Aina Menangis Air Mata Darah

Aina Menangis Air Mata Darah

Loading...


Sambil berbaring di sisi, terdengar suara kecil menyanyi-nyanyi mengikut rentak lagu yang didengarinya dari telefon bimbit ibunya. Leka sekali dia menyanyi biarpun tidak langsung kedengaran seperti lagu. Pun begitu, si kecil ini kelihatan begitu gembira dan seronok sekali. Berkali-kali namanya dipanggil, dia masih leka dengan lagu yang didengarkannya.

Sebelum itu, ibunya, Salina Ilias, 38 tahun, puas memujuk anak kecil ini yang menangis apabila mendengar suara asing mengunjungi kediaman keluarganya baru-baru ini. Kedatangan penulis dan jurugambar yang tentunya tidak pernah dikenali sebelum ini membuatkannya takut dan tidak selesa. Setelah diberi telefon bimbit dengan lagu kegemarannya, barulah Nur Aina Najwa Nor Azimin, 2 tahun, mahu duduk diam.

“Kalau tidak, beginilah dia. Melekat dekat saya. Kalau cuba dudukkan dia, kejap tangannya memeluk saya. Memang dia agak takut kalau dia tahu ada orang yang tidak dikenali datang ke rumah. Dengar suara yang tak pernah didengar sebelum ini, dia akan menangis. Mungkin kerana dia tak boleh nampak apa-apa dan hanya bergantung pada pendengarannya sahaja,” terang Salina tentang anak bongsunya yang dipanggil Aina yang disahkan menghidap Medpor Orbital.

Mengimbas detik ketika mengandungkannya, Salina berkata dia tidak mengalami sebarang komplikasi. Cuma ketika mahu melahirkan Aina, doktor berkata urinya berada di bawah. Jadi, dia terpaksa melahirkan Aina melalui pembedahan. Hanya setelah selamat melahirkan barulah doktor menyedari matanya mempunyai selaput putih, penyakit yang kebiasaannya dialami oleh golongan warga tua.

Mata Hitam Bengkak
Keadaan itu menyebabkan dia terpaksa ditahan di wad kanak-kanak untuk menjalankan pemeriksaan ke atasnya. Pun begitu, penyakitnya masih tidak dapat dikesan hinggalah dia dibenarkan keluar dari wad. Kes Aina kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur.

“Ketika itu, kami tinggal di Johor dan Hospital Sultanah Aminah yang mengendalikan kesnya. Namun, setelah dirujuk ke Kuala Lumpur, ibu mentua menyarankan kami berpindah ke Seremban agar mudah untuk berulang-alik melakukan pemeriksaan pada mata Aina. Malangnya, ketika umur Aina mencecah empat bulan, mata hitam di sebelah kanannya membengkak hingga memaksa pembedahan.

“Pembedahan pertama dilakukan bagi mengurangkan kesan bengkak pada matanya. Sejak pembedahan pertama itu, berat badannya semakin merosot dan sehingga kini, beratnya hanya tujuh kilogram sahaja. “Namun, tidak lama selepas itu sekali lagi matanya membengkak dan pembedahan kedua dilakukan bagi membuang terus mata kanannya. Dalam masa yang sama, doktor memasukkan implan di dalam matanya agar matanya tidak kelihatan ‘kosong’ atau kelihatan daging di dalamnya.

“Walaupun agak sukar untuk membuat keputusan, tetapi saya tetap fikirkan juga tentang kesihatannya. Bimbang nanti apabila melarat ke saraf ia boleh memberi kesan ke otak pula,” cerita Salina sambil menambah secara keseluruhan, Aina telah menjalani sehingga enam pembedahan dalam tempoh dua tahun ini.

Daging Terhakis
Ujarnya lagi pembedahan ketiga terhadap anaknya itu dilakukan untuk membetulkan kedudukan implan yang telah dimasukkan. Ini kerana daging di dalam bahagian matanya semakin hari semakin terhakis.

“Menurut doktor akibat daging terhakis kedudukan implan tersebut perlu diperbetulkan dan ditambah dengan sedikit daging di bahagian tubuhnya. Mereka mengambil daging di bahagian perut malangnya, disebabkan Aina terlalu kurus, sedikit sahaja daging yang dapat diambil,” terang Salina lagi sambil memberitahu pembedahan seterusnya dilakukan bagi melakukan pemindahan mata.

Dalam pada itu katanya sejak pembedahan kedua, Aina kerap menangis. Air mata yang keluar dari matanya bukan air mata yang biasa, tetapi air mata darah. Bimbang dengan perkembangan tersebut, sekali lagi Aina dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan.

Menurutnya, pihak hospital menasihatkannya membawa Aina untuk pembedahan seterusnya, namun sebelum sempat melakukan pembedahan, jirannya mengenalkannya dengan pihak Lions Group. Pihak Lions Group membawa kes Aina ke Pusat Pakar Mata Antarabangsa (ISEC) di Mid Valley. Setelah pemeriksaan dilakukan, doktor mengesahkan bahawa implan yang dimasukkan di dalam matanya telah hancur dan menyebabkan di dalam mata Aina bernanah.

“Dengan bantuan Lions Group yang menanggung kos pembedahan Aina, akhirnya pembedahan dilakukan bagi merawat jangkitan di dalam matanya, seterusnya memasukkan implan yang baru.

“Alhamdulillah, sehingga kini saya lihat Aina tidak lagi menangis air mata darah atau kesakitan. Keadaan kesihatannya semakin baik meskipun doktor telah pun mengesahkan Aina tidak akan dapat melihat lagi selama-lamanya,” jelas Salina panjang lebar.

Redha jika anak tak dapat melihat Seperti ibu bapa yang lain, Salina dan suami, Nor Azimin Mohd Isa, 45 tahun, tidak ketinggalan mendoakan kesejahteraan dan kesihatan anak bongsu mereka ini. Kedua-duanya redha dengan ujian yang diberikan kepada mereka. Mereka tetap berusaha sedaya mungkin bagi mendapatkan yang terbaik untuk Aina.

Tiga orang anaknya yang lain, Nur Wirdatul Ain, 15 tahun, Muhammad Amirul Hakimin, 12 tahun dan Nur Alya Batrisya, 8 tahun, masing-masing amat menyayangi adik bongsu mereka. Masing-masing punya cara tersendiri untuk berinteraksi dan bermain dengan Aina. Malah, mereka juga suka melayan kerenah Aina yang suka bercakap.

“Aina memang aktif dan sejak pembedahan terakhir lalu, Aina kelihatan semakin sihat. Ada sahaja kerenahnya yang menyenangkan. Sekarang ini, Aina digalakkan duduk di dalam ‘walker’ bagi menguatkan otot kakinya. Mungkin kerana tidak dapat melihat, Aina takut untuk cuba bangun atau belajar berjalan. Sebab itu, doktor menasihatkan agar saya meletakkan Aina di dalam ‘walker’.

“Saya amat berharap agar keadaan kesihatan Aina semakin pulih. Saya redha jika dia tidak dapat melihat dan saya berserah kepada Allah. Apa yang penting, saya dan suami akan terus berusaha.

“Dari aspek lain, syukurlah Aina tiada masalah kesihatan yang lain. Cuma bagi menaikkan berat badannya, susu khas perlu diberikan kepadanya,” kata Salina lagi yang berharap dapat bantuan daripada pembaca yang budiman untuk membantunya dari segi sumbangan bagi menampung kos perbelanjaan rawatan, pembedahan dan susu khas untuk Aina.

BANTU SALINA
Bagi pembaca yang ingin menyalurkan bantuan kepada Aina, bolehlah menghubungi Salina di talian 019-795 9225 atau menghulurkan bantuan kewangan di akaun BSN 01127-29-00006384-5 di atas nama pemilik akaun Salina Binti Ilias.

Catat Ulasan

0 Ulasan