading...

Dr. di sini saya ingin minta pandangan/ nasihat daripada Dr. berkaitan masalah yang saya hadapi sekarang ini. Bukan tujuan saya memburukkan sesiapa, cuma saya mohon pandangan dan nasihat apa yang perlu saya lakukan untuk terus membina bahagia bersama suami. Dr., selalunya saya akan luahkan perasaan pada suami jika ada perkara yang saya tak puas hati atau terasa. Tapi yang musykilnya setiap kali saya luahkan, saya tak dapat respons yang begitu baik. Tidaklah suami memarahi saya, tapi seolah-olah dia tidak boleh terima apa yang saya luahkan. Setiap kali saya luahkan rasa tidak puas hati, suami berkata ia perkara remeh bagi dia tapi tidak bagi saya. Walaupun nampak remeh, pada saya, setiap masalah yang saya timbulkan haruslah ada penyelesaiannya. Suami saya tidak pernah berkongsi masalah atau apa yang mungkin tak menyenangkan dirinya sehinggalah bila saya bangkitkan isu, barulah suami bersuara.

Sebelum saya bersemuka dengan suami, biasanya saya luah rasa tak puas hati melalui e-mel, tapi tak pernah mendapat respons daripada suami. Perkara itu berlalu begitu sahaja, sehingga saya bersuara lagi.Tapi itulah, bila bersuara saja perkara remeh,jangan fikir sangat. Saya sudah tidak tahu bagaimana untuk mengatakannya. Saya tidak boleh memberi nasihat atau pandangan jika ada sebarang masalah melainkan orang lain yang lebih hampir dengan suami. Apa yang saya utarakan, susah untuk diterima suami seolah-olah saya mahu mengajarnya. Bukan begitu maksud sebenarnya, saya sekadar ingin berkongsi. Salahkah saya? Kadang-kadang saya tidak sengaja meninggikan suara dengan suami sebab terasa sangat. Jadi, apa lagi cara yang harus saya buat suami memahami apa yang hendak saya sampaikan.

Sampai sekarang masih ada isu yang saya pendam walaupun hati ini sudah sakit sangat. Boleh katakan setiap malam saya menangis, saya mohon pada Allah agar diberi petunjuk dan hidayah, beri saya kekuatan untuk hadapi dugaan berumah tangga.Saya akui saya ada buat silap, tapi saya sedang usaha perbaiki. Tapi saya tidak dapat sokongan penuh dari suami. Dr. sekarang saya dah jadi seorang yang terlalu sensitif, pemarah, degil, keras hati. Saya tidak mahu jadi begitu. Minta jawapan segera daripada pihak Dr. Terima kasih. Wassalam.

Suami tidak beri respons

Sekarang cubalah anda lihat, apakah sebenarnya masalah yang melanda wanita ini? Tidak jelas bukan? Masalah suami yang tak memberi respons, itu satu, tapi apa isu sebenarnya, seksualiti, layanan, kasih sayang, anak-anak, kewangan, mentua, orang ketiga, atau apa? Semuanya boleh bukan, masalahnya taklah semua pula. Tentu salah satu, tetapi andainya salah satu, yang mana satu? Kebanyakan kita samalah, apabila masalah melanda kita terlalu memikirkan masalah itu hingga tidak tahu apa sebenarnya yang menjadi akar kepada masalah. Orang kata, hendak membunuh lalang galilah lalang dan keluarkanlah akarnya. Selagi akar itu tidak dibakar ia akan tumbuh balik. Menebas lalang adalah penyelesaian jangka pendek sebab ia pasti tumbuh balik.

Sememangnya kebanyakan suami tidak pandai menunjukkan bahawa mereka kisah. Kebanyakannya lebih banyak diam apabila didepani satu-satu isu rumah tangga. Walaupun begitu sebenarnya mereka tetap memikirkannya, atau menganggapnya kecil lantaran ada yang lebih besar untuk diberikan perhatian.

Kepada semua suami, renung-renunglah sabda Rasulullah S.A.W yang maksudnya, “Gambaran kehidupan orang yang beriman dari segi kasih sayang, saling bersimpati dan saling cinta mencintai samalah seperti anggota tubuh yang jika salah satu daripadanya mengadu kesakitan, ia melibatkan seluruh anggota lain yang tidak tidur malam dan demam.” (Ahmad dan Muslim) Sekurang-kurangnya berikanlah perhatian anda tatkala isteri bercakap sebab wanita memang mahukan begitu.

Catat Ulasan

0 Ulasan