Loading...
Kisah rasa kecewa seorang ibu melihat penderitaan anak bongsunya yang menjadi mangsa dera suami yang tidak berhati perut. Kepada saya, Puan Idah (bukan nama sebenar) berkongsi kisah sedih anaknya untuk dijadikan teladan.
"Saya, ibu kepada empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan yang kesemuanya telah berumah tangga. Saya seorang pesara guru dan suami telah lama meninggal dunia.
"Malang bagi saya apabila anak bongsu saya, Yati (bukan nama sebenar) menghadapi masalah rumah tangga setelah dua tahun hidup bersama suaminya, Nazri (bukan nama sebenar).
"Mereka bernikah atas dasar cinta dan saya merestui pernikahan itu kerana merasakan anak bongsu saya telah bertemu dengan lelaki yang boleh menjaga nya hingga ke akhir hayat.
"Malangnya Yati telah tersilap membuat pilihan. Dia menjadi mangsa dera suami yang kaki perempuan dan suka berjudi. Pada mulanya saya tidak tahu nasib yang menimpa Yati.
"Dia sedaya upaya cuba menyembunyikan masalah rumah tangganya daripada saya kerana tidak mahu saya susah hati. Malah sebelum ini saya tidak pernah nampak dia ada masalah sebab wajahnya selalu ceria.
"Suatu hari saya tergerak hati untuk menelefonnya bertanya khabar tetapi dimaklumkan anak saya tidak datang kerja kerana sakit.
"Lalu saya mengambil keputusan ke rumahnya yang hanya setengah jam memandu dari rumah saya. Sampai di rumah saya lihat kereta suaminya ada di garaj. Saya memberi salam tetapi tidak berjawab.
"Oleh sebab pintu tidak berkunci, saya terus masuk. Dari arah pintu saya mendengar suara lelaki menjerit di tingkat atas. Saya pasti itu suara Nazri, menantu saya.
"Kemudian saya mendengar Yati menangis. Berkali-kali dia meminta maaf tetapi suaranya tenggelam dengan jeritan Nazri yang bagaikan orang gila sedang mengamuk.
"Hati saya mendidih. Saya menjadi amat marah, sebagai ibu saya tidak pernah menengking Yati dan meninggikan suara dengan anak-anak. Tapi lelaki ini sudah melampau.
"Lalu saya berlari menaiki anak tangga ke tingkat atas. Pintu bilik mereka tidak berkunci. Saya dapat lihat dengan jelas Nazri sedang memukul Yati. Saya terus menerpa dan mengheret Yati keluar.
"Kalau macam ini kamu layan anak aku, baik kamu tinggalkan dia. Apa salah dia sampai kamu buat macam ini?
"Saya menjerit melepaskan kemarahan. Rasa hormat saya kepada menantu hilang dalam sekelip mata.
"Saya benar-benar kecewa dan ralat dengan perbuatan Nazri. Tak sangka dia menantu yang kejam. Saya selama ini dipermainkan oleh Nazri yang berlagak baik di hadapan saya.
"Nazri hilang punca melihat saya mengamuk. Dia terkejut kerana tidak sangka saya akan muncul di rumahnya. Biar apa pun alasan yang dia berikan saya tidak akan memaafkan dia. Saya akan pastikan Yati mendapat pembelaan sewajarnya.
"Saya marahkan Yati kerana tidak memberitahu saya hal sebenar. Kata Yati dia sanggup dipukul kerana tidak mahu saya susah hati.
"Dia malas hendak bercerita dengan saya kerana diugut Nazri yang selalu balik lewat malam, ada perempuan lain dan suka berjudi.
"Malang juga bagi Yati yang dia sendiri tidak tahu suaminya seorang kaki perempuan dan judi sebab sepanjang mereka berkawan, tidak ada tanda-tanda Nazri berkelakuan seperti itu.
"Setelah memberi kata dua supaya menjauhkan dirinya daripada Yati, saya mengheret Yati keluar dari rumah dan memberi amaran kepada Nazri. Kata saya kita jumpa di mahkamah.
"Saya terus membawa Yati ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan. Kemudian kami ke balai polis untuk membuat laporan. Walaupun Yati enggan saya terpaksa lakukan tanggungjawab saya sebagai ibu. Mujur saya seorang guru, sedikit sebanyak tahu apa yang harus dilakukan.
"Sepanjang jalan, Yati menangis mengenangkan nasibnya. Saya marahkan dia kerana tidak beritahu saya masalah rumah tangganya. Katanya, dia takut didera lebih teruk oleh Nazri.
"Selesai urusan di hospital dan balai polis, saya menelefon besan saya minta mereka datang untuk selesaikan masalah anak mereka dengan anak saya.
"Apabila mereka tiba saya ceritakan apa yang berlaku dan menunjukkan bukti surat hospital dan laporan polis. Ibu bapa Nazri hilang kata-kata dan meminta maaf atas perlakuan anak mereka.
"Saya terus beritahu mereka yang saya mahu bawa kes ini ke mahkamah. Biarpun Yati masih sayangkan Nazri tetapi mereka tidak boleh hidup sebumbung lagi. Saya tahu tempat seorang isteri di sisi suami tetapi apa yang Nazri buat akan menyebabkan Yati menderita sepanjang hayatnya.
"Mereka tidak membantah dan menyerahkan kes itu kepada mahkamah. Nazri pula menghilangkan diri selepas kejadian itu. Usaha menjejaknya di pejabat juga gagal kerana dia dikatakan sudah bertukar kerja di tempat lain.
"Semuanya kerja Tuhan dan saya akur dengan ketentuan-Nya. Saya akan terima Yati semula dalam hidup saya. Biarpun dia tidak bahagia dalam rumah tangga saya mahu dia bahagia bersama saya, abang serta kakaknya.
"Anak-anak saya mengamuk dan mahu memukul Nazri tetapi saya khabarkan kepada mereka, kita buat ikut saluran undang-undang.
"Soal harta dan wang ringgit saya tidak kisah lagi. Sebab saya yakin saya masih boleh tanggung Yati. Syukur dia masih belum dikurniakan cahaya mata, jika tidak lagi saya sedih. Apa pun, saya bersyukur kerana saya dapat menyelamatkan anak saya dari terus menjadi mangsa dera suami. Semoga cerita ini menjadi teladan untuk pembaca semua. Jika ada masalah, beritahu keluarga supaya masalah boleh diselesaikan dan penderitaan dapat dihentikan. Semoga Allah memberi hidayah-Nya kepada anak saya." begitu Puan Idah menamatkan ceritanya.
0 Ulasan
jerit kat sini