Loading...
Cuti hujung minggu lalu, saya bawa keluarga bersantai di kolam renang sebuah hotel di Kuala Lumpur. Saya memilih untuk jadi ahli kelab percutian hotel di pinggir tasik The Mines itu kerana jaraknya tidak jauh dari rumah.
Ya, saya amat memerlukan tempat seperti itu. Jadual kerja saya yang masuk pejabat pada waktu petang dan pulang tengah malam, selain perlu bekerja pada hujung minggu menyebabkan waktu untuk bersama keluarga sangat terhad.
Saya hanya ada ruang untuk bertanya khabar isteri dan anak-anak pada awal pagi. Tatkala saya pulang kerja waktu dinihari, mereka sudah dibuai mimpi.
Isunya bukan semata-mata jadual kerja tetapi juga kerana jarak rumah saya dengan pejabat yang agak jauh.
Tidak. Ini bukan rungutan tetapi sekadar untuk menceritakan bagaimana saya berusaha mengimbangi tuntutan antara dua perkara yang sama penting dalam hidup saya.
Ketika isteri melahirkan anak bongsu dua tahun lalu, saya sering berdoa supaya nanti janganlah apabila anak sudah pandai bercakap, dia sampai bertanya: “Pakcik cari siapa?” ketika melihat saya tercegat di depan pintu rumah.
Kerana itu, beriadah dengan kerap di lokasi yang tidak jauh dari rumah, untuk mengimbangi masa bersama yang sangat terhad, adalah berbaloi untuk keluarga saya.
Saya jarang punya masa luang yang panjang untuk bawa mereka bercuti jauh dari Kuala Lumpur dalam tempoh yang lama. Jika ada sekali pun, biasanya masa itu kami manfaatkan untuk balik kampung. Keluarga di kampung - terutama orang tua - pun tidak kurang juga pentingnya.
Ya, anak-anak saya sememangnya sangat teruja dibawa ke kolam renang. Namun dalam keadaan saya berasa sudah hampir lega, timbul pula masalah baru. Iyalah, di kolam renang, anda sendiri tentu maklum bagaimana pemandangannya.
Ini bukan soal saya tidak suka melihat pemandangan yang berbagai bentuk, ada seperti jemput-jemput, buah cempedak atau jambu bola di tepi kolam itu tetapi yang jadi masalah ialah apabila mendapati ada yang menutup gunung dan lembah hanya dengan secebis kain.
Itulah yang menggusarkan saya. Ini sudah tentu sangat negatif bagi anak-anak!
Saya teringat apa yang berlaku setahun lalu ketika kami sekeluarga bercuti di Langkawi. Masuk bilik hotel, anak lelaki ketiga saya yang ketika itu baru enam tahun umurnya, terus tarik langsir yang menghadap Pantai Cenang. Sebaik langsir terkuak, dia menjerit: “Ayah, orang English tak pakai baju!!!”
Ya, ketika itu dia menjerit. Tetapi di kolam renang hujung minggu lalu, dia tidak berkata apa-apa. Itu yang lebih menakutkan saya. Saya bimbang jika anak yang baru mengenal dunia, sudah mulai anggap ‘orang tak pakai baju itu perkara biasa’.
Soalnya, di manakah kita boleh dapat pantai atau kolam renang, yang benar-benar boleh buat kita rasa selesa untuk bawa keluarga beriadah?
Susah sangatkah untuk mengadakan zon pantai atau kolam renang awam yang memenuhi keperluan syariat di negara majoriti Islam ini? Sekurang-kurangnya, tidaklah ibu bapa malu atau serba salah untuk bawa anak beriadah sedangkan aktiviti ini sangat penting bagi kita.
Teringat satu lagi peristiwa ketika saya dalam perjalanan untuk menunaikan umrah 14 tahun lalu. Ketika singgah di Amman, Jordan, saya dibawa ke Laut Mati di sempadan Jordan - Israel. Di pantai itu, seorang gadis Arab berbikini hitam, berjemur seorang diri.
Tidak. Tidak ada pandangan kali kedua daripada saya ke arah wanita itu kerana saya masih sedar bahawa perjalanan saya itu untuk menunaikan umrah. Masih terngiang-ngiang lagi laungan azan Imam Haji Naf’an ketika saya hendak keluar dari rumah dua hari sebelumnya.
Tetapi dari pandangan yang sekilas itu, saya tahu wanita itu sangat cantik, kulitnya putih gebu.
Apa yang paling menarik perhatian saya ialah kemudiannya datang seorang wanita berpurdah bersama tiga kanak-kanak lelaki berusia sekitar enam hingga sembilan tahun, yang mungkin anak-anaknya. Tatkala si ibu - biarlah kita panggilnya begitu - berusaha menarik tangan anak-anaknya pergi dari situ, si anak pula masing-masing berkeras, bertahan.
Mereka begitu teruja memerhatikan gadis berbikini itu hinggakan tidak mahu berganjak meskipun ditarik dan dimarahi oleh si ibu.
Akhirnya kita terpaksa terima hakikat bahawa maksiat ada di mana-mana, sukar sekali untuk dielak dan yang pentingnya adalah kita. Bagaimana kita menjaga diri kita, dan ahli keluarga kita daripada api neraka!
MUHAMAD MAT YAKIM
0 Ulasan
jerit kat sini