Diragut masa hamil, Delly stres hingga sukar bersalin.Baca!!

Diragut masa hamil, Delly stres hingga sukar bersalin.Baca!!

Loading...

KELAHIRAN anak memang selama ini didambakan sementelah hampir lima tahun berkahwin. Selain terpaksa berusaha menggunakan kaedah alternatif, ada cerita di sebalik kelahiran Qamra Dania yang kini sudah pun berusia tujuh tahun. Siapa sangka di saat sedang sarat mengandung, Delly Darlina Dimyati, 31 tahun, diuji dugaan apabila menjadi mangsa ragut di sebuah kedai makan hingga menyebabkan dirinya berada dalam keadaan tertekan.

“Peristiwa itu berlaku tujuh tahun lalu. Namun ia masih segar di ingatan. Bayangkan tekanan yang dihadapi akibat diragut menyebabkan bayi yang dijangka lahir pada waktunya tidak mahu keluar. Walaupun sudah melalui proses ‘induce’ sebanyak dua kali namun ia tidak berhasil.


“Pada malam kejadian saya makan malam bersama suami, Abdul Anshirazi Abdul Aziz, dan seorang teman di sebuah restoran di Sg Buloh. Menjadi kebiasaan setiap kali keluar makan beg tangan yang dibawa akan diletakkan di atas meja untuk tujuan keselamatan. Manakala suami pula asyik dengan laptop sementara menunggu hidangan sampai,” ungkap Delly memulakan perbualan dengan wartawan Seri Dewi & Keluarga.

Dalam edisi April majalah itu, Delly berkata, ketika itu sedikit pun tidak terlintas di fikiran sikap sambil lewa mereka akan mengundang bencana.

“Sebelum beg tangan diragut, saya sempat ke tandas dan apabila kembali semula ke tempat duduk, saya perasan ada orang menghampiri meja dan terus merampas beg tangan berkenaan. Ketika itu saya seperti dipukau dan tidak menyedari bahawa beg tangan sudah hilang.

“Waktu itu baru saya perasan orang sekeliling memerhatikan meja kami dan barulah sedar bahawa beg saya telah diragut orang. Saya terus terkejut, begitu juga suami yang kemudiannya berusaha mengejar peragut berkenaan. Namun mereka terus berlalu pergi dengan sebuah motosikal,” ceritanya yang ketika itu sedang sarat menunggu masa melahirkan anak sulung.

Delly memberitahu, sejak malam itu hingga waktu untuk melahirkan, emosinya bukan sahaja terganggu tetapi juga turut mengalami tekanan.

“Pelbagai dokumen penting seperti kad merah untuk bersalin, kad pengenalan, kad kredit, ubat dan pelbagai lagi hilang. Saya susah hati memikirkan urusan bersalin kelak agak susah kerana kehilangan dokumen berkenaan. Saya dan suami terus membuat laporan di balai polis kehilangan berkenaan.

“Keesokan harinya barulah kami pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk membuat semula kad pengenalan dan sepanjang berada di sana saya tertekan kerana perlu berhadapan dengan pelbagai pertanyaan dan proses yang perlu dilakukan.

“Hampir sehari suntuk kami menyelesaikan urusan berkenaan itu dan saya betul-betul berada dalam keadaan stres. Waktu itu tertanya-tanya kenapa Tuhan menguji di saat-saat sedang sarat mengandung. Apabila difikirkan, saya reda dan ada hikmah di sebaliknya,” ujar Delly.


DEMAM TERUK AKIBAT TERKEJUT


Menurut Delly, perasaan stres yang dialami menyebabkan dia mengalami demam yang agak teruk hingga ditahan di wad.

“Ketika itu hari kelima kejadian dan memang sepatutnya saya ke hospital. Doktor memberikan ‘induce’ pada saya untuk proses kelahiran. Namun ‘induce’ pertama dan kedua tidak berhasil walaupun memakan masa berjam-jam. Mungkin juga stres yang dialami menyebabkan situasi ini berlaku.

“Doktor terpaksa ‘induce’ kali ketiga dan barulah bayi berjaya dilahirkan secara normal. Kalau tidak keluar juga ketika itu, doktor menyarankan agar saya dibedah. Apabila bayi keluar sahaja, saya rasa sangat lega dan terasa tres yang dialami hilang begitu sahaja. Terasa bagai angin lalu. Saya bersyukur kerana bayi tidak alami apa-apa masalah,” tambahnya yang pertama kali berhadapan dengan situasi ragut.

Walaupun kehilangan barangan berharga, namun Delly bersyukur kerana nyawanya dalam keadaan selamat.

Catat Ulasan

0 Ulasan