Wanita buat apa sahaja demi lelaki?Jom Baca!!

Wanita buat apa sahaja demi lelaki?Jom Baca!!

Loading...
Wanita buat apa sahaja demi lelaki
Seorang kawan yang beristeri dua baru-baru ini merungut: “Aku kahwin dua apabila isteri tua aku naik ‘sendo’, sudah tak berapa sedap mata nak tengok. Tup-tup, baru setahun dua kahwin, yang muda ini pun sudah ada tanda-tanda nak ikut jejak langkah ‘kakak’ dia jugak.”

Meskipun ada rasa simpati berbaur kebimbangan kalau-kalau ditengking - kerana menyedari isu itu boleh diklasifikasikan sangat sensitif - namun saya dan kawan-kawan lain sememangnya tidak mampu hendak menahan ketawa yang bergelodak di dalam perut mendengar pengakuan kawan itu. Kalau ditahan juga, mahu rasanya masing-masing jadi seperti Pinatubo.

“Habis tu, hang tambah la satu lagi. Carilah yang macam Neelofa pulak, moga-moga tidaklah naik sendo yang nombor tiga ini,” saya sengaja bikin hangat setelah melihat muka kawan saya itu mula berubah jadi seperti muka ikan ketuka di meja pasar menjelang Maghrib.

“Gila kau! Yang dua ni pun kadang-kadang aku rasa macam nak terjun KL Tower, kau suruh tambah lagi,” katanya, langsung mengundang ketawa ‘simpati’ yang lebih kuat daripada saya dan ahli mesyuarat teh tarik yang lain.

Memang. Lelaki amat mementingkan bentuk badan pasangan. Sebab itu, tidak hairanlah jika di negara kita yang sering berkumandang slogan ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ ini, ramai wanita sanggup telan pil bergantang-gantang, minum jamu bergelen-gelen semata-mata untuk memastikan bentuk badan sentiasa unggul dan menawan macam Rozita Che Wan.

Tidak cukup dengan itu, ada pula yang setiap hari bersenam terkinja-kinja mengikut rentak lagu Flashdance What A Feeling Irene Cara. Tak mainlah lagu-lagu meliuk-lentuk macam lagu Tudung Periuk.

Itu belum lagi masuk bab mereka yang sanggup jilat kulit pau sahaja pada waktu tengah hari, dan hanya kemam kulit epal untuk makan malam.

Pendek kata, wanita sanggup buat apa sahaja untuk jaga badan, yang sudah tentu segala susah payah itu untuk mengindahkan pandangan lelaki. Alangkah beruntungnya jadi lelaki!

Ya, ini kerana ramai lelaki yang sangat cerewet dalam hal bentuk badan pasangan.

Saya teringat cerita seorang kawan yang mengadu dia selalu bermimpi melihat almari besar di dalam bilik tidurnya berjalan sendiri pada waktu pagi. Apabila dia terjaga dan menoleh, didapati isterinya sudah tiada di sisi.

“Rupa-rupanya yang aku mimpi itu bini aku, dia berjalan pergi bilik air,” katanya sambil ketawa terbahak-bahak. Begitulah kejamnya ‘mimpi’ seorang suami, yang dia sendiri pun setiap hari berjalan membawa tembikai susu terlebih masak ke sana ke sini.

Kerana piawaian yang begitu ketat oleh kaum lelaki, tidak hairanlah apabila ramai wanita sanggup menyiksa diri untuk memastikan diri mereka terus sedap dipandang oleh suami, lebih-lebih lagi memikirkan kalau-kalau ada saingan menanti.

Biarlah hanya melapik perut dengan kulit pau atau kulit epal, janji jangan diri berubah jadi seperti nangka masak yang sudah tidak ada potongan. Siapa tahan telinga jika suami asyik bercerita mimpi dihempap tong gas atau batu pelapik tiang rumah?

Namun, sedar atau tidak wahai wanita bahawa pengorbanan anda yang hanya untuk menyedapkan pandangan kaum lelaki, sebaliknya memarakkan lagi situasi tidak adil yang sekali gus akan menyebabkan anda terus menerus ditekan perasaan.

Misalnya, kawan saya yang merungut apabila isteri keduanya, yang dulu bukan main lagi dipuji langsing seperti biola Hamzah Dolmat tetapi sekarang sudah jadi seperti ‘double bass’, perutnya sendiri pun bunting gajah.

Tetapi sudah jadi resam lelaki sejak azali, hal diri sendiri tidak pula diutamakan, sebaliknya pandangan mata yang mesti didahulukan. Apa yang dipandang, mesti sentiasa elok biarpun perut sendiri memboyot!

Kerana itu, suka saya menasihatkan kepada wanita, berkorban biarlah berpada-pada. Jangan sampai merosak diri. Bukan mahu dikata bersenam itu tidak perlu, atau menjaga badan itu tidak perlu. Apa yang paling penting ialah menjaga kesihatan. Biarlah menggeleber, menggelambir seperti leher ayam piru, asalkan sihat.

Ramai lelaki sebenarnya tidak cerewet mana pun soal rupa paras atau bentuk badan, terutama apabila diri sendiri atau pasangan sudah menginjak angka ‘4 series’.

Pada peringkat ini, isu perhatian mesti didahulukan manakala pemahaman perlu diutamakan. Jika hati sudah ditambat, jangan bimbang soal wajah nan pucat tanpa mekap atau badan yang seperti tong cat. Yang paling penting adalah cinta sejati. Bagi saya, tiada guna beristeri cantik jika suami sendiri siang malam makan hati. Maklumlah, yang cantik itu biasanya bersaham tinggi.


penulis:MUHAMAD MAT YAKIM 



p/s  apa komen anda wahai kaum Hawa?

Catat Ulasan

0 Ulasan