Rasulullah bukan seperti ‘mamat lain’

Rasulullah bukan seperti ‘mamat lain’

Loading...
Di negara kita, sambutan Maulidur Rasul diadakan di merata tempat, mungkin kecuali di Kelantan. Menteri Besarnya Datuk Nik Aziz Nik Mat pernah berkata Maulidur Rasul tidak perlu disambut kerana kelahiran Rasulullah SAW bukan peristiwa istimewa. Kelahiran Muhammad bin Abdullah sama seperti “mamat-mamat atau budak kampung lain”, jadi tidak perlu disambut atau diperingati.

Kelahiran Nabi Muhammad telah dirancang ALLAH SWT yang memilih pasangan Aminah binti Wahab, seorang gadis suci yang baik, dengan seorang pemuda berkeperibadian tinggi bernama Abdullah bin Abdul Muttalib. Ramai ulama berpendapat pada masa kelahiran dan sebelum kenabiannya, Muhammad sudah diliputi banyak irhasat (petanda). Ibnu Hisyam dalam Sirah Nabawiyah menulis bagaimana Aminah bermimpi akan melahirkan seorang ‘pemimpin umat’ dan mendapat nama Muhammad (bermakna ‘Yang Terpuji’) sewaktu beliau mengandung. Aminah tidak pernah berasa letih mengandungkan Muhammad atau sakit pada saat melahirkan, seperti lazim dihadapi wanita lain.

Baginda dilahirkan pada Isnin 12 Rabiulawal daripada kalangan keluarga bangsawan Arab, Bani Hasyim, dalam keadaan sudah berkhitan. Baginda bersabda: “Di antara kemuliaan yang diberikan ALLAH SWT kepadaku adalah, aku dilahirkan dalam keadaan sudah dikhitan, kerana itu tidak ada orang yang melihat aurat (kemaluan) ku.” (HR At-Thabrani, Abu Nuaym, al-Khatib dan ibn Asakir).

Datuk Baginda, Abdul Muttalib bin Hasyim berkata berhala-berhala di Kaabah jatuh dalam keadaan sujud saat kelahiran Nabi Muhammad. Dalam buku Fuad Kauma (50 Mukjizat Rasulullah, Jakarta, 2000), disebut Abdul Muttalib mendengar dinding Kaabah berbicara: “Nabi yang dipilih telah lahir, yang akan menghancurkan orang-orang kafir dan membersihkan dariku dari beberapa patung berhala ini.” Kitab Taurat dan Injil ada menyatakan dengan jelas bakal kelahiran seorang nabi dari Mekah walaupun bukan daripada keturunan Yahudi dan Nasrani.

Kisah Aminah dan Abdul Muttalib ini menunjukkan Nabi Muhammad SAW adalah anak luar biasa. Malah, banyak lagi peristiwa ajaib berlaku sewaktu kelahiran Baginda. Antara diriwayatkan ialah retaknya mahligai Raja Parsi yang kukuh, pada hal rumah penduduk biasa tidak mengalami kerosakan. Ini adalah petanda kemusnahan kerajaan Parsi.

Pada usia lima bulan, Baginda sudah pandai berjalan dan pada usia sembilan bulan, beliau boleh bercakap. Berumur dua tahun, Muhammad sudah bermain-main dengan anak-anak Halimah binti Abi Dhua’ib (ibu susuan Baginda) sambil menggembala kambing.

Diriwayatkan juga pada masa kecil, sekitar umur lima tahun, beliau didatangi dua malaikat yang membelah dadanya lalu menyiram dan mencuci hatinya dengan air zamzam kemudian menutup semula tanpa parut. Hati yang suci dan sifat jujurnya menjadikan baginda digelar al-Amin.

Rasulullah SAW juga memiliki kelebihan melihat dengan jelas walaupun gelap. Peluhnya berbau harum. Tatapan matanya mampu menggertak Ghaurats bin Haris yang pernah menghunus pedang ke arah lehernya, serta membuat Umar al-Khattab dan Abu Jahal lari lintang-pukang ketika merancang membunuh baginda pada suatu malam.

Memang ada juga pihak yang berpendapat meraikan Maulidur Rasul adalah bidaah kerana ia tidak pernah diamalkan pada masa Rasulullah dan para sahabatnya. Namun menurut kebanyakan ulama, ia tergolong sebagai bidaah hasanah. Kita menyambut kelahiran beliau sebagai kesyukuran atas kurniaan ALLAH SWT dan rahmat-NYA kepada seluruh alam semesta. Cara sambutannya menjadikan kita lebih mencintai Rasulullah, keluarga dan para sahabatnya, menghayati keperibadian dan kepimpinannya, serta mengukuhkan tekad kita memperkasakan syariatnya.

Soalan saya: Adakah kita kenal sesiapa yang memiliki kehebatan sebegini pada hari lahir mereka? Andainya kelahiran baginda masih dianggap tidak istimewa, bolehkah Nik Aziz beritahu mamat mana yang masa lahirnya sama dengan Muhammad bin Abdullah ini? ALLAH SWT berfirman yang maksudnya: “Tidak Aku utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam maya ini.” (Al-Ambiya: 107). Jika diterima Rasulullah SAW rahmat kurniaan ALLAH, salahkah kita menyambut kedatangannya dengan melakukan pelbagai ibadah yang memenuhi kehendak agama?

Seperti yang ditulis oleh Dr.Mashitah Ibrahim

Catat Ulasan

0 Ulasan