Hidup dan matinya bersama!!

Hidup dan matinya bersama!!

Loading...
                                     Pasangan warga tua buktikan kasih sejati tanpa ikatan cinta

Menurut anak pasangan warga tua itu yang dikenali sebagai Mariam, ayah dan ibunya sudah melalui hidup berumah tangga lebih 50 tahun. Ayah ketika kahwin dengan ibu berusia 23 tahun manakala ibu 13 tahun.

“Perkahwinan mereka bukan berdasarkan cinta, tetapi dipertemukan atas pilihan keluarga.

“Ketika mula memasuki gerbang rumah tangga, ayahlah yang bersusah payah membimbing ibu menguruskan rumah tangga,” kata Mariam yang tahu sejarah hidup kedua-dua ibu bapanya.
“Sepanjang hidup berumah tangga, ayah dan ibu melalui kehidupan susah dan senang bersama.

“Ibu dan ayah sabar melayan kerenah kami enam beradik dan berjaya menyekolahkan kami sehingga berjaya dalam bidang masing-masing.

“Sesuatu yang unik mengenai hubungan ayah dan ibu ialah mereka jarang berenggang. Di mana ada ayah, di situlah ada ibu.

“Ibu melayan ayah dengan baik sekali. Apabila sudah melewati usia emas, ayah yang berusia 74 tahun sering sakit dan ibu juga tidak segagah dulu menguruskan ayah.

“Melihat keuzuran mereka, saya dan adik beradik bersetuju membawa ibu dan ayah tinggal di ibu kota.

“Pada mulanya mereka tidak mahu untuk tinggal bersama saya kerana sayang untuk tinggalkan rumah pusaka.

“Selepas dipujuk, ayah dan ibu bersetuju dengan syarat setiap bulan saya kena bawa mereka pulang menjenguk rumah pusaka,” kata Mariam.

“Sebelum Aidiladha, ibu tiba-tiba diserang sakit jantung dan dirawat di sebuah hospital.

“Ayah walaupun tidak sihat melawat ibu di hospital. Pada masa ini ayah lebih utamakan kesihatan ibu daripada kesihatannya.

“Walaupun kami semua sayang ibu, tetapi Tuhan lebih menyayanginya. Tak sampai seminggu dirawat, ibu menghembuskan nafas terakhir. Kami membawa jenazah ibu pulang untuk dikebumikan di kampung.”

Mariam berkata, sejak kematian ibu, ayah muram. Kalau dia duduk sendirian, dia seperti berada di dunianya sendiri. “Ayah kadang-kadang berlagak seolah-olah ibu masih melayan makan minumnya.

“Selepas seminggu ibu pergi, ayah tidak berminat untuk mengikut anak hidup di kota.

“Dia lebih suka tinggal di kampung kerana dari rumah dapat lihat kubur ibu.
“Untuk mengelak ayah kesunyian dan memastikan keselamatan ayah di kampung, kami adik beradik bergilir-gilir jaga ayah.

“Pada Hari Raya Haji lalu, ayah meminta untuk menziarah kubur ibu. Berlinang air mata ayah ketika menitipkan doa untuk ibu. Ayah memanggil nama timangan ibu dan memintanya supaya membawanya bersama.

“Tak sampai hati melihat kesedihannya itu, kami membawa ayah pulang ke rumah. Sampai di rumah, ayah meminta dibantu untuk mengambil wuduk bagi menunaikan solat.

“Lama juga ayah duduk di atas sejadah. Ketika bersembahyang, tiba-tiba ayah terjelepok jatuh. Saya menampung badan ayah yang kelihatan nazak. Keadaan ketika itu memang kelam kabut. Selepas mengucap syahadah, perlahan-lahan ayah menutup mata. Ayah meninggal dunia dengan tenang di saksikan kami adik beradik yang kebetulan ada di rumah.

“Walaupun sedih dengan peristiwa itu, kami adik beradik reda dengan pemergian ayah. Lenyaplah rindunya kepada ibu.

“Ayah kami kebumikan di sebelah kubur ibu. Jasa ayah, ibu tetap kami kenang dan sentiasa titipkan doa moga ditempatkan di kalangan golongan beriman dan beramal salih,” kata Mariam menutup bicara.

Ketika mendengar cerita ini, sebak perasaan Kak Ani. Memang sukar untuk kita mencari pasangan yang berkongsi roh pada masa sekarang.

Apa yang berlaku hari ini, ramai yang tidak sabar melayan kerenah pasangan masing-masing dalam melayari bahtera kasih.

Sebelum mendirikan mahligai bahagia banyak janji dibuat dan apabila tidak ditunaikan, cinta yang suatu ketika tak pernah lekang di bibir hilang entah ke mana.

Mengapa keadaan ini berlaku? Ia bertitik tolak kerana tidak kuat pegangan agama dan kurang mengerti tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan isteri.

Ibu dan bapa yang beriman dan memberi pendidikan agama yang cukup kepada anak makin kurang kerana terlalu menghambat kemewahan dunia.

Memang ada ibu bapa yang begitu mengambil berat pelajaran anak kerana mahu anak mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan.

Mereka sanggup berhabis wang ringgit untuk tuisyen, tetapi amat berkira apabila bagi bayaran untuk kelas al-Quran.

Untuk mendapatkan anak yang bijak pandai mudah, tidak memerlukan masa yang panjang seperti melahirkan anak yang salih.

Ibu bapa yang mahukan anak beriman dan salih kena melalui proses panjang dengan mengutamakan calon suami atau isteri yang beragama, keturunan baik-baik, barulah berdasarkan rupa dan harta.

Apabila seseorang itu mendirikan rumah tangga kerana berpegang amanah Allah, dia pasti tidak sia-siakan tanggungjawabnya melahirkan zuriat beriman.

Anak yang mendapat perhatian dan limpahan kasih sayang daripada ibu dan bapa pasti akan memulangkan balik kebaikan yang mereka terima itu.

Kalau ada ramai orang seperti Mariam dan adik beradiknya, tak akan ada warga tua yang hidup tersisih, dibiarkan menumpang kasih di rumah orang tua atau menjadi kutu rayau.

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Kalau boleh kita pun nak jadi seperti itu, insyaallah jika berkesempatan.

    BalasPadam

jerit kat sini