Loading...
Bermadu adalah satu situasi yang sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Hanya mereka yang merasainya sahaja boleh menerima perkataan ini tanpa berselindung apa-apa. Bagi Siti Marminah Omar, 62 tahun, telah merasai hidup bermadu ini sejak 33 tahun lalu. Suatu tempoh yang lama, namun dia dapat menerima ketentuan Ilahi ini dengan hati terbuka.
Bagi dirinya alah bisa tegal biasa dan 33 tahun hidup bermadu, ibu kepada jurusolek terkenal Zulfazli Suhadi ini telah merasai kemanisannya. “Saya sudah hampir 33 tahun hidup bermadu iaitu sejak tahun 1977 lagi. Suami mula berkahwin lain pada 1977 dengan Laila dan saya menerima hakikat hidup bermadu dengan hati terbuka. Perkahwinan mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, tetapi jodoh tidak panjang dan berpisah selepas itu. Suami, Suhadi Ariff, 62 tahun, kemudiannya berkahwin buat kali ketiga dengan Maznah, pada 1983 dan perkahwinan mereka dikurniakan lima orang anak serta enam orang cucu dan ia kekal hingga sekarang.
“Sebenarnya untuk perkahwinan kali ketiga ini, saya memang ada mencari calon-calon sesuai tetapi suami tidak membenarkan saya untuk meminang. Saya sebenarnya tidak kisah untuk berbuat demikian kerana memang rela untuk hidup bermadu. Suami kemudiannya berkahwin kali keempat dengan Sarimah, pada 1998 dan dikurniakan dua orang cahaya mata,” ungkap Siti Marminah memulakan perbualan. Menurutnya walaupun hidup bermadu tetapi hubungan dengan mereka bertiga cukup baik dan rapat.
“Biarpun hidup berasingan tetapi hubungan kami bertiga cukup baik. Apatah lagi sekarang ini apabila suami tidak berapa sihat, kami bergilir-gilir menjaganya. Jika sihat, suami biasanya akan tinggal di rumah saya dan dijaga sepenuhnya oleh Maznah. Dan sekiranya suami ada rawatan di Kuala Lumpur, Sarimah pula yang akan menjaganya. Kami tidak pernah berkira soal ini, malah bekerjasama menjaga suami kerana apa yang penting kesihatan suami terjaga sepenuhnya.
“Sepanjang 33 tahun hidup bermadu ini, memang tidak pernah berlaku perselisihan faham besar sekadar yangbiasa-biasa sahaja. Malah hubungan kami cukup baik dan saya tidak pernah anggap mereka sebagai madu tetapi lebih kepada adik beradik. Ada masanya kami berempat keluar bersama-sama sama ada membeli barang ataupun sekadar makan di luar. Jika tidak pun saya akan keluar bersama Maznah dan Sarimah sahaja membeli barangan keperluan,” tambahnya memberitahu mereka ini duduk berdekatan dengan rumahnya.
Tidak pernah kongkong suami
Biarpun bermadu tetapi mereka tidak pernah mengongkong pergerakan suami dan dia bebas melakukan apa yang disukainya. “Kata orang tidak mudah hidup bermadu kerana ada racun di sebaliknya. Itu yang saya rasa di permulaan tetapi setelah berfikir dua kali, saya bolehmenerimanya dengan hati terbuka. Mungkin sudah ditakdirkan untuk kami bertiga berkongsi kasih sayang dan cinta seorang suami. Oleh kerana diri saya yang tua, jadi segala masalah membabitkan suami atau anak-anak madu, semuanya akan diberitahu kepada saya.
“Sebagai orang yang ada pengalaman, saya cuba membantu apa yang patut. Mereka lebih senang berkongsi masalah dengan saya berbanding suami. Suami juga ada pesan, kalau ada masalah dengan madu, selesaikan sendiri dengan mereka dan itu lebih baik daripada bergaduh. Tetapi sepanjang tempoh bermadu tidak ada masalah berbangkit. Kata orang tidak mudah hidup bermadu tetapi bagi saya tidak ada masalah.
“Kemeriahan hidup bermadu ini lebih terasa apabila tibanya Syawal. Bayangkan kami ada 16 orang anak dan16 orang cucu yang semuanya akan beraya di rumah saya dan berkumpul beramai-ramai. Masa inilah semua tolong menolong menyediakan keperluan untuk menyambut Syawal. Biasanya Maznah dan Sarimah yang menyediakan hidangan untuk kami semua.
“Saya ada juga bagi cadangan pada suami agar memberi sistem giliran untuk beraya tetapi nampaknya mereka semua memang seronok mahu beraya di rumah saya. Saya memang tidak ada masalah untuk beraya bersama kerana ia lebih terasa kemeriahannya. Seronok dapat beraya bersama beramai-ramai dan yang penting sama-sama merasai keseronokan menyambut Syawal. Maklumlah itu adalah hari kebesaran untuk umat Islam dan perlu diraikan dengan sebaiknya,” cerita Siti Marminah lagi.
Siti juga turut berpesan kepada semua madunya agar menjaga suami dengan baik supaya kasih sayang yang diberikan dapat dirasai secara sama rata. Buktinya kini biarpun sakit, mereka bertiga saling bekerjasama dalam menjaga suami kerana masih mahu merasai kasih sayang darinya.
2 Ulasan
madu mithali~
BalasPadambenar....susah nak cari..
BalasPadamjerit kat sini