Loading...
DIARI SEORANG ABAH
Bait akhir ‘isteriku sudah meninggal dunia’ penutup cerita terpahat sekian lama
TANGGAL 14.11,1996, isteriku meninggal dunia. “Itulah bait akhir ditulis oleh Abah. Sejak dari tarikh itu Abah tidak lagi membuka diari yang menjadi teman setia, apatah lagi untuk menulis peristiwa yang difikirkan penting dalam hidupnya.
“Diari itu memang bermakna bagi Abah. Setiap peristiwa membabitkan keluarga misalnya perkahwinan anak, kelahiran cucu semua dicatat, menggambarkan betapa berharga kasih sayang Abah terhadap isteri yang melahirkan zuriat dan keturunannya.
“Bagaimanapun, selepas tanggal 14.11.96, Abah tidak lagi berasa peristiwa selepas itu penting kerana dia tidak dapat lagi berkongsi dengan wanita disayanginya,” kata Teh yang ingin berkongsi detik hidup bersama lelaki cekal iaitu bapa kepada lapan anak.
Menurut Teh, selepas kematian emak, Abah menjadi pendiam, bercakap bila perlu saja. Sebagai anak, Teh tidak tahu apa yang terbuku dalam hati Abah.
“Ketika emak nazak, saya melihat Abah terpaku depan emak. Abah menyambut tangan emak dan memaafkannya. Selepas itu emak pergi untuk selama-lamanya dengan tenang.
“Walaupun kurang bercakap, Abah tidak lupa rutin hariannya sebagai siak masjid. Sebelum masuk waktu solat, Abah sudah kemas berpakaian dan menunggang basikal ke masjid. Walaupun masjid hanya 100 meter dari rumah, Abah tidak pernah lekang dengan basikal tuanya.
“Sebelah pagi ketika arwah emak masih ada, rutin Abah ke pasar juga mengayuh basikal. Semua peniaga tidak kira Melayu, India dan China yang Abah menjadi pelanggan tetap, tahu barang apa yang Abah beli dari gerai mereka.
“Saya biasa menemankan Abah ke pasar dan Abah akan menunjukkan kepada saya gerai mana yang sering dikunjunginya dan barang apa yang dibeli di situ.
“Selepas emak meninggal dunia, Abah masih teruskan rutin itu. Kami tak mahu menyekatnya walaupun tahu Abah makin tua dan berdepan bahaya jika terus berbasikal ke pasar yang laluannya semakin sibuk."
Menurut Teh pernah sekali, dia melarang Abah ke pasar dan mengambil alih tugas membeli barangan keperluan harian.
“Ketika kami sibuk membeli-belah di pasar, tiba-tiba kami ternampak kelibat Abah membeli-belah di gerai yang biasa dikunjunginya.
“Dia tetap juga mengayuh basikal ke pasar pada hari itu, walaupun tahu kami sudah mengambil tanggungjawabnya berbelanja,” katanya.
Kebimbangan kami mengenai keselamatan Abah ketika mengayuh basikal akhirnya diuji apabila suatu hari Abah tidak pulang ke rumah selepas solat Zuhur.
“Daripada cerita jemaah masjid, mereka memberitahu ada bersama Abah di satu majlis kenduri yang diadakan di kawasan berdekatan.
“Selepas Asar, Abah tak pulang sehinggalah menjelang Maghrib, kelibatnya juga tak kelihatan.
“Anak yang tinggal berdekatan sudah tidak menentu. Masing-masing membahagikan tugas menjejak abah.
“Anak yang tinggal di luar kawasan sudah diberitahu mengenai kehilangan Abah.
“Semalaman, kami tak tidur memikirkan ke mana Abah menghilang.
“Keesokannya ketika kami berkira-kira untuk membuat aduan mengenai kehilangan Abah, tiba-tiba Abah muncul depan rumah mengheret basikal tuanya.
“Abah masuk ke rumah dengan wajah tersenyum. Kain yang Abah pakai koyak-rabak, Abah masuk ke bilik dan baring di atas katil. Kami membiarkan Abah melepaskan penat.
“Selepas keadaan kembali tenang, barulah kami dapat tahu rupanya Abah tersesat ketika balik dari majlis kenduri.
“Kain pelikat yang Abah pakai koyak-rabak kerana Abah beberapa kali terjatuh dari basikal. Keadaan makin gelap dan nasib baik ada orang menemui Abah dan membawanya pulang ke rumah.
“Abah pula masih ingat alamat rumah dan berdasarkan alamat itu, orang itu menghantar Abah pulang keesokannya.
“Kami tidak tahu macam mana Abah boleh tersesat sedangkan tempat itu tidak jauh dari rumah.
“Untuk menghalang Abah menaiki basikal tua itu bukan penyelesaian yang paling baik.
Selepas berbincang, kami adik-beradik bersetuju meletakkan maklumat diri Abah dan alamat rumah kami pada kunci basikal Abah. Dengan cara ini, orang yang menemui Abah tentu tahu menghantar Abah pulang ke rumah jika tersesat lagi.
“Pengalaman Abah tersesat itu sudah jadi kenangan kerana pada 2006, Abah menyusuli ibu meninggalkan kami buat selama-selamanya.
“Abah meninggal ketika menunaikan solat Subuh di masjid. Pagi itu saya ingatkan Abah masih di rumah kerana selipar yang selalu dipakainya ke masjid masih ada di luar rumah. Memang menjadi kebiasaan Abah memakai selipar dalam rumah dan menggantikannya dengan selipar di luar apabila ke masjid.
“Hari itu Abah bawa sekali selipar dalam rumah ke masjid. Itu antara petanda dia akan pergi untuk selama-lamanya.
“Selain itu, jemaah yang bersolat Subuh bersama Abah melihat abah terhuyung-hayang ketika solat. Mereka melihat kain pelikat dipakai Abah terbuai-buai dihembus angin.
“Keadaan itu menghairankan jemaah di belakangnya kerana masjid itu berhawa dingin. Jemaah mengaku tidak khusyuk solat hari itu kerana bimbang dengan keadaan Abah yang tidak stabil.
“Abah jatuh terduduk pada kali pertama. Dia memicit kakinya dan kemudian bangun berdiri semula dalam safnya. Dia jatuh lagi kali kedua dan kali ini jemaah mengelilinginya yang sudah pengsan.
“Jemaah membawa Abah ke kereta dan menjemput saya untuk mengiringi Abah ke hospital. Tak sampai 100 meter dari rumah, seorang jemaah membisikkan bahawa Abah sudah tiada.
“Kami tak jadi ke hospital tetapi ke klinik swasta terdekat dan doktor mengesahkan Abah sudah tiada dan meminta dibawa pulang untuk urusan pengebumian.
“Abah meninggal pagi Jumaat dan dia disembahyangkan di masjid sebelum dikebumikan selepas solat Jumaat.
“Selepas Abah meninggal, saya ke pasar dan berbelanja di gerai yang Abah sering kunjungi. Peniaga bertanyakan Abah dan apabila diberitahu Abah meninggal dunia, mereka sedih dan kesal kerana tak diberitahu lebih awal,” kata Teh menutup bicara.
Apabila mendengar cerita Teh, Kak Ani memang tidak dapat menyeka air mata.
Banyak pengajaran diperoleh dari cerita Abah. Cinta dan kasih sayang pasangan dulu memang sejati. Walaupun jodoh diikat tanpa melalui proses perkenalan yang mesra seperti pasangan sekarang, mereka mampu melayari bahtera dengan tenang.
Pasangan Abah dan emak memang kaya tetapi bukan kaya wang ringgit. Anak dianugerahkan Tuhan dididik dengan penuh kasih sayang dan mereka berjaya dalam kerjaya masing-masing.
Diari itu masih tersimpan kemas dan itulah pusaka tidak ternilai ditinggalkan Abah.
Alfatihah buat abah
0 Ulasan
jerit kat sini