Batang balak jadi ular!!

Batang balak jadi ular!!

Loading...
Terlalu banyak rahsia hutan dan ilmu berburu disimpan dalam ingatan lelaki yang digelar Tok Yaman ini. Ia termasuklah kisah seekor rusa yang kembali bangun dan berlari, sedangkan ia sudah pun ditembak dan hampir disembelih.

TOK YAMAN membuat demonstrasi cara menekut yang dikhuatiri mengundang kehadiran 'sesuatu' yang lain daripada burung wak-wak.

Tok Yaman seakan-akan segan pada mulanya untuk ditemu ramah. Dalam nada merendah diri, berulang kali dia mengatakan bahawa dirinya tiada pengalaman menarik mengenai ilmu berburu. Begitupun, dia masih peramah mempelawa EKSTRA bertamu ke kediamannya yang terletak di pinggir bandar Mersing, Johor itu.

"Saya ini pencen pegawai kerani sahaja. Lihat itu, 36 tahun, enam bulan dan dua hari dalam tugas. Itulah saja yang dapat dibanggakan," katanya tersenyum sambil menunjukkan sijil penghargaan perkhidmatan oleh kerajaan negeri Johor yang dibingkaikan di dinding ruang tamunya.

Sebenarnya, bagi pemilik nama sebenar Mohd. Yaman Hassan Basri, 76, sepanjang tempoh itu jugalah dia 'dipancing' teman-teman sekerja untuk berjinak-jinak dengan dunia perburuan.

Fitrah tugas yang berpindah lokasi dan profil jabatan daripada pejabat daerah, pejabat tanah dan pernah bersama pasukan Mergastua (kini Perhilitan) sudah menjadi suatu yang biasa. Tok Yaman akhirnya mendapat kelulusan dalam permohonan pemilikan senjata api pada tahun 1957.

"Pistol Steven, itulah senjata api pertama saya. Itu pun saya dapat atas bantuan Pegawai Daerah Kluang ketika itu, Datuk Suleiman Mohd. Noor yang membelikannya pada harga RM85.

"Sejak itu, saya sering mengikutnya menembak di hutan sekitar Kluang," imbas bapa kepada tiga orang anak itu.

'Bertatih' dengan pengalaman awal membawa pulang ayam atau burung hutan, Tok Yaman bersama teman-teman Mergastua mula meredah jauh ke dalam perut rimba.

DARI KIRI: Penekut burung dan pemipit rusa; racik yang sudah diharamkan penggunaannya; serta pemipit kijang.

Awalnya hanya dengan melihat-lihat, Tok Yaman kemudian mendapat kepuasan melalui lepasan das pertamanya.

Teruja setiap kali menyertai kumpulan pemburu berpengalaman, genggaman pistol kecil Tok Yaman adakalanya berganti laras senapang. Pada musim tertentu, hasil buruan pun semakin besar jadinya. Napuh, kijang dan rusa antara yang pernah ditundukkan dan dilapah bersama.

Sehingga Tok Yaman berhenti berburu pada tahun 1985, dia mengakui sudah menembak kira-kira 300 ekor kijang di beberapa lokasi berburu.

"Menghadiri jemputan istana menemukan saya dengan adinda Sultan Johor iaitu Almarhum Tengku Abdul Rahman. Ada yang memberitahu beliau tentang pengalaman saya. Almarhum sudi mengajak saya menemaninya berburu.

"Almarhum sangat baik hati dan pemurah. Kalau membawa saya dan teman-teman lain bersama, tidak pernah kami pulang tanpa diberi wang sagu hati. Setiap seorang akan dihulur RM100," katanya yang pernah menjadi rakan sekolah bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Ghazali Mohd. Seth.
MENURUT Tok Yaman, ada banyak cerita mistik yang dikaitkan dengan burung wak-wak.

Bagi menunjukkan cara menangkap burung wak-wak, alat penekut itu ditiup oleh Tok Yaman. Alunan bunyi yang lunak itu boleh 'memukau' burung-burung berdada putih untuk mendekati jerat seumpama menyerah diri.

"Ada yang guna burung pemikat ataupun memasang racik. Tetapi alat-alat itu sudah diharamkan penggunaannya oleh pihak Perhilitan. Tentang penekut buluh ini pula, saya sudah tidak berani meniupnya," kata Tok Yaman sambil menggeleng kepala.
CERITA rusa tidak lut peluru bukan lagi dongengan pemburu.

Apabila diajukan pertanyaan tentang reaksinya itu, suami kepada Rusmah Mohamad, 55, ini memberitahu bahawa ramai yang sudah takut hendak menggunakannya.

"Macam-macam boleh jadi. Orang yang biasa menggunakannya pun tahu. Panggilan bunyinya 'berhantu'. Kalau nasib tidak baik, bukan burung yang datang, tetapi kita diganggu jin dan syaitan."

Tok Yaman sempat membuka sebuah cerita lama, iaitu tentang dirinya yang pernah jatuh pengsan selepas 'berdendam' dengan seekor ayam hutan yang berkali-kali ditembak namun tidak mengena.

"Ketika itu waktu Maghrib. Saya mahu pulang tetapi tetap inginkan seekor ayam hutan jantan yang masih belum dapat ditumpaskan. Saya terdengar ia berkokok tiga kali lalu menembaknya buat kali terakhir," ujarnya yang bergegas mahu menyembelih ayam seraya itu yang diyakini terkena peluru.
AYAM hutan pernah menyebabkan Tok Yaman jatuh 'pengsan' ketika hendak menyembelihnya.


Tatkala mata pisau hampir menumpahkan darah ayam itu, Tok Yaman jatuh pengsan. Dia cuma sedar kemudian apabila abu bakaran bulu ayam hutan disapu ke mukanya oleh seorang pemburu lain. Dia mendapati dirinya sudah terbaring di dalam rumah. Ayam hutan itu pula tiada khabar tentangnya.

Selain ayam hutan, rusa juga menurut Tok Yaman bukan buruan yang mudah diimpi untuk dikongsi nikmat dagingnya di meja hidangan.

Pada satu malam, dia bersama rakannya pernah menembak jatuh seekor rusa besar. Saat mahu disudahkan dengan syarat sembelihan, rusa itu bingkas bangun dan kembali berlari ke dalam hutan. Tok Yaman hanya terkebil-kebil tidak percaya.

"Pernah juga satu masa dulu saya menembak seekor rusa yang langsung tidak berganjak dari tempatnya. Tujuh das semuanya dilepaskan namun ia langsung tidak lari. Setiap kali ditembak, badan rusa itu mengeluarkan asap," imbasnya bersungguh.

Rusa yang sama diburu pada malam berikutnya. Seorang rakan yang tidak berpuas hati ingin menduga kemahirannya. Saat kelibat rusa itu dilihat di sekitar kawasan yang sama, rakan Tok Yaman bersedia untuk menjatuhkannya.

"Namun, setiap kali hendak menarik picu senapang, teman saya itu terasa seperti hendak sangat membuang air besar. Perkara yang melengahkan niat pemburu itu terjadi berulang kali sementara rusa itu sekadar memandang dari kedudukannya," kata Tok Yaman sedikit ketawa.

Akhirnya niat mereka hendak memburu dilupakan tatkala melihat seekor ayam hutan datang bertenggek di badan rusa itu. Ia berkokok seolah-olah memberi amaran.

"Itu petanda kurang baik. Kami pulang sahaja malam itu tanpa meneruskan hajat berburu," ceritanya.

Tok Yaman tidak berhenti membuatkan krew EKSTRA meremang bulu roma apabila bercakap tentang kisah selanjutnya.

"Saya bersama dua rakan sedang duduk di atas sebatang balak yang tumbang pada malam hari sambil menunggu kelibat haiwan buruan. Kami tiba-tiba merasakan suatu keanehan apabila mendapati batang balak itu bergerak perlahan ke samping.

"Apabila meraba tempat duduk kami, terasa seperti ia bersisik, lembut dan sejuk," ujarnya yang tidak dapat membayangkan betapa besarnya 'makhluk' itu, kalau benar ia menyerupai seekor ular.

Bagai hendak gugur jantung dibuatnya, mereka lari lintang pukang meninggalkan tempat itu. Peliknya, pada keesokan siang apabila tempat itu dituju semula, yang kelihatan hanyalah sebatang batang balak dan barang-barang milik mereka yang berselerakan.

"Sebenarnya setiap yang ada di hutan ada penjaganya. Kita perlu berwaspada dan tidak boleh lupa tujuan kita berburu. Bukan untuk berseronok atau bermegah, cukuplah untuk sekadar mencuba pengalaman," pesannya.

Meskipun semua cerita itu sudah berlalu dan peralatan seperti penekut, pemipit dan racik itu sudah tidak digunakan, Tok Yaman masih menjaga rapi dan menyimpan peralatan itu sebagai kenang-kenangan.

Semua itu akan selalu menjadi topik cerita yang merapatkan hubungan antara isteri dan anak cucu, saudara-mara atau kenalan Tok Yaman.

Pastinya mereka tidak jemu mendengar kembali kisah kerabat istana yang pemurah, rusa yang tidak lut peluru, serta batang balak yang bertukar menjadi ular besar.

Catat Ulasan

0 Ulasan