Loading...
MENDIANG Houston disahkan menghidap efisema sejak dua tahun lalu.
SEPATUTNYA penyanyi legenda, Whitney Houston akan menjadi hos dalam parti sebelum Anugerah Grammy yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) minggu lalu.
Malangnya dia tidak sempat berbuat demikian kerana terlebih dahulu ditemui mati dalam sebuah tab mandi berisi air di Hotel Beverly Hilton, Los Angeles.
Justeru, dari saat dia disahkan meninggal dunia pada pukul 3.55 petang waktu tempatan 11 Februari lalu, pelbagai spekulasi mengenai cara kematiannya timbul.
Pasukan perubatan menyatakan punca kematian penyanyi tersebut hanya akan diketahui dalam tempoh beberapa minggu seperti mana sebab kematian penyanyi Michael Jackson dan Amy Winehouse yang diketahui dalam tempoh dari enam hingga lapan minggu.
Antara spekulasi awal yang dikaitkan dengan kematian penyanyi berusia 48 tahun itu adalah akibat pengambilan dadah dan ubatan secara berlebihan.
Menurut AFP, beberapa botol pil preskripsi termasuklah ubat menahan sakit Ibuprofen, ubat anti keresahan Xanax, ubat senggugut Midol dan ubat jangkitan bakteria Amoxicillin serta beberapa jenis ubat lain ditemui berdekatan mayat Houston.
Kegunaan ubat itu menjadi spekulasi hangat dengan menyatakan bahawa pemilik nama sebenar Whitney Elizabeth Houston itu mati akibat terlebih dos ubat preskripsi.
Ada juga yang meneka bahawa pelantun lagu I Will Always Love You itu mati kerana lemas di dalam tab tersebut.
Menurut laporan awal bedah siasat seperti yang dilaporkan oleh TMZ.com, paru-paru Houston mengandungi air.
Jika menyingkap gaya hidup tidak sihat Houston, tidak hairanlah sekiranya ramai yang berspekulasi sedemikian kerana dia banyak mengambil alkohol dan dadah.
Dia mula ketagihan dadah sejak berkahwin dengan Bobby Brown. Malah, dia pernah mendedahkan kepada media bahawa Brown merupakan punca ketagihannya kepada dadah.
Kepenatan
Setelah berpisah dengan Brown pada April 2007, ketagihannya kepada dadah, arak dan rokok tidak pernah putus. Gaya hidupnya tetap sama sehinggalah menjelang Anugerah Grammy pada minggu lalu. Dia dilihat dalam keadaan mabuk dan tidak terurus malah nafasnya berbau arak dan rokok sebelum ditemui mati.
Kerana dadah dan alkohol jugalah, prestij dan kedudukan penerima anugerah terbanyak yang tercatat dalam Rekod Dunia Guiness sebagai bintang termasyhur dunia itu tercalar.
Pada tahun 2005, Houston menjalani rawatan pemulihan ketagihan dadah sebanyak dua kali bagi mengatasi masalah itu. Tetapi ia tidak membantu menghentikan ketagihannya.
Seterusnya pada tahun 2010 Houston menunjukkan simptom yang dia mengalami masalah berkaitan pernafasan dan paru-paru.
Houston pernah menunda konsertnya di Paris pada April tahun sama gara-gara mengalami sakit dada dan sesak nafas.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh penganjur konsert jelajah dunianya pada ketika itu, Houston dikatakan mengalami jangkitan pada sistem pernafasan dan terpaksa menunda konsertnya setelah dinasihati doktor.
Sebelum konsert tersebut, Houston yang mengadakan konsert Nothing But Love di Australia dikecam hebat oleh pengkritik dan peminatnya kerana mendakwa dia menyanyi dengan sumbang, tidak cukup nafas dan kepenatan.
Ramai antara peminatnya yang menyuruh Houston berhenti merokok kerana tidak berpuas hati dengan konsert jelajah itu tetapi dia tidak mendengar nasihat itu.
Sehinggalah pada Jun tahun lalu, The National Enquirer melaporkan bahawa doktor pernah menasihati Houston agar berhenti merokok dan minum arak kerana mengesahkan bahawa dia telah menghidap penyakit paru-paru, emfisema peringkat awal.
“Dia menghidap emfisema dan doktornya pernah memberitahu bahawa dia bakal mati dalam keadaan yang dahsyat,” kata sumber.
Sama ada Houston mati akibat lemas dalam air, terlebih dos ubat preskripsi ataupun penyakit emfisema, keputusannya tetap diketahui selepas keputusan bedah siasat dikeluarkan dalam tempoh beberapa minggu lagi.
p/s sedikit pengajaran kepada artis2 kita yang terlibat dalam agenda yang tidak sihat
1 Ulasan
ikut hati mati..
BalasPadamjerit kat sini