Gara-gara acu senapang sebelum ke Tanah Suci

Gara-gara acu senapang sebelum ke Tanah Suci

Loading...
Memaparkan sekelumit kisah yang benar-benar terjadi di sebuah desa di selatan tanah air. Hasil daripada kerja bertungkus-lumus di kebun getah dengan bantuan empat orang anaknya, dapatlah seorang penghuni desa itu mengumpul wang RM18,000 untuk pergi ke Tanah Suci suami isteri.

Semua persiapan zahir telah dilakukannya untuk menyempurnakan rukun Islam kelima. Tetapi menurut penduduk desa, masih banyak tuntutan agama yang belum dilunaskannya seperti meningkatkan kehalusan budi, memohon halal dan ampun maaf daripada adik beradik dan sanak saudara di desa.

Lantaran kejahilan dan keangkuhannya, semua itu tidak dipedulikannya. Dengan sifat panas barannya, ia mudah termakan hasut fitnah dan buruk sangka. Dalam satu perselisihan faham, ia mendapat laporan bahawa seorang anak saudaranya telah bergaduh dengan ibunya.

Tanpa soal selidik, dia telah menyerang rumah sewa anak saudaranya itu, dengan membawa sepucuk senapang. Seolah-olah anak saudaranya itu seorang belia tidak berguna, yang patut segera dihapuskan daripada dunia ini.

Dengan segala maki hamun, kata nista yang keras dan mengugut, dia mengacukan senjata untuk menembak anak saudaranya itu.

Lantaran terlalu takut, anak saudaranya itu telah lari ke dalam bilik dan mengunci pintu dari dalam. Dia telah berdoa selepas solat hajat dan bertahajjud kepada Ilahi mengadukan nasibnya.

Selama enam hari enam malam, dia senantiasa takut dan tidak tenteram (trauma) di atas kejadian luar biasa itu. Karena suasana menjadi begitu buruk, anak saudaranya mengambil keputusan segera berhijrah ke negeri lain.

Lelaki bakal haji itu tidak menyedari, pemuda yang diugut itulah yang telah menghabiskan kebanyakan hidupnya memperjuangkan Islam. Dia berdakwah dalam gerakan Islam, bersama barisan sarjana-sarjana Islam dan ulama Islahiyyah di dalam dan di luar negara manakala isterinya pula adalah seorang guru agama sekolah kerajaan.

Pada hari Jumaat, dalam masjid Allah, tangan anak saudaranya inilah yang mula-mula menghulurkan salam kasih, simbol pengirat silaturahim dan ukhuwwah Islamiyah.

Pemuda inilah yang melaungkan seruan azan, menghidupkan solat berjemaah, mempergiatkan penulisan Islam, menjayakan program-program dakwah. Dia terbabit membersihkan masjid dari usia remaja hingga kini.

Lantaran buta agama dan keangkuhan, tergamak dia melakukan jenayah yang demikian kejam, zalimnya dan dahsyatnya kepada anak saudaranya tanpa usul periksa.

Selain itu bakal haji ini melakukan kekerasan, maki hamun dan pelbagai kezaliman ke atas adik-adik perempuannya. Dia bagaikan maharaja, memerintahkan mereka melakukan itu dan ini. Inikah tanda dan cara persiapannya untuk bermusafir ke Tanah Suci bagi mendapatkan haji mabrur?

Akhirnya, dengan pesawat MAS yang disewa Tabung Haji, bakal haji ini bersama isteri dan seorang adik perempuannya selamat sampai ke Makkah - beberapa hari sebelum hari wukuf dan hari raya haji.

Mereka selamat menunaikan umrah, tetapi dengan takdir Allah, pada hari berikutnya, mengikut cerita adik perempuannya itu, dia tiada selera makan dan minum, badannya lemah lesu dan telah jatuh sakit dengan teruknya.

Dia terlantar di atas katil tidak berdaya lagi untuk membuka matanya selama enam hari enam malam. Para doktor dan jururawat Hospital Tabung Haji telah merawatnya tetapi dia tidak sembuh-sembuh.

Apabila tiba hari wukuf, ia terpaksa diusung, dan terlantar dalam khemah kanopi Arafah khusus bagi orang sakit. Mana-mana ibadah wajib, diupahkan orang mengerjakannya.

Dengan takdir Allah, pada hari ketujuh barulah dia disembuhkan oleh Allah. Barulah dia insaf Tuhan Yang Maha Adil dan Maharaja segala Sultan, telah memberikan hukuman kiffarat secara 'tunai' kepadanya.

Benarlah tunjuk ajar dan nasihat tuan guru, alim ulama, dan ustaz Tabung Haji sebagai syarat dan tata tertib sebelum menunaikan ibadah haji, bakal haji hendaklah membersihkan hati mereka sebelum ke Tanah Suci.

Mereka yang hendak ke Tanah Suci juga perlu membersihkan diri daripada berlaku zalim bukan saja kepada sesama manusia tetapi juga pada binatang.

Bagi yang memelihara binatang kesayangan seperti burung terkukur, merpati atau ayam serama, lepaskanlah binatang itu.

Sesungguhnya Allah amat murka kepada orang zalim dan bagi mereka azab yang amat pedih di dunia dan akhirat. Sebuah hadis sohih menyebut, 'takutlah olehmu sekalian akan doa orang terkena zalim, kerana doa mereka itu tiada hijabnya di sisi Allah'. -


Nukilan MUHIBBUN AL-HARAMAINI

Catat Ulasan

0 Ulasan