Loading...
Bukan memuji atau membangga diri, tetapi Mummy cukup bersyukur kerana biarpun sudah beberapa tahun meninggalkan dunia hiburan tetapi masih ada juga insan seni yang tidak pernah lupa dan masih sudi berkongsi kegembiraan bersama Mummy. Dahulu, pangkatnya mungkin sebagai wartawan dan artis tetapi kini sudah pasti hubungan itu lebih kepada adik dan kakak.
Beberapa hari lagi...ops...esok je lagi, Yusry Abdul Halim akan meninggalkan zaman dudanya. Pilihannya, Lisa Suriani sudah menepati kehendak hati dan bersedia untuk bernikah sekali lagi. Daripada seorang teman biasa, akhirnya mencambahkan benih cinta dan akhirnya Yusry menyatakan hasrat hati untuk menyunting Lisa menjadi suri dan ibu kepada anak-anak mereka nanti.
Rasa terharu menerjah di dalam diri apabila seminggu sebelum tarikh pernikahannya, Yusry sendiri menghantar SMS kepada Mummy bertanya sama ada Mummy sudah mendapat kad jemputan kahwinnya. Secara ikhlasnya, memang tidak ada seorang pun yang menghantar kad jemputan mahupun menjemput secara lisan.
Pada mulanya, Mummy ingatkan Yusry ingin mengirimkan sahaja kad jemputan itu, maklumlah kesibukannya di saat akhir untuk menjadi pengantin baru sudah pasti ada sahaja urusan yang perlu diselesaikan. Tetapi nyata, tekaan Mummy salah. Yusry ingin bertemu dengan Mummy sendiri untuk menghulurkan kad tersebut.
Dalam kesibukannya, empat hari sebelum majlis pernikahan, Mummy dapat bertemu dengan bakal pengantin ini. Tampak semakin berseri-seri dan jari sebelah kanannya sudah berwarna merah siap berinai biarpun tidak begitu jelas warnanya.
Seperti yang diberitakan dalam surat khabar pada hari minggu lalu, memang hampir sepuluh hari pasangan ini tidak bersua muka hingga tiba ke tarikh pernikahannya. Yusry menurut sahaja kerana itu adalah kehendak daripada pihak perempuan untuk mengikut adat.
“Inai ni sempat dua jam sahaja dan khabarnya ada dua kali lagi nak kena tampal sebelum jadi merah menyala,” ujar Yusry bercerita dan jelas diwajahnya dia sedang berdebar menanti hari bahagia.
Yusry juga mengakui, pada malam pertemuan kami itu, pihak keluarganya telah mengadakan mesyuarat terakhir sebelum majlis pernikahan. Malah, ketika kami sedang berbual, Yusry menerima panggilan telefon daripada Norman yang bertanya lokasi adiknya ketika itu. Yusry nampaknya menyerahkan semua kepada abang sulungnya itu. Manakala di rumah keluarga Lisa pula, majlis khatam Quran dan majlis berinai kecil turut berlangsung.
Menurut Yusry, biarpun majlis pernikahan dan persandingan diadakan di hotel tetapi ibu dan ayahnya juga sibuk disaat akhir bagi memastikan semuanya berjalan lancar dan sempurna. Maklumlah, ini menantu terakhir untuk keluarga Abdul Halim dan Puan Zarina.
Yusry juga menjelaskan, untuk tidak membuang banyak masa, dua hari selepas majlis persandingan mereka akan terus terbang berbulan madu ke Eropah. Seterusnya, balik dari percutian itu, kerja untuk pasangan ini sudah sedia menanti.
“Saya tidak menghalang kalau Lisa mahu terus berlakon. Itu hak dia, tetapi saya percaya dia juga pasti pandai membuat pemilihan watak yang sesuai dengan statusnya,” tambah Yusry lagi.
Bila ditanya sama ada Lisa pernah memasak untuknya, Yusry tersenyum dan mengakui Lisa pernah memasak untuknya sekali. Sebagai lelaki yang 'simple', hal masak-memasak tidak begitu penting asalkan Lisa tahu tanggungjawab yang lebih penting sebagai seorang isteri.
Selain itu, sementara menanti rumah Yusry yang bakal siap pada pertengahan tahun ini, Yusry dan Lisa telah merancang untuk menyewa pangsapuri di sekitar Kuala Lumpur buat sementara waktu. Biarpun mempunyai pilihan untuk tinggal di rumah ibu bapa atau rumah mentuanya, mereka lebih selesa untuk duduk sendiri.
Mummy adalah penulis dari mantan editor MH
p/s selamat pengantin baru buat Yusri & Lisa
3 Ulasan
selamat pengantin baru buat mereka berdua!!!moga bahagia selalu
BalasPadammoga bahagia selamanya
BalasPadammoga bahagia hendaknya.saya follow akak ek=)suka sangat ngan dua orgnie
BalasPadamjerit kat sini