Mahu tengok hantu?Kat Sini Pun Boleh

Mahu tengok hantu?Kat Sini Pun Boleh

Loading...
Kat Sini
NASIR (kanan) dan Gabriel menenangkan Ahmad Johari sambil diperhatikan Siti Nurjihada.


Vamp Malaysia anjur aktiviti merungkai misteri alam mistik

“LEMBAGA wanita itu berpakaian serba putih, rambutnya mengerbang dan matanya pula merenung tajam ke arah saya”.
Itu pengalaman Wartawan Berita Harian, Ahmad Johari Mohd Ali atau lebih mesra dipanggil Jo yang menyertai kumpulan penyelidik paranormal, Vamp Malaysia mengesan entiti di sebuah banglo usang di Bukit Tunku, Kuala Lumpur, hujung bulan lalu.
Bersama lima rakan sepejabat, Jo pada mulanya sekadar suka-suka mengikut ajakan rakan untuk bersama kumpulan terbabit, lagipun sepanjang 35 tahun usianya belum pernah ditawarkan peluang untuk `melihat’ hantu, sekadar sekali-sekala berasa seram dalam situasi tertentu.

“Kami ke tiba di banglo berkenaan dalam jam 9.30 malam dan kira-kira setengah jam kemudian, saya ternampak lembaga wanita terbabit. Seingat saya kira-kira lima kali lembaga itu muncul, tetapi peliknya rakan lain kata tak nampak apa-apa.

“Saya juga langsung tak rasa takut ketika itu dan selepas memberitahu rakan lain, ada yang mula baca ayat dan doa tertentu sebelum kami beredar dari kawasan banglo itu kira-kira jam 10.30 malam. Bila keluar dari kawasan itu barulah saya rasa seram, badan berasa berat dan tidak bermaya sebelum rebah.

KAMERA DLSR digunakan untuk mengesan entiti.


“Dalam keadaan separuh sedar, hati tiba-tiba berasa sayu dan entah mengapa saya terus menangis sebelum fikiran kembali rasional,” kata Jo, tetapi dengan penuh yakin memaklumkan dia tidak serik dengan kejadian itu dan sanggup menyertai lagi aktiviti sedemikian jika ada peluang.
Bagi penulis yang turut serta, rasa gemuruh mula menyerang terutama apabila melalui satu kawasan semak dan terpencil sebelum tiba di banglo lama berkenaan.

Namun lain pula kisah empat ahli Vamp Malaysia, Mohd Nasir Mohd Ruhane, Gabriel Bryan, Siti Nurjihada Ishak dan Natasha Ruslan yang kelihatan tenang saja, mungkin sudah lali berdepan situasi seram sedemikian.

Setiba di banglo lama itu, kami dipecahkan kepada dua kumpulan dengan wanita diketuai Nasir dan Nurjihada yang menjadikan premis usang itu lokasi kajian, manakala kumpulan lelaki diketuai Gabriel memilih kawasan dapur di luar kediaman.

Tidak sampai 30 minit meneroka sekitar kawasan itu, kami dikejutkan dengan jeritan Gabriel memanggil Nasir selepas bimbang melihat keadaan Jo yang tiba-tiba lemah.

Menyambung ceritanya, Jo berkata, sebelum kejadian, dia sudah terdengar lolongan suara namun tidak diendahkan.

SITI Nurjihada mengesan entiti di luar banglo usang di Bukit Tunku.

“Ketika meninjau keadaan sekitar, saya terlihat kelibat lembaga itu bertinggung di satu sudut. Memang terkejut tetapi saya cuba kuatkan diri dengan membaca ayat kursi. Nasir dan rakan lain turut membantu ketika itu, tetapi entah kenapa seperti nak marah dan mahu halau rakan yang cuba membantu,” katanya.

Sementara itu, Ida turut bercerita kepada kami mengenai kejadian aneh ketika dia dan rakannya membawa beberapa peminat aktiviti paranormal ke kawasan sama.

“Apa yang menimpa Jo bukan sesuatu yang aneh kerana antara kami juga pernah dirasuk di kawasan ini beberapa bulan yang lalu. Di kawasan batu itu, salah seorang ahli kami pernah histeria kerana terlalu menghayati persekitaran.

“Kami sudah tiga kali ke banglo ini tetapi masih belum berjaya menyingkap sejarahnya. Apa yang pasti, kawasan ini semakin keras kerana dijadikan tempat pemujaan berdasarkan kemenyan dan beberapa barang pelik yang ditemui,” katanya.

Kerana itu, katanya, setiap anggota penyelidik beragama Islam perlu membaca surah tertentu seperti empat Qul, ayat kursi, berzikir dan lain-lain ayat suci jika berdepan situasi menyeramkan.

Nasir selaku ketua kumpulan berkenaan, berkata fokus utama mereka untuk mendidik dan mengubah mentaliti masyarakat terutama generasi muda yang cukup takutkan hantu dan aktiviti yang dilakukan ialah turun padang meneroka kesahihan sesuatu lokasi yang dikatakan keras serta mengkajinya mengikut pandangan agama dan sains.

Antara teknologi digunakan kumpulan itu adalah EMF, termometer infra merah, kamera digital refleks kanta tunggal (DSLR) dan kamera video bagi mengesan bayangan atau objek dikenali sebagai bola mata (orbs), bunyi dan suhu di kawasan yang dianggap ada penunggu.

“Berdasarkan pengalaman dan kajian, kehadiran entiti boleh dikesan melalui alat pengesan. EMF akan menunjukkan tanda amaran merah jika entiti hampir dengan kita. Entiti paranormal mempunyai medan elektromagnet kuat malah terkenal dengan sifatnya menyerap tenaga, sama ada tenaga manusia atau alatan yang kami bawa.

“Pernah juga berlaku keadaan di mana bateri kamera yang pada awalnya, penuh tiba-tiba habis begitu saja,” jelas Nasir sambil menambah sebelum memulakan kajian di lokasi, anggota penyelidiknya akan terlebih dulu meninjau sebelum diputuskan sama ada perlu atau tidak anggota penyiasat dihantar ke situ.

Gabriel pula, walaupun statusnya paling junior dalam kumpulan itu, pengalaman berdepan kejadian mistik tidak kurang hebat terutama insiden paling sukar dilupakan ketika dia bersama rakan sekumpulan menjalankan kajian di lokasi kerap kemalangan di sebuah terowong di Batu 12, Gombak, kira-kira setahun lalu.

“Ketika kereta mendekati kawasan itu sekitar jam 12 tengah malam, saya ternampak lembaga seperti pocong wanita di tepi jalan. Sebaik melepasi lembaga itu, saya intai melalui cermin pandang belakang tetapi terkejut kerana ia sudah ghaib,” katanya.

Menurutnya, alam mistik bukan perkara yang boleh dipelajari dan ia wujud tanpa bukti yang kukuh dan sahih.

“Merungkai misteri alam mistik cuma memberi keupayaan untuk kita mempercayai sesuatu yang luar biasa... terpulang kepada masyarakat untuk menterjemahkannya,” katanya.


Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim

Catat Ulasan

1 Ulasan

jerit kat sini