Bapa Dirang diusir ke Filipina, tak terlibat kes bunuh

Bapa Dirang diusir ke Filipina, tak terlibat kes bunuh

Loading...

JOHOR BAHRU - Polis Johor hari ini mengesahkan bapa kandung Nurul Nadirah Abdullah tidak mempunyai sebarang kaitan dalam kes bunuh dan bakar kanak-kanak berusia lima tahun itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan sudah diberikan supaya bapa kanak-kanak itu diusir ke negara asal.

"Ayah Nurul tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan kes ini. Kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan Timbalan Pendakwa Raya adalah supaya dia diusir ke negara asal dan pihak imigresen akan lakukan.

"Dia (bapa Dirang) berasal daripada Filipina dan tidak mempunyai apa-apa dokumen diri sejak sekian lama," kata beliau kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Bapa kandung Nurul Nadirah, Utoh ditahan polis bagi membantu siasatan kes kanak-kanak terbabit di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang di sini pada 8 Mac lalu.

Dia sebelum ini ditahan reman hingga Isnin ini mengikut Seksyen 15 (1)(D) Akta Imigresen.

Nurul Nadhirah, 5, ataupun dikenali sebagai Dirang ditemui mati dibunuh dan dibakar dalam sebuah lubang di tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai di sini pada 8 Mac lalu. Kanak-kanak itu sebelum ini dilaporkan hilang pada 1 Mac lepas ketika keluar membeli mi segera dan telur di sebuah kedai runcit di kawasan flat kediamannya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.

Berikutan kehilangan mangsa, polis menahan tiga orang jiran mangsa yang merupakan penagih dadah dan bapa kandung mangsa untuk membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan menunjukkan penjenayah yang disyaki membunuh dan membakar Dirang sudah pun dicekup dan kini ada dalam tahanan polis.

"Kini yang tinggal adalah tiga suspek warganegara tempatan berusia 30-an. Mempunyai rekod terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan dua daripadanya mempunyai rekod lampau hasil siasatan dilakukan. Polis akan memohon perintah tahanan reman ke atas dua lelaki dan seorang wanita rakyat tempatan yang ditahan sebelum ini, di Mahkamah Majistret di sini esok," katanya.

Sementara itu, Mohd Mokhtar berkata, seorang lelaki ditahan di Machang, Kelantan berhubung isu menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan untuk mendapatkan wang tebusan.

"Tangkapan sudah dibuat di Kelantan seperti mana yang kita tahu ibu Dirang, Roselyn Alan ada menerima SMS daripada individu yang meminta wang daripadanya.

"Seorang lelaki dicekup polis dan tiga telefon bimbit dimiliki dirampas. Salah satu daripada tiga telefon bimbit ini digunakan untuk menghantar SMS terbabit," katanya.

Catat Ulasan

0 Ulasan