Jemaah Pakistan jalan kaki tunai haji...tanpa sedar airmataku menitis

Jemaah Pakistan jalan kaki tunai haji...tanpa sedar airmataku menitis

Loading...
KETIKA di Makkah, hati saya tersentuh mendengar kisah luar biasa sekumpulan jemaah haji dari Pakistan yang berjalan kaki ke Tanah Suci. Kisah yang dibawa oleh isteri saya itu membuatkan saya teruja membantu mereka.

Isteri saya menerima khabar itu daripada teman sebiliknya, seorang jemaah berketurunan Pakistan yang pernah tinggal di Malaysia.

Menurut isteri saya, pada suatu petang temannya itu menikmati makanan yang dibelinya di tepi tembok kawasan luar Masjidilharam.

Selepas agak kenyang, dia bangun untuk membuang keratan roti capati yang tidak habis dimakannya ke dalam tong sampah.

Tidak semena-mena dia ditegur dan diminta menyerahkan saki baki makanan tadi oleh seorang wanita jemaah Pakistan yang sedang baring-baring di belakangnya.

Wanita itu merayu biar dia simpan makanan tadi untuk dia dan keluarganya berbuka puasa petang nanti.

Maka dengan rasa hairan teman isteri saya bertanya khabar kepada jemaah itu. Wanita itu memberitahu dia dan rombongannya datang dari Pakistan dan mereka berjalan kaki ke Makkah untuk menunaikan haji.

Mereka berjalan kaki selama tiga bulan dalam perjalanan ribuan kilometer itu yang amat berbahaya itu.

Ada kalanya mereka menumpang lori dan kenderaan lain untuk membolehkan mereka ke Makkah.

Beliau mendakwa duit mereka sudah habis dan sudah beberapa hari tidak menjamah makanan kecuali minum air zamzam.

Oleh kerana tidak sampai hati, teman isteri saya menghulurkan sedikit wang untuk mereka membeli makanan untuk berbuka puasa nanti.

Selepas isteri saya menceritakan kejadian ini, saya terpanggil membantu mereka. Saya kumpulkan makanan berlebihan seperti bungkusan mi segera dan buah-buahan untuk diberikan kepada kumpulan jemaah Pakistan itu.

Suatu hari ketika kami sampai untuk memberikan makanan kepada mereka, saya lihat seorang anak dalam kumpulan itu sedang menangis dan meriba ibunya yang turut menangis.

Apabila kami menyerahkan makanan itu, mereka mengucapkan terima kasih dan bersyukur ke hadrat Ilahi. Si ibu yang sedang meriba anak tadi, turut bingkas bangun menyambut pemberian kami.

Dalam keadaan letih, mereka memberikan senyuman dan membahagi-bahagikan makanan tadi. Teman isteri saya menterjemah apa yang mereka kata.

Dalam hati saya berdetik, kasihan mereka, nampak si ibu tadi kegembiraan dan dengan linangan air mata mereka menjamah makanan yang kami beri.

Mereka nampaknya benar-benar bersyukur kerana ada insan yang bersimpati dengan nasib mereka.

Saya benar-benar tersentuh dan berasa sebak, rupa-rupanya ada jemaah kelaparan kerana tiada wang lagi untuk membeli makanan.

Oohh bayangkanlah, selepas musim haji, mereka akan berjalan kaki pulang ke Pakistan.

Bagaimanakah perjalanan itu nanti sedangkan mereka tidak berduit dan mempunyai makanan. Tetapi keyakinan kepada Allah menguatkan semangat mereka untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Saya berdoa; "Ya Allah Ya Tuhanku, hanya Engkau sahaja yang memberi rahmat kepada kumpulan jemaah Pakistan ini."

Pada keesokan harinya kami berkunjung di tepi tembok itu dengan harapan untuk terus menolong mereka tetapi hampa kerana mereka sudah tiada di situ. Mungkin mereka sudah memulakan perjalanan pulang ke tanah air.

Dalam perjalanan ribuan kilometer itu, jemaah berkenaan terpaksa merentas padang pasir Arab Saudi, kemudian ke Iraq, Iran dan Afghanistan sebelum memasuki negara sendiri.

Bagaimana agaknya keadaan mereka dalam menghadapi situasi tidak menentu di Iraq yang kini dilanda kekacauan akibat pencabulan Amerika Syarikat ke atas bumi anbia itu.

Saya juga terfikir-fikir mengapa jemaah haji itu bersusah payah untuk ke Makkah sedangkan antara syarat untuk menunaikan haji adalah berkemampuan.

Lama kemudian baru saya teringat, dalam mahzab Hanafi yang menjadi pegangan ramai penduduk Pakistan, kewajipan untuk menunaikan haji menjadi keutamaan dan perlu disegerakan.

Mungkin sebab itu agaknya yang mendorong jemaah berkenaan bermati-matian, termasuk berjalan kaki untuk menunaikan rukun Islam kelima.

Sekiranya dibandingkan dengan orang Malaysia yang ramai mewah dan kaya tetapi masih belum menunaikan haji, maka amat rugilah orang yang tidak mahu menyahut seruan Ilahi itu.

Kebanyakan jemaah Malaysia juga saya perhatikan suka sangat berbelanja membeli itu dan ini ketika berada di Tanah Suci. Mereka tidak kisah menghabiskan ribuan ringgit, termasuk membeli barangan yang boleh didapati dengan mudah di Malaysia seperti permaidani, kopiah dan sejadah.


nukilan; HAJI MOHAMAD, Klang.

Catat Ulasan

0 Ulasan